Topik diikuti
Pergi ke BHkuCity bakal berdepan bahang Anfield selepas didapati bersalah langgar aturan kewangan
City bakal berdepan bahang Anfield selepas didapati bersalah langgar aturan kewangan
ANFIELD (Liverpool): Manchester City bakal berdepan sambutan penuh ketegangan apabila berkunjung ke Anfield untuk menentang Liverpool pada 11 Oktober, dalam aksi pertama kelab itu sejak didapati bersalah atas pelanggaran serius terhadap peraturan kewangan Liga Perdana England (EPL).
Namun, sejauh mana keputusan itu akan memberi kesan kepada pasukan pendahulu liga itu masih belum dapat dipastikan.
Ruang sembang dalam kalangan penyokong agak hangat dengan pelbagai pandangan dan kecaman, tetapi perkara itu bukan sesuatu yang baharu dalam pertembungan antara dua kelab gergasi tersebut.
Kontroversi membabitkan ‘kontrak komersial palsu’ itu sudah menghantui EPL selama bertahun-tahun dan dijangka masih belum berakhir dalam masa terdekat selepas City mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Persoalannya kini ialah sejauh mana kontroversi itu akan tercetus di tempat duduk penonton di Anfield, serta merebak ke stadium pasukan lain sepanjang musim ini.
“Jika mereka mahu tahu betapa marahnya dunia bola sepak nanti, Anfield akan menunjukkan kepada mereka sesuatu yang tidak pernah mereka bayangkan,”
“Saya jangkakan akan ada sepanduk dan sudah tentu laungan daripada penyokong. Mereka akan menerima sambutan yang mungkin tidak pernah mereka alami sebelum ini di Anfield... ia akan menjadi hari yang sangat mencabar,” kata bekas kapten Manchester United dan pertahanan England, Gary Neville, menerusi podcastnya, The Overlap.
Polis Merseyside pula memaklumkan bahawa operasi kawalan keselamatan yang bersesuaian akan dilaksanakan pada hari perlawanan.
Namun, beberapa pengulas berpendapat penyokong Liverpool sebenarnya sudah lama menganggap City sebagai ‘bermain tipu’, sejak kelab itu didakwa oleh EPL pada Februari 2023.
“Pemain Man City sudah tahu apa yang bakal dilakukan penyokong lawan susulan kes dakwaan tersebut,” lapor akhbar tempatan Manchester, Manchester Evening News.
“Pemain City tidak semestinya akan berdepan sesuatu yang baharu apabila kembali menjalankan tugas bersama kelab pada hujung minggu ini.
“Ia mungkin tidak menyenangkan, tetapi agak mengejutkan jika perkara itu benar-benar mengejutkan mereka, memandangkan pemain sudah begitu biasa menerima kecaman sedemikian,” tulis wartawan utama Manchester Evening News, Simon Bajkowski, yang membuat liputan mengenai City di akhbar itu.
City kini masih belum tewas dalam lima perlawanan dan mendahului juara bertahan, Arsenal, dengan kelebihan tiga mata di puncak liga.
Mereka pula memiliki kelebihan lima mata berbanding Brighton & Hove Albion di tangga ketiga.
City dijangka masih menduduki tangga teratas menjelang pertembungan itu walaupun Arsenal menewaskan Leeds United, berikutan perbezaan jaringan empat gol antara dua pasukan teratas itu.
Seorang penyumbang di laman web lfcreds.com berpendapat bahawa cara terbaik untuk Liverpool memberikan respons adalah dengan menewaskan City di padang, manakala penyokong pula boleh menyuarakan perasaan mereka di Anfield. – Agensi berita.