LONDON: Hukuman terhadap pasukan Manchester City kerana melanggar peraturan Liga Perdana England (EPL) sepatutnya dijatuhkan sebelum musim ini berakhir, kata beberapa tokoh kanan bola sepak kepada BBC Sport.

Pihak EPL menyatakan pada 29 September bahawa City didapati bersalah atas semua tuduhan berkaitan pelanggaran peraturan kewangannya antara musim 2009-10 dengan musim 2017-18.

Antaranya ialah menaikkan hasil pendapatan kelab secara tidak wajar sebanyak lebih 900 juta paun ($1.52 bilion) melalui perjanjian penajaan “palsu”.

City berulang kali menafikan kesalahan itu dan memberi isyarat bahawa mereka akan memfailkan rayuan sebelum minggu ini berakhir.

Ada kebimbangan bahawa proses itu, yang sudah berlarutan tiga tahun sejak City dituduh, mungkin berlanjutan lebih lama lagi.

Namun, tokoh kanan bola sepak memberitahu BBC Sport bahawa tidak ada sebab mengapa kes itu tidak boleh diselesaikan sebelum musim ini tamat.

Seorang pegawai kelab, yang enggan dikenali, berkata: “Semua pihak mendapat manfaat jika perkara ini diselesaikan secepat mungkin.”

Apabila ditanya sama ada beliau yakin ia akan selesai, katanya: “Secara naluri, ya. Tetapi ia mesti dilakukan dengan betul.

“Kita semua nampak risikonya jika tidak (diselesaikan). Namun, risiko itu sudah ada sepanjang proses ini, mereka (City) pun sudah memenangi liga beberapa kali ketika proses ini berjalan.”

Satu lagi sumber berkata proses itu “sepatutnya” selesai sebelum musim ini tamat, dan beliau berharap sebarang rayuan akan “dipercepatkan”.

Keputusan akhir terletak di tangan suruhanjaya bebas, dengan lembaga pengarah EPL dan City boleh mencadangkan hukuman yang sesuai sebelum panel itu membuat keputusan.

Keinginan untuk menyelesaikan kes itu sebelum musim ini tamat kini semakin kuat.

Ini kerana ada kebimbangan bahawa membiarkan City menamatkan kempen tanpa hukuman boleh mengundang ketidakpastian dan kekecohan, lebih-lebih lagi jika mereka menjuarai EPL.

Satu bahagian peraturan EPL menyatakan bahawa sebarang rayuan mesti diselesaikan tidak lebih 12 minggu selepas difailkan, dan satu keputusan perlu dibuat dalam masa 30 hari selepas itu. 

Namun, tidak jelas sama ada peraturan itu terpakai dalam kes City.

Prosedur boleh dipercepatkan untuk memenuhi tarikh akhir tertentu, seperti pengakhiran musim liga.

Namun, ketua eksekutif kelab itu, Ferran Soriano, telah membayangkan bahawa kes itu akan berlarutan lama.

City tidak boleh membuat rayuan lanjut kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), tetapi berkemungkinan boleh mendakwa di Mahkamah Tinggi bahawa proses itu tidak saksama.

Kenyataan EPL yang mengumumkan secara rasmi keputusan bersalah itu, dan dibacakan pada 28 September, berkata pihaknya mahu proses ini “diselesaikan secepat mungkin”. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti