Topik diikuti
Pergi ke BHkuRosenior berang, persoal kesungguhan Chelsea selepas kalah kepada Brighton
Rosenior berang, persoal kesungguhan Chelsea selepas kalah kepada Brighton
Kekalahan papar penurunan prestasi pasukan setelah kalah lima kali berturut-turut tanpa gol
Rosenior berang, persoal kesungguhan Chelsea selepas kalah kepada Brighton
BRIGHTON: Ketua jurulatih Chelsea, Liam Rosenior, menyifatkan persembahan pasukannya ketika tewas kepada Brighton & Hove Albion sebagai sesuatu yang “tidak boleh dipertahankan” dan “tidak boleh diterima”, selepas beliau berdepan sorakan penuh marah daripada penyokong buat kali pertama.
Sorakan tersebut bermula apabila Chelsea ketinggalan 0-1 di padang lawan, Stadium American Express (Amex), dalam keadaan pasukan tersebut hampir tidak melakukan sebarang percubaan gol, sebelum akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 0-3.
Kekalahan pada 21 April itu jelas membimbangkan dan menunjukkan penurunan prestasi ketara oleh kelab yang dikenali sebagai The Blues.
Ini kerana Chelsea hanya berjaya melakukan rembatan ke arah gol pada minit ke-40 selain kerap melakukan kesilapan di bahagian pertahanan.
Ini merupakan kekalahan kelima berturut-turut The Blues tanpa sebarang gol dijaringkan – rekod terburuk kelab itu sejak 1912.
Ketika diminta mengulas prestasi pasukan, Rosenior dengan penuh kecewa berkata:
“Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam setiap aspek permainan, malah sikap kami juga tidak boleh diterima.
“Saya sering tampil mempertahankan pemain, namun persembahan malam ini sememangnya tidak boleh dipertahankan.
“Cara gawang kami dibolosi, kekalahan dalam perebutan bola, serta kurangnya semangat dalam pasukan.
“Sesuatu perlu diubah dengan ketara sekarang juga. Saya rasa pemain perlu lihat kembali tentang apa yang telah mereka persembahkan.
“Kita boleh bercakap soal taktik... namun taktik datang selepas perkara asas dipenuhi.
“Keberanian untuk bermain, memenangi persaingan, tandukan, rebutan bola, serta mengelak daripada gawang dibolosi gol.
“Persembahan malam ini memang tidak boleh diterima.”
Kekalahan Chelsea itu disaksikan sendiri oleh pemilik bersama kelab, Behdad Eghbali, serta pengarah sukan kelab di Stadium Amex – tempat di mana Rosenior memulakan kerjaya kejurulatihannya.
Rosenior tuntut kebangkitan pasukan
Persoalan mula timbul sama ada pengurus asal England itu mampu mengekalkan jawatannya untuk jangka masa panjang, dengan aksi separuh akhir Piala FA menentang Leeds di Wembley pada 26 April menjadi peluang terakhir untuk menyelamatkan kempen mereka musim ini.
Ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan di tangga kelima, Liverpool, dengan kelebihan satu perlawanan, harapan Chelsea untuk ke Liga Juara-Juara kelihatan malap.
Malah, timbul tanda tanya sama ada ketua jurulatih, pemain, mahupun penyokong masih sehaluan.
Apabila ditanya mengenai hal ini, Rosenior menegaskan beliau tidak merasakan wujudnya jurang antara dirinya dengan pemain kerana mereka bekerjasama rapat dalam latihan, sesi individu, mahupun mesyuarat pasukan.
Menurut beliau, tanggapan negatif ini berpunca daripada “kekurangan semangat dan kehilangan keyakinan (pasukan)”.
“Saya tidak boleh menyangkal perkara itu buat masa ini kerana rentetan keputusan kami memang tidak boleh diterima, begitu juga dengan persembahan (malam ini),” tambah Rosenior.
“Kami tewas dalam 80 peratus persaingan bola dan tidak memenangi satu pun tandukan.
“Malam ini bukan soal taktik. Ini soal keinginan, semangat, serta keberanian, dan saya tidak melihat perkara itu dalam pasukan malam ini.
“Ini soal tanggungjawab. Saya sering mempertahankan pemain pada waktu yang sepatutnya, tetapi saya tidak boleh mempertahankan persembahan ini.
“Ia tidak mencerminkan kelab bola sepak ini, tidak mencerminkan apa yang saya mahukan daripada kumpulan ini dan perkara itu mesti berubah.”
Antara aspek yang perlu diubah secara drastik termasuklah profesionalisme, sikap pemain secara umum, semangat, serta keazaman, yang Rosenior sifatkan sebagai masih jauh ketinggalan daripada standard kelab tersebut.
Perubahan tersebut mesti dilakukan dengan pantas sebelum perlawanan separuh akhir Piala FA pada 26 April.
Masa depan Rosenior sebagai pengurus
Sepanjang perlawanan, penyokong melepaskan rasa marah terhadap pihak pengurusan tertinggi, selain turut melaungkan nama bekas pemilik, Roman Abramovich.
Laungan sedemikian sering kedengaran dalam kalangan penyokong Chelsea pada perlawanan di padang lawan sejak 18 bulan lalu, namun kini ia semakin kerap didengari di stadium sendiri, Stamford Bridge.
Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama Rosenior menjadi sasaran kemarahan penyokong, di tengah-tengah khabar angin mengenai pertukaran pengurus keenam di bawah kumpulan pemilik Clearlake Capital dan Todd Boehly.
Apabila ditanya mengenai tindakan penyokong yang mula menunjukkan rasa tidak puas hati terhadapnya, Rosenior berkata:
“Saya faham kekecewaan penyokong. Ini adalah tugas saya sebagai ketua jurulatih dan pengurus – saya ambil tanggungjawab sepenuhnya.”
“Saya sendiri kecewa dengan persembahan yang kami tonjolkan dan saya perlu terus bekerja keras bersama barisan kakitangan serta pemain.”
Bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton, memberitahu Sky Sports:
“Pasukan ini kelihatan seperti tidak pernah bermain bersama sebelum ini. Apa yang lebih buruk ialah mereka mempamerkan aksi yang sangat tidak bermaya.
“Isu yang akan dihadapi Rosenior ialah orang ramai akan melihat persembahan ini dan mendakwa beliau telah hilang sokongan pemain, namun pemain Chelsea juga perlu menilai prestasi mereka sendiri.
“Chelsea sangat mengecewakan dan (prestasi) mereka semakin merosot. Nasib seterusnya buat Chelsea dan Rosenior masih menjadi satu tanda tanya.” – Agensi berita.
“
“Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam setiap aspek permainan, malah sikap kami juga tidak boleh diterima. Saya sering tampil mempertahankan pemain, namun persembahan malam ini sememangnya tidak boleh dipertahankan. Cara gawang kami dibolosi, kekalahan dalam perebutan bola, serta kurangnya semangat dalam pasukan. Sesuatu perlu diubah dengan ketara sekarang juga. Saya rasa pemain perlu lihat kembali tentang apa yang telah mereka persembahkan... Persembahan malam ini memang tidak boleh diterima.”