LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, telah meletakkan Rayan Ait-Nouri sebagai pilihan utamanya bagi menyelesaikan masalah posisi pertahanan kiri dalam pasukannya.
City telah beraksi tanpa seorang pemain bek kiri handalan sejak Benjamin Mendy meninggalkan kelab tersebut.
Kali terakhir beliau bermain bersama kelab tersebut ialah pada Ogos 2021.
Antara pemain yang pernah mengisi posisi tersebut ialah Oleksandr Zinchenko, Joao Cancelo dan Josko Gvardiol.
Pemain muda Nico O’Reilly kemudiannya mengisi peranan itu menjelang penghujung musim lalu, yang turut menyaksikan kekalahan City kepada Crystal Palace dalam aksi final Piala Persatuan Bola Sepak England (FA).
Namun, Guardiola kini bertekad untuk menyelesaikan isu tersebut pada musim panas ini dan pemain pertahanan Wolves, Ait-Nouri, menjadi pilihan utama beliau.
Belum ada perjanjian dimeterai setakat ini bagi pemain antarabangsa Algeria berusia 23 tahun itu, namun beberapa sumber yakin pemindahan pemain itu akan berlaku.
Ait-Nouri telah disenaraikan dalam skuad Algeria bagi perlawanan persahabatan menentang Rwanda (5 Jun) dan Sweden (10 Jun).
City perlu melengkapkan urusan pemindahan pemain tersebut sebelum 10 Jun, bagi membolehkan Ait-Nouri beraksi pada peringkat kumpulan dalam Piala Dunia Kelab.
Ait-Nouri mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol (11 kali) berbanding pemain pertahanan Liga Perdana lain pada musim lalu, menyerlahkan keupayaannya apabila menyertai serangan.
Selain beliau, hanya Leif Davis (61), Pedro Porro (57) dan Trent Alexander-Arnold (53) mencipta lebih banyak peluang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol berbanding bekas pemain Angers itu (46).
Aaron Wan-Bissaka adalah satu-satunya pemain pertahanan teratas yang berjaya melakukan lebih banyak aksi gelecek bola (64) berbanding Ait-Nouri (63) pada musim lalu.
Guardiola juga sedar bahawa Ait-Nouri telah mempamerkan keupayaan membendung ancaman serangan pasukan lawan dengan cepat.
Bekas jurulatih Wolves, Edu Rubio, yang pernah membimbing Ait-Nouri pada musim 2022-23, berkata bahawa kecekapan teknikal dan kemahiran pemain itu di kawasan sempit dalam mengawal bola dengan baik, memberi beliau peluang menjadi pemain pilihan Guardiola. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg