LONDON: Pengurus sementara Chelsea, Calum McFarlane, menegaskan bahawa kelab itu kekal mempunyai daya tarikan buat bakal pengurus, meskipun mengharungi musim penuh cabaran.

McFarlane kini sedang melalui penggal kedua sebagai pengurus sementara Chelsea musim ini selepas pemecatan pengurus lama, Liam Rosenior, pada 22 April.

Rosenior, yang sebelum ini merupakan pengurus Strasbourg, hanya bertahan selama 106 hari di Stamford Bridge selepas mengambil alih peranan Enzo Maresca, yang mana tempoh kendaliannya selama 18 bulan berakhir pada Januari.

Ini susulan bayangan mengenai kekurangan sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi Chelsea terhadap Maresca.

Syarikat induk Chelsea, BlueCo, kini sedang mencari pengurus tetap keenam mereka sejak mengambil alih kelab itu daripada peniaga Russia, Roman Abramovich, pada 2022.

Kelab dari barat London itu telah bertukar lapan pengurus dalam tempoh 10 tahun – tidak termasuk pengurus sementara – sekali gus menyukarkan usaha pemilik bersama, Todd Boehly dan Behdad Eghbali untuk meyakinkan pengurus baru berikutan persepsi negatif terhadap Chelsea.

Namun, McFarlane, yang telah memimpin Chelsea untuk ke final Piala FA menentang Manchester City pada 16 Mei, bertegas bahawa kelabnya kekal menjadi pilihan menarik bagi pengurus hebat.

“Ini (Chelsea) merupakan salah satu kelab terbesar di dunia dengan sejarah kemenangan yang hebat,” kata McFarlane kepada media pada 1 Mei.

“Kami mempunyai ramai pemain luar biasa, sebahagian daripadanya adalah antara pemain terbaik di dunia, selain kemudahan latihan yang hebat. Anda akan memiliki segala-galanya yang anda mahukan,” tambah beliau.

Chelsea telah dikaitkan dengan beberapa nama besar termasuk pengurus Bournemouth yang bakal meninggalkan kelab, Andoni Iraola; pengurus Fulham, Marco Silva; dan bekas jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso.

Namun, harapan mereka untuk memancing pengganti berkualiti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rosenior mungkin terjejas, sekiranya kelab tersebut gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

Skuad bimbingan McFarlane kini menduduki tangga sembilan Liga Perdana England (EPL), dengan hanya lima pasukan teratas dijamin slot ke pertandingan elit kelab Eropah tersebut.

Kelab yang dikenali sebagai The Blues itu kini ketinggalan 10 mata di belakang kelab yang menduduki tangga kelima, Aston Villa.

Chelsea hanya mempunyai baki empat perlawanan, bermula dengan aksi di padang sendiri menentang Nottingham Forest pada 4 Mei.

“Kami hanya perlu terus meraih kemenangan. Suasana dalam pasukan kembali ceria selepas melalui beberapa siri kekalahan sebelum ini,” kata McFarlane.

Susulan laporan mengenai ketidaksepakatan dalam kelab semasa para pemain dikendalikan oleh Rosenior, McFarlane menyifatkan tindakan Enzo Fernandez, Marc Cucurella dan Joao Pedro yang menonton perlawanan tenis bersama di Madrid minggu ini sebagai bukti pasukan itu masih bersatu.

“Ia membuktikan keakraban kumpulan ini apabila mereka keluar bersama-sama. Saya suka melihat mereka meluangkan masa bersama,” katanya.

“Mereka ke Madrid untuk menonton tenis, saya tidak nampak sebarang masalah. Ia petanda positif bagi perpaduan pasukan,” tambahnya.

Sementara itu, Forest berada dua mata di atas zon penyingkiran, menduduki tangga ke-16 dengan 39 mata.

Pasukan itu akan turun ke perlawanan menentang Chelsea pada 4 Mei dengan semangat tinggi selepas memenangi 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa menentang Aston Villa pada 30 April.

Pengurus Forest, Vitor Pereira, berkata: 

“Saya akan cuba beri tumpuan hanya pada perlawanan menentang Chelsea kerana ia adalah Liga Juara-Juara. Ia sangat penting buat kami. Dan kami akan ke sana untuk bersaing... Pada saat ini, kami perlu bekerja keras dan berjuang.” – AFP.