LONDON: Chelsea bersetuju dengan bayaran secara prinsip untuk mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Joao Felix, dengan Conor Gallagher berpindah ke arah bertentangan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Bayaran untuk pemain antarabangsa Portugal itu tidak didedahkan, tetapi ia akan membolehkan beliau kembali ke Stamford Bridge dengan perjanjian enam tahun dan pilihan untuk disambung pada musim selanjutnya.
Perpindahan Felix, yang tertakluk kepada ujian perubatan, akan membawanya kembali selepas tempoh pinjaman di Chelsea.
Felix, 24 tahun, menjaringkan empat gol dalam 20 penampilan semasa di Stamford Bridge pada musim 2022/2023.
Sebagai pertukaran, pemain tengah England, Gallagher, akan menandatangani perjanjian lima tahun dengan Atletico.
Beliau telah berlatih secara bersendirian di pusat latihan kelab di Cobham, selepas ditinggalkan dalam keadaan tidak pasti selama seminggu.
Kegagalan perbincangan Chelsea untuk menandatangani penyerang Samu Omorodion telah menangguhkan perpindahan Gallagher bernilai £33 juta ($56 juta) ke Madrid, dengan Atletico perlu mengumpul dana untuk menyelesaikan perpindahan tersebut menerusi jualan pemain pasukan utama.
Perpindahan Felix ke Chelsea akan membuka jalan bagi Gallagher beraksi di Stadium Wanda Metropolitano.
Chelsea akan memberi tumpuan kepada penjualan pemain menjelang hari akhir pemindahan pada 30 Ogos, tetapi tetap berminat dengan penyerang Napoli, Victor Osimhen.
Kelab Italy itu sedang berusaha mendapatkan khidmat penyerang Romelu Lukaku, yang masih kekal bersama Chelsea, tetapi tidak mempunyai masa depan di sana.
Menurut Napoli, ia telah membuat tawaran kedua untuk menandatangani Lukaku secara pinjaman, dengan pilihan membeli bernilai £25.5 juta.
Tawaran itu kemungkinan besar ditolak kerana ia tidak memenuhi harga yang diminta Chelsea, iaitu sekitar £35 juta. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg