LONDON/MANCHESTER: Chelsea meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Barcelona yang bermain dengan 10 pemain dalam Liga Juara-Juara pada 25 November hasil gol sendiri, kemahiran pemain remaja, Estevao, dan jaringan pertama musim ini oleh Liam Delap.
Chelsea memberi tekanan kepada juara Sepanyol itu sejak sepak mula dan mendahului pada minit ke-27 apabila pemain pertahanan Barcelona, Jules Kounde, menolak bola ke dalam gawangnya sendiri.
Pasukan pelawat itu terpaksa bermain pada separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas kaptennya, Ronald Araujo, dibuang padang kerana melakukan terjahan terburu-buru yang menyebabkan kad kuning kedua pada minit ke-44.
Chelsea mengambil kesempatan itu dan 10 minit selepas rehat, Estevao, 18 tahun, meluncur laju ke dalam kawasan penalti dan melepaskan sepakan tajam dari sudut yang sempit.
Delap memburukkan lagi kesengsaraan Barcelona dengan gol pada minit ke-73, sekali gus meletakkan Chelsea di tempat kelima dan pasukan Catalan itu di tempat ke-15 dengan persaingan untuk mara ke tempat kelayakan secara automatik.
Manchester City pula mengalami kekalahan Liga Juara-Juara yang jarang berlaku, di Stadium Etihad pada 25 November, apabila pasukan Bundesliga, Bayer Leverkusen, meraih kemenangan 2-0 yang menakjubkan untuk menamatkan rentetan 23 perlawanan tanpa kalah pasukan tuan rumah dalam peringkat kumpulan atau liga pertandingan itu.
Kekalahan itu mencemari perlawanan Liga Juara-Juara ke-100 Pep Guardiola sebagai pengurus City dan meninggalkan pasukan Liga Perdana itu di tempat keenam dengan 10 mata selepas lima perlawanan.
Alejandro Grimaldo dan Patrik Schick menjaringkan gol untuk Leverkusen, yang berada di tempat ke-13.
Guardiola merehatkan kebanyakan pemain utama tetapnya untuk separuh masa pertama dengan 10 pertukaran dan langkah berisiko itu terbukti memakan diri sendiri.
Leverkusen menjaringkan gol pada minit ke-23 menerusi serangan balas apabila Malik Tillman membuat hantaran lintang yang ditahan Christian Kofane di kawasan penalti untuk Grimaldo merembat masuk.
Guardiola memasukkan pemain tambahan untuk memulakan separuh masa kedua dengan Phil Foden, Jeremy Doku dan Nico O’Reilly, tetapi ia tidak menghalang pasukan pelawat daripada menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-54 dengan tandukan Schick yang melepasi hantaran Nathan Ake dan melepasi tangan penjaga gol, James Trafford.
Penjaring City, Erling Haaland, memasuki padang pada minit ke-65 dengan tepukan gemuruh.
Namun, tiada aksi menarik pada lewat perlawanan dengan Mark Flekken berjaya menahan peluang terbaik pemain Norway yang hebat itu, satu lawan satu dengan penjaga gol selepas berlari ke arah bola hantaran Foden.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya. Kami kini perlu berjuang untuk perlawanan seterusnya,” kata Guardiola.
Pengurus Leverkusen, Kasper Hjulmand, menyifatkannya sebagai malam yang sukar dilupakan.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, bukan sahaja kerana kami menang, tetapi juga prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan.
“Saya sangat menyanjung para pemain, dan kami sedang membina kekuatan pasukan kami dan saya kira malam ini adalah malam yang tidak dapat dilupakan,” tambahnya.
City tidak pernah tewas di tempat sendiri dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sejak kekalahan mengejut 1-2 kepada Lyon pada September 2018. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg