LONDON: Raheem Sterling tidak disertakan dalam skuad Chelsea bagi pertandingan pertama mereka di Liga Konferens Eropah melawan Servette.
Pertandingan pada 23 Ogos itu akan menjadi pertandingan kedua penyerang berusia 29 tahun asal England itu tidak disertakan sebagai sebahagian skuad yang bertanding.
Sebelumnya, Sterling tidak disertakan pada pertandingan pembukaan Liga Perdana England (EPL) menentang Manchester City.
Pemain pertahanan Ben Chilwell, Wesley Fofana dan Tosin Adarabioyo juga tidak termasuk dalam skuad utama Chelsea yang dihantar kepada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) untuk pertandingan 23 Ogos akan datang di Stamford Bridge, yang akan dilanjutkan dengan pertandingan kedua di Switzerland pada 29 Ogos.
Jika Chelsea mara ke peringkat berikutnya, mereka mungkin dapat menghantar nama Sterling sebagai sebahagian daripada skuad di peringkat kumpulan liga berkenaan.
Ejen Sterling mengeluarkan satu kenyataan sebelum kekalahan melawan City pada 18 Ogos, bahawa mereka ingin kepastian mengenai masa depan Sterling di Chelsea.
Chelsea membelanjakan sekitar 185 juta paun ($314.8 juta) untuk membeli 11 pemain baru pada musim panas ini, menyebabkan pengurus kelab, Enzo Maresca, memiliki lebih 40 pemain berpengalaman dalam skuadnya.
Selepas pertandingan melawan City, Maresca berkata beliau “ingin Sterling (tetap) di Chelsea”, namun beliau mengakui tidak ada cukup tempat untuk semua pemainnya.
Sterling tampil untuk Chelsea sebanyak 81 kali semenjak ketibaannya dari Manchester City pada Julai 2022. Beliau diperolehi dengan 50 juta euro ($72.7 juta). – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg