Topic followed successfully
Go to BHkuChelsea mara ke final Piala FA
Chelsea mara ke final Piala FA
Mereka akan berdepan Manchester City pada aksi final 16 Mei
Chelsea mara ke final Piala FA
LONDON: Jaringan tunggal Enzo Fernandez berjaya membawa Chelsea ke final Piala FA untuk bertemu dengan Manchester City, selepas pemain tengah asal Argentina itu mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Leeds United pada 26 April.
Perlawanan di Stadium Wembley itu merupakan perlawanan pertama kelab yang dikenali sebagai The Blues, sejak pemecatan pengurus mereka, Liam Rosenior.
Mengulas perlawanan tersebut, pengurus sementara Chelsea, Calum McFarlane berkata:
“Lega adalah perkataan yang paling tepat. Kami yakin sebelum perlawanan bermula – kami melalui persiapan yang sangat baik selama tiga hari – namun apa-apa sahaja boleh berlaku (di padang).
“Saya pernah memegang jawatan ini selama seminggu pada Januari, oleh itu saya tahu apa yang bakal saya hadapi. Malah, tugasan kali ini terasa lebih mudah kerana saya sudah mempunyai hubungan baik dengan pemain.”
“Saya telah bekerja dengan mereka selama tiga atau empat bulan sekarang, jadi saya faham apa yang mereka perlukan dari segi psikologi,” tambah McFarlane.
Gol kemenangan melalui tandukan Fernandez pada minit ke-23 dalam aksi separuh akhir itu dianggap sebagai satu kejutan yang ironi, memandangkan kemelut yang melanda Chelsea baru-baru ini.
Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini menjadi watak yang mencetuskan perpecahan di penghujung tempoh pengurusan singkat Rosenior.
Fernandez digugurkan daripada dua perlawanan gara-gara memberi bayangan dalam satu temu bual bahawa beliau sedang menimbangkan untuk meninggalkan Chelsea pada akhir musim.
Cara Rosenior mengendalikan insiden tersebut memburukkan lagi hubungannya yang sememangnya rapuh dengan skuad tersebut, ditambah prestasi Chelsea yang menunjukkan kemerosotan.
Rosenior dipecat pada 22 April selepas rentetan buruk lima kekalahan berturut-turut tanpa sebarang gol – rekod terburuk kelab sejak 1912 – yang memuncak dengan kekalahan memalukan 3-0 di tangan Brighton & Hove Albion pada 21 April.
Pengurus yang hanya bertahan selama 107 hari selepas berpindah dari Strasbourg itu, telah mencari padah apabila beliau mengkritik keinginan dan semangat pemainnya selepas perlawanan menentang Brighton.
Kemarahan terbuka itu menjadi titik noktah kepada kesabaran pemilik Chelsea, serta turut mendedahkan jurang perbezaan antara Rosenior dengan barisan pemain bintangnya, selain kekecewaan beliau yang dinyatakan secara terbuka terhadap pemergian pengurus sebelum ini, Enzo Maresca.
Rentetan keputusan buruk Chelsea telah merosakkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan, meninggalkan mereka 10 mata di belakang pasukan tempat kelima, Aston Villa, dengan hanya berbaki empat perlawanan.
Namun, di bawah bimbingan McFarlane, The Blues kini mampu menebus sebahagian daripada musim malang ini dengan peluang memenangi Piala FA buat kali pertama sejak 2018.
Pemain pertahanan The Blues, Trevoh Chalobah berkata:
“Kami mahu berjuang demi kelab dan penyokong. Ini adalah detik yang sukar, tetapi apa ini yang kami perlukan adalah semangat juang. Semua pemain benar-benar bersedia untuk ini.”
Penjaga gol, Robert Sanchez menambah:
“Barisan pemain memberi tindak balas yang sepatutnya. Kami cuba mengekalkan suasana positif dalam latihan dan perlawanan ini adalah peluang untuk melangkah ke satu lagi final...
“Penyokong berhak menikmati detik sebegini. Perasaan dapat membalas semula (sokongan mereka) selepas melalui tempoh yang sukar, adalah sesuatu yang indah.”
Chelsea bakal berdepan City di final pada 16 Mei, selepas skuad kendalian Pep Guardiola bangkit daripada ketinggalan gol untuk menewaskan pasukan divisyen dua, Southampton, 2-1 pada 25 April.
Chelsea yang telah memenangi Piala FA sebanyak lapan kali, kini melangkah ke final buat kali ke-17 dalam sejarah kelab dan merupakan penampilan pertama mereka sejak tewas kepada Liverpool pada 2022.
Sekiranya Chelsea berjaya menumbangkan City di Wembley, McFarlane yang kurang berpengalaman bakal menjadi antara pengurus paling tidak dijangka memenangi Piala FA, selepas menggalas tugas daripada peranannya bersama skuad Bawah 21 tahun Chelsea untuk membantu Rosenior sebelum ini. – AFP.

