BARCELONA: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menyifatkan musim pertama pasukannya tanpa piala sejak 2017, sebagai musim mengembangkan prestasi dan peluang menilai semula pencapaian pasukannya.
Beliau turut menolak tanggapan ia adalah satu kegagalan, malah menyatakan ia mungkin satu pencapaian lebih besar berbanding ketika menjadi juara pada liga sebelum ini.
“Saya mahu rasa derita apabila tidak menang perlawanan.
“Saya mahu rasa teruk. Saya mahu rasa sukar tidur dengan lena.
“Apabila keadaan tidak berjalan dengan baik, saya mahu ia memberi kesan kepada saya... saya mahu rasa itu semua!”
“Saya rasa marah... makanan pun rasa tak sedap... saya tak perlu makan banyak sebab saya perlu rasa kemarahan itu.
“Jika tidak, apa maknanya menang atau kalah? Kita hidup di dunia ini untuk rasai pelbagai pengalaman dan emosi,” ujar beliau.
Pengurus berusia 54 tahun itu, yang telah memenangi 12 kejuaraan liga utama domestik di Sepanyol, Jerman dan England, bercakap mengenai cabaran musim lalu, yang menyaksikan City menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana England (EPL), dan gagal meraih sebarang piala dalam pertandingan peringkat domestik mahupun Eropah.
Ini adalah musim kedua dalam kerjaya beliau sebagai pengurus yang berakhir tanpa sebarang piala.
Guardiola menolak anggapan musim lalu adalah satu kegagalan, sebaliknya menyatakan ia mungkin musim paling bermakna sepanjang tempohnya bersama City.
“Orang menilai bahawa kebahagiaan dikecapi jika menang.
“Orang menilai anda berjaya jika anda menang dan terus menang dan itulah masalahnya,” katanya.
“Saya tidak akan menilai diri saya atau prestasi pasukan saya berdasarkan musim baik atau buruk... mungkin dengan menduduki tempat ketiga dalam sesuatu musim dengan sikap yang tidak pernah berputus asa... mungkin itu musim lebih baik berbanding memenangi Liga Perdana keempat berturut-turut.
“Kami menghadapi begitu banyak kesukaran kerana kecederaan, rasa selesa, saya sendiri mungkin tidak cukup baik… ada banyak sebab.
“Jika diteliti, musim lalu sebenarnya lebih baik.
“Kami layak menyertai Liga Juara-Juara ketika kami hampir gagal mencapainya,” tambah beliau.
Mengimbas kembali kekalahan pasukannya, beliau memetik kata-kata mantan Presiden Uruguay, Encik Jose Mujica:
“Kejayaan adalah berapa kali anda bangun semula selepas jatuh.”
“Jatuh, bangun, jatuh, bangun. Itulah kejayaan sebenar.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg