Topic followed successfully
Go to BHkuChelsea hampir pasti gagal layak ke Liga Juara-Juara
Chelsea hampir pasti gagal layak ke Liga Juara-Juara
Chelsea catat rekod paling buruk dalam tempoh 33 tahun selepas tewas 1-3 di laman sendiri kepada Nottingham Forest
Chelsea hampir pasti gagal layak ke Liga Juara-Juara
LONDON: Impian Chelsea untuk melayakkan diri ke pertandingan Liga Juara-Juara kini dianggap hampir mustahil tatkala musim mereka berakhir dalam keadaan penuh kucar-kacir.
Kekalahan 1-3 dengan Nottingham Forest di padang sendiri pada 4 Mei menyaksikan skuad tanpa pengurus tetap itu kekal di tangga kesembilan Liga Perdana England (EPL).
Meskipun jaringan Joao Pedro pada masa kecederaan berjaya menyelamatkan maruah kelab daripada rekod tewas enam perlawanan berturut-turut tanpa jaringan buat kali pertama dalam sejarah, gol tersebut dilihat sekadar satu sagu hati yang kurang bermakna.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan kelab dikenali sebagai The Blues itu kini tewas enam perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak November 1993, dan kali keempat dalam sejarah kelab.
Selain itu, ini merupakan kali kedua mereka tewas empat perlawanan berturut-turut di padang sendiri, kali pertama sejak 1978.
Suasana di stadium Stamford Bridge turut dilaporkan tegang apabila sebahagian besar penyokong pasukan tuan rumah bertindak meninggalkan stadium lebih awal, manakala mereka yang kekal di stadium melepaskan kemarahan melalui sorakan ejekan sebaik wisel penamat ditiup.
Di bawah kendalian pengurus sementara, Calum McFarlane – yang mengambil alih tugas selepas pemecatan Liam Rosenior – Chelsea kini ketinggalan 10 mata di belakang Aston Villa yang menduduki tangga kelima.
Dengan hanya baki tiga perlawanan, peluang untuk meraih slot terakhir ke Liga Juara-Juara kini hampir mustahil.
Meskipun terdapat peluang di mana tangga keenam mungkin memadai jika Villa menjuarai Liga Europa, jurang empat mata untuk ke posisi tersebut tetap dilihat sukar untuk diraih memandangkan prestasi hambar semasa pasukan.
Mengulas prestasi Chelsea, bekas penjaga gol kelab tersebut, Mark Schwarzer, berkata:
“Chelsea sudah kehabisan alasan. Mereka langsung tidak menunjukkan semangat sebagai pasukan yang bakal menghadapi aksi besar (final Piala FA) dan ini sangat mengecewakan.
“Mereka dikalahkan dan terdapat kekurangan semangat juang. Pemain harus mula memikul tanggungjawab.”
Kegagalan ini dijangka memberi kesan kewangan besar buat pemilik, BlueCo, memandangkan kelayakan ke Liga Juara-Juara merupakan sasaran utama yang ditetapkan sejak awal musim lagi.
Bakal pengurus baru Chelsea perlu bijak merancang strategi pemindahan pemain pada sesi akan datang, dengan berapa nama besar termasuk pengurus Bournemouth, Andoni Iraola; pengurus Fulham, Marco Silva; dan bekas jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso, telah dikaitkan dengan kelab tersebut.
Berdasarkan laporan kewangan bagi musim 2024-25 yang diterbitkan baru-baru ini, Chelsea mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak 262 juta paun ($452.5 juta), yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah EPL.
Kerugian besar itu berlaku meskipun kelab berjaya meraih pendapatan kedua tertinggi dalam sejarah mereka, iaitu sebanyak 490.9 juta paun.
Susulan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia Kelab 2025 dan penyertaan dalam Liga Juara-Juara, Chelsea meramalkan pendapatan mereka akan meningkat kepada 700 juta paun dalam laporan kewangan tahun depan (2026).
Namun, penyerang Cole Palmer dalam satu temu bual baru-baru ini menegaskan bahawa “segalanya akan berubah” tanpa penyertaan dalam Liga Juara-Juara.
Secara perbandingan, Chelsea meraih sekitar 78.9 juta paun dalam bentuk hadiah kemenangan hasil kemaraan ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara musim ini.
Jumlah itu jauh lebih lumayan berbanding anggaran 15 juta paun yang diterima sebagai juara Liga Persidangan pada 2025.
Malah, ia dianggarkan bahawa pendapatan daripada Liga Juara-Juara boleh melonjak melebihi 100 juta paun apabila hasil jualan tiket, layanan tamu, dan tajaan diambil kira.
Laporan akaun daripada syarikat induk, 22 Holdco Limited, menunjukkan bahawa aktiviti pemindahan pemain merupakan faktor utama di sebalik kerugian besar tersebut, dengan pasukan lelaki dianggap sebagai ‘pemacu utama’ pendapatan.
Namun, Chelsea kini dilihat terlalu bergantung kepada suntikan dana pemilik serta pinjaman bagi menampung kos operasi, yang memberikan kesan jangka panjang yang serius.
Bagi tempoh jangka pendek, Chelsea terikat dengan perjanjian penyelesaian Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) selepas melanggar peraturan pendapatan bola sepak dan kos skuad pada musim 2023-24.
Peraturan tersebut menetapkan bahawa Chelsea tidak boleh mencatat kerugian melebihi 52.2 juta paun – setelah mengambil kira pelepasan tertentu daripada Uefa – apabila mereka memfailkan akaun pada penghujung Jun ini.
Sebarang kerugian yang melebihi jumlah tersebut akan mengakibatkan denda sehingga 17.4 juta paun, manakala kerugian yang melebihi 69.7 juta paun bakal mencetuskan penggantungan satu musim daripada saingan Eropah.
Tekanan kewangan ini dijangka berterusan sehingga musim 2028-29, dengan Uefa sentiasa memantau rapat kedudukan kewangan Chelsea. – Agensi berita.
