LONDON: Chelsea berpesta gol dengan kemenangan 5-1 ke atas Ajax Amsterdam dalam aksi penuh drama Liga Juara-Juara dalam keadaan hujan lebat di Stamford Bridge pada 22 Oktober.
Perlawanan itu menyaksikan tiga gol dijaringkan oleh pemain remaja, tiga sepakan penalti dan satu kad merah.
Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca, menurunkan skuad dengan purata umur hanya 22 tahun serta membuat 10 pertukaran daripada kesebelasan yang menewaskan Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana England (EPL) pada 18 Oktober.
“Saya bekerja dengan mereka setiap hari. Saya tahu kemampuan mereka,” kata Maresca mengenai barisan mudanya itu.
“Perkara terbaik tentang mereka ialah semangat mereka untuk belajar dan keinginan untuk terus berkembang.”
Malang menimpa Ajax seawal minit ke-17 apabila kapten mereka, Kenneth Taylor, dilayangkan kad merah selepas terjahan keras terhadap Facundo Buonanotte selepas pengadil, Felix Zwayer, menukar keputusan asalnya daripada kad kuning setelah meneliti rakaman video pembantu pengadil (VAR).
Hanya seminit kemudian, hasil sepakan percuma akibat asakan itu, penyerang Chelsea berusia 19 tahun, Marc Guiu, menyambar hantaran Wesley Fofana dari jarak dekat untuk membuka jaringan.
Pemain tengah, Moises Caicedo, menggandakan kelebihan pasukannya pada minit ke-29 dengan rembatan dari jarak 30 meter yang berjaya melepasi penjaga gawang Ajax, Remko Pasveer.
Ajax merapatkan kedudukan dua minit kemudian apabila Wout Weghorst menyempurnakan sepakan penalti selepas Tosin Adarabioyo mengasari Raul Moro.
Namun, Chelsea menambah jaringan apabila Weghorst mengasari pemain tengah, Enzo Fernandez, di kotak penalti.
Kapten muda itu tenang menyempurnakan penalti untuk menjadikan kedudukan perlawanan 3-1 memihak kepada Chelsea.
Pada masa tambahan separuh masa pertama, Estevao mempamerkan kelicikan beliau di dalam kotak penalti yang mengumpan pemain pertahanan Youri Baas supaya mengasarinya di dalam kotak penalti.
Pemain dari Brazil berusia 18 tahun itu tidak mensia-siakan peluang, menjaringkan penaltinya untuk meletakkan Chelsea di depan 4-1 sebelum waktu rehat.
Chelsea memasukkan penyerang muda, Tyrique George, pada separuh masa kedua, dan pemain berusia 19 tahun itu segera mencipta impak apabila menjaringkan gol kelima hanya tiga minit selepas beliau dimasukkan.
Pemain tengah Chelsea, Reggie Walsh, juga diberi peluang beraksi pada separuh masa kedua, dan pemain berusia 17 tahun itu menjadi pemain termuda Chelsea dalam sejarah Liga Juara-Juara.
Dengan kemenangan tersebut, Chelsea kini naik ke tangga ke-11 dalam carta Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Bayern Munich pada perlawanan pembukaan musim pada 18 September, kemudian menewaskan Benfica pada 1 Oktober sebelum mengatasi Ajax. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg