Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chelsea terus boros, Pedro jadi penyerang terkini ‘The Blues’

Pemain dari Brighton bernilai £60 juta; jumlah perbelanjaan Chelsea untuk ‘striker’ dalam tempoh lebih tiga tahun £560 juta
Jul 7, 2025 | 5:30 AM
 Joao Pedro, Chelsea
Bekas penyerang Brighton, Joao Pedro (dua dari kanan), merupakan penyerang ke-18 yang ditandatangani Chelsea dalam tempoh tiga tahun. Ketibaan beliau memperkukuh mutu pilihan Chelsea bagi barisan serangan mereka. - Foto REUTERS

LONDON: Joao Pedro merupakan penyerang ke-18 yang menandatangani kontrak bersama Chelsea dalam tempoh lebih tiga tahun di bawah pemilik Chelsea, BlueCo, konsortium yang diketuai oleh ahli perniagaan Amerika, Ted Boehly.

Pedro menyertai Chelsea dari Brighton dalam urusan bernilai £60 juta ($104 juta), menjadikan jumlah perbelanjaan Chelsea untuk pemain serangan dalam tempoh tersebut mencecah £560 juta.

Pemain berusia 23 tahun itu terus menyertai skuad Chelsea dalam kemenangan 2-1 perlawanan suku akhir Piala Dunia Kelab menentang pasukan Brazil, Palmeiras, pada 5 Julai di Philadelphia.

Seperti biasa bagi pemain baru Chelsea, Joao Pedro, menandatangani kontrak tempoh panjang – selama lapan tahun.

Produk akademi Fluminense tersebut mencatatkan 30 gol dalam 70 perlawanan bersama Brighton selepas menyertai mereka dari Watford pada 2023 dengan nilai hampir £30 juta – jumlah rekod perpindahan kelab pada masa itu.

“Semua orang tahu Chelsea merupakan kelab besar dengan sejarah kegemilangan,” katanya.

“Mereka pernah mempunyai pemain hebat sebelum ini dan kini juga, jadi saya teruja dapat sertai mereka.”

Ketua jurulatih Brighton, Fabian Hurzeler, menyifatkan perpindahan tersebut sebagai “keputusan yang baik bagi semua pihak”.

“Ia perjanjian terbaik untuk kelab dan pulangan baik daripada pelaburan besar dalam bahagian barisan serangan di mana kami mempunyai persaingan hebat dan ramai pemain berbakat.”

“Ini juga langkah menarik untuk Joao – ia membuka peluang baginya untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan, dan sudah tentu beliau mahu mengukuhkan tempat dalam skuad Brazil sebelum Piala Dunia musim depan.”

Perbelanjaan Chelsea dijangka terus meningkat.

Tawaran £55 juta untuk membeli pemain sayap England berusia 20 tahun, Jamie Gittens, daripada Borussia Dortmund telah diterima.

Setelah perpindahan Gittens selesai, Chelsea akan menambah Gittens, Joao Pedro dan Liam Delap kepada barisan serangan yang sudah mantap dengan kehadiran Cole Palmer, Nicolas Jackson, Pedro Neto, Noni Madueke, Christopher Nkunku, Marc Guiu dan Tyrique George.

Estevao Willian juga menyertai Chelsea dari Palmeiras selepas perlawanan Piala Dunia Kelab antara kededua kelab tersebut pada 5 Julai.

Walaupun kelihatan seperti Chelsea seolah-olah melakukan perpindahan sekadar untuk menambah kepada senarai pasukannya, ada strategi tertentu di sebaliknya.

Tandatangan Joao Pedro dijangka menambah persaingan bagi posisi nombor sembilan dan 10, selepas Nkunku dijangka meninggalkan kelab.

Gittens bakal mengisi posisi pemain sayap kiri dan menggantikan Jadon Sancho selepas pinjaman Sancho dari Manchester United tidak diteruskan.

Delap pula akan menambah persaingan bagi posisi nombor sembilan kerana Chelsea dilihat agak kekurangan dari segi penyerang utama musim lalu.

Chelsea tidak akan memaksa mana-mana pemain dalam skuad Piala Dunia Kelab mereka untuk meninggalkan kelab, tetapi akan pertimbangkan tawaran lumayan untuk Madueke atau Jackson.

Walaupun Chelsea telah menandatangi lebih 18 pemain dalam barisan serangan, tempat penyerang mereka, Cole Palmer, tetap tidak terancam. Chelsea menyifatkan beliau sebagai pemain yang tidak akan dijual pada tempoh perpindahan kini.
Walaupun Chelsea telah menandatangi lebih 18 pemain dalam barisan serangan, tempat penyerang mereka, Cole Palmer, tetap tidak terancam. Chelsea menyifatkan beliau sebagai pemain yang tidak akan dijual pada tempoh perpindahan kini. - Foto REUTERS

Perkara tersebut berlainan dengan Palmer, yang dianggap ‘tidak boleh dijual’.

Chelsea kini mempunyai lapan pemain serangan untuk mengisi empat ruang penyerang, dan jumlah tersebut belum termasuk pemain tengah sepertim Enzo Fernandez dan Andrey Santos, yang kerap bermain di antara posisi penyerang.

Peluang untuk meminjamkan Guiu dan George, masing-masing berusia 19 tahun, masih terbuka.

Mereka memainkan peranan penting dalam kempen Liga Konferens musim lalu, tetapi Chelsea perlu memperkuat skuad selepas kembali ke Liga Juara-Juara.

Pemain serangan yang kini diasingkan seperti, Raheem Sterling, Joao Felix dan Armando Broja, masih bersama kelab dan tersedia untuk dijual.

Perjanjian Chelsea dengan Joao Pedro menjadikan jumlah perbelanjaan awal perpindahan mereka mencecah £1.32 bilion dalam tujuh tempoh perpindahan sejak pemilik sekarang mengambil alih pada 2022.

Lebih £560 juta atau 43 peratus daripada perbelanjaan Chelsea dihabiskan untuk 18 pemain serangan.

Tiga belas daripada mereka sudah beraksi untuk Blues dengan pelbagai tahap kejayaan setakat ini.

Chelsea menggunakan pendekatan membeli pemain muda dengan gaji lebih rendah dan mengaturkan bayaran secara ansuran mengikut tempoh kontrak jangka panjang.

Pendekatan tersebut membantu Chelsea mencari bintang baru serta menjual bakat tidak diperlukan pada masa depan, dan dijangkakan mendatangkan keuntungan bagi mereka.

Namun kemampuan mereka untuk berbelanja dan menambah kekuatan skuad mungkin bergantung pada tindak balas EPL terhadap penjualan pasukan wanita mereka kepada syarikat induk BlueCo dengan nilai £198.7 juta – satu proses yang membawa keuntungan kepada keseluruhan perniagaan Chelsea.

Langkah tersebut memberi “kelonggaran” di bawah peraturan perbelanjaan EPL, sementara keadaan kewangan Chelsea juga semakin kukuh dengan penyertaan mereka dalam Liga Juara-Juara musim depan dan kejohanan Piala Dunia Kelab. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg