LONDON: Kurang empat bulan selepas menandatangani kontrak selama lima tahun setengah bersama Chelsea, tempoh perkhidmatan Liam Rosenior di Stamford Bridge berakhir secara tiba-tiba.

Pengurus berusia 41 tahun itu sebelum ini mengambil alih peranan Enzo Maresca pada Januari lalu.

Namun, selepas mencatatkan 10 kekalahan dalam 23 perlawanan, beliau akhirnya disingkirkan.

Rosenior menyertai Chelsea ketika reputasinya sedang meningkat selepas berjaya membawa kelab Ligue 1, Strasbourg, ke kejohanan Eropah buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun, pada musim sulungnya di Perancis.

Timbul persoalan mengapa beliau tidak menonjolkan kehebatan yang sama ketika bersama Chelsea.

Tempoh kepimpinan Rosenior berakhir kurang 24 jam selepas beliau mengkritik pemainnya secara terbuka menyusuli kekalahan 0-3 di tangan Brighton pada 21 April.

Insiden tersebut menjadi punca utama yang membawa kepada pemecatannya. 

Kesungguhan Rosenior untuk menaikkan nama kelab itu jelas kelihatan, malah beliau sering mempertahankan barisan pemainnya, sehingga kadangkala memakan diri.

Namun, di sebalik kritikannya terhadap pemain kelab yang dikenali sebagai ‘The Blues’ itu, terdapat petanda sejak awal kepimpinannya bahawa barisan pemain tersebut kurang yakin dengan kebolehannya. 

Meskipun meraih kejayaan memberangsangkan di Strasbourg, bekas pengurus Hull City itu belum pernah menguruskan mana-mana pasukan dalam Liga Perdana England (EPL).

Barisan pemain Chelsea memegang pandangan berbeza terhadapnya, namun pemain yang bertutur bahasa Sepanyol dilihat sebagai kumpulan yang paling tidak yakin dengannya.

Hal ini terbukti menerusi ulasan yang dibuat Marc Cucurella dan Enzo Fernandez semasa tempoh rehat antarabangsa pada Mac, apabila kedua-duanya secara terbuka membincangkan kemungkinan berpindah ke kelab Sepanyol.

Menurut beberapa sumber, sesi mesyuarat bersama pemain utama kelab itu menjadi semakin hambar dan sunyi tatkala kepimpinan Rosenior mula goyah.

Beliau turut bergelut untuk mendapatkan penglibatan aktif yang diharapkan daripada pemain.

Bukti tambahan dapat dilihat melalui maklumat bocor mengenai kesebelasan utama pasukan bagi kedua-dua perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Paris St-Germain (PSG). 

Menurut sumber, maklumat tersebut dipercayai dibocorkan dari dalam bilik persalinan sendiri.

Sumber rapat dengan beberapa pemain mengesahkan bahawa Rosenior mula kehilangan kuasa apabila beliau cuba melaksanakan lebih banyak ideanya sendiri. 

Ini berlaku selepas beliau pada awalnya bergantung kepada pelan asal Maresca sepanjang enam minggu pertama mengendalikan pasukan itu, berikutan masa terhad di padang latihan.

Keputusan taktikal utama beliau turut menjadi bahan kritikan.

Satu sumber yang rapat dengan PSG berkata pendekatan Rosenior dalam kedua-dua perlawanan itu dianggap terlalu terbuka, sehingga memberi ruang kepada juara Perancis tersebut membelasah Chelsea dengan agregat 8-2.

Meskipun demikian, sebilangan besar pemain dikatakan menganggap Rosenior sebagai seorang individu sangat baik, selain lebih popular dalam kalangan pemain warga England dalam skuad tersebut.

Riak kecewa jelas kelihatan dalam kalangan barisan kepimpinan kelab itu apabila Chelsea gagal menewaskan Brighton pada 21 April – situasi yang disifatkan oleh satu sumber kanan sebagai titik perubahan dalam pendirian kelab itu terhadap Rosenior.

Sehingga saat itu, pihak yang bertanggungjawab melantik Rosenior masih berharap beliau dapat menunjukkan peningkatan – sekurang-kurangnya cukup untuk menstabilkan pasukan itu sehingga akhir musim.

Namun akhirnya, Chelsea dirasakan mempunyai peluang lebih baik untuk melayakkan diri ke kejohanan Eropah serta memburu kejayaan dalam Piala FA tanpa Rosenior bagi baki perlawanan musim ini. 

Ini memandangkan The Blues jelas memerlukan ‘suara baru’ untuk menghidupkan semula semangat pasukan. – Agensi berita.