Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO baru SBA ingin bina pendekatan sistematik bangun badminton S’pura

Apr 3, 2025 | 5:38 PM
Persatuan Badminton Singapura (SBA) mempunyai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru, Woo Kaiwei, yang ingin bina sistem sokongan sistematik untuk menghasilkan lebih ramai pemain yang dapat mencapai kedudukan 20 tangga teratas dunia.
Persatuan Badminton Singapura (SBA) mempunyai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru, Woo Kaiwei, yang ingin bina sistem sokongan sistematik untuk menghasilkan lebih ramai pemain yang dapat mencapai kedudukan 20 tangga teratas dunia. - Foto ZAOBAO

Untuk menjadi antara kuasa besar dunia badminton, Persatuan Badminton Singapura (SBA) perlu membina pendekatan sistematik untuk meningkatkan peluang menghasilkan pemain-pemain terbaik yang dapat berkembang secara berterusan.

Demikian visi ketua pegawai eksekutif (CEO) baru SBA, Woo Kaiwei, yang memulakan tugasnya pada 3 April.

Beliau menggantikan Alan Ow, yang meletakkan jawatan pada penghujung 2024 dan kini menjadi CEO Persatuan Undang-Undang Singapura.

“Kita perlu kurang bergantung pada nasib dan peluang, dan pendekatan sistematik bermakna membenarkan keseluruhan sistem menghasilkan, membimbing dan memupuk bakat,” kata Woo, menurut The Straits Times.

Selain mengenal pasti bakat tempatan, beliau menyatakan bahawa SBA kekal terbuka memberi kewarganegaraan kepada pemain luar negara dari Asia Tenggara, sekiranya bakat seperti itu ditemui melalui usaha pemantauan mereka.

“Saya rasa kami tidak seharusnya mengehadkan diri kami dari segi pemilihan bakat. Singapura sentiasa terbuka kepada bakat, dan saya rasa prinsip asas ini tidak berubah di seluruh negara, termasuk dalam sukan dan badminton,” kata CEO berusia 40 tahun itu.

Woo, yang sebelum ini merupakan perancang kanan di Mindef, kemudian beralih menjadi pengurus kanan dalam strategi kumpulan dan perkongsian di Singapore Press Holdings.

Beliau juga pernah menjadi ketua perancangan strategik dan pembangunan korporat di So Drama! Entertainment sebelum menyertai SBA.

Woo berkata matlamat segera beliau adalah untuk menstabilkan dan mengukuhkan sekretariat SBA, berinteraksi rapat dengan jurulatih bagi memahami keperluan pasukan teknikal dan bagaimana mereka boleh disokong.

SBA juga akan terus berusaha untuk mencapai sasaran meningkatkan bilangan pemain dalam ranking 20 teratas dan di Olimpik, sementara mereka berusaha meraih pingat di pertandingan Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032.

Pasangan pemain perseorangan lelaki, Loh Kean Yew (kedudukan ke-17) dan Jason Teh (ke-22), pemain perseorangan wanita Yeo Jia Min (ke-12) serta pasangan beregu campuran Terry Hee dan Jin Yujia (ke-33) merupakan pemain Singapura yang berada dalam ranking 50 teratas dunia.

Mereka juga antara yang masih bersaing aktif di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kami perlu mempromosikan badminton dengan tekun di peringkat akar umbi kerana itu merupakan permulaan kepada keseluruhan saluran bakat. Kami perlu melakukan banyak perkara untuk memastikan badminton kekal popular dan dapat dimainkan ramai,” kata Woo.

Dengan lebih banyak bakat, SBA kemudian boleh mengembangkan pasukan jurulatih dan pemain mereka, selain menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pertandingan untuk pemain mereka mendapatkan pendedahan.

“Kami juga memberi fokus kepada peralihan pemain ke kerjaya selepas bersara. Kami berterima kasih kepada penderma seperti JK Technology atas program pembayaran wang tunai selepas bersara dan biasiswa atlet-pelajar, tetapi kami perlu mempunyai lebih banyak kerjasama untuk memudahkan kaunseling kerjaya, pencarian pekerjaan, peluang peningkatan kemahiran demi membina ekosistem yang lengkap untuk pemain kita,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg