LONDON: Manchester City akan menentang Bournemouth dalam suku akhir Piala FA dengan harapan dapat menghidupkan peluang terakhir mereka menjulang piala dalam musim yang bergelora ini.
Pasukan bimbingan Pep Guardiola satu-satunya pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih bertahan, ketika Nottingham Forest, Fulham dan Brighton & Hove Albion mencuri perhatian dalam kejohanan yang menyaksikan kebangkitan pasukan bukan pilihan.
Tiga lagi pasukan yang bersaing di suku akhir ialah Crystal Palace, Preston dan Aston Villa.
Bournemouth ancaman buat City
City berdepan risiko menamatkan musim pertama mereka tanpa sebarang piala utama sejak 2016 hingga 2017 apabila mereka bertandang ke Bournemouth, dengan rasa bimbang selepas tewas di Stadium Vitality pada awal musim ini.
Anak didik Guardiola tewas 1-2 kepada Bournemouth dalam saingan EPL pada November 2024, mencatatkan kekalahan pertama mereka dalam sejarah menentang Cherries.
Kekalahan itu menjadi petanda kemerosotan City apabila mereka hanya mencapai satu kemenangan daripada 11 perlawanan seterusnya dalam semua kejohanan.
Selepas membolot enam kejuaraan EPL dalam tujuh musim terakhir, City berada di tangga kelima liga musim ini.
Mereka terpaksa berjuang untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan dan mengelak menamatkan kempen ini tanpa piala buat kali pertama sejak musim pertama Guardiola di Stadium Etihad.
Kekalahan di tangan Forest dan seri dengan Brighton dalam dua perlawanan terakhir adalah peringatan bahawa Guardiola belum menemui huraian bagi pelbagai masalah yang melanda City musim ini.
Jika tewas lagi pada 30 Mac kepada Bournemouth – yang tidak pernah mara ke separuh akhir Piala FA – ia akan menjadi satu lagi detik memalukan dalam musim penuh cabaran buat pengurus Sepanyol itu.
Fulham mahu akhiri kemarau Piala FA
Fulham akan menerima kunjungan Crystal Palace pada 29 Mac dengan misi menamatkan kemarau separuh abad mereka dalam Piala FA.
Kelab dari barat London itu belum pernah mara ke final Piala FA sejak 50 tahun lalu – apabila mereka tewas dalam satu-satunya penampilan akhir mereka kepada West Ham United. Kali terakhir mereka mara ke separuh akhir ialah pada 2002.
Skuad Marco Silva itu menewaskan penyandang juara Manchester United menerusi penentuan penalti pada pusingan kelima untuk mara ke suku akhir.
Namun, mereka kalah 2-0 di padang sendiri kepada Palace dalam persaingan liga pada Februari 2024.
Termasuk kemenangan itu, pasukan Oliver Glasner mencatat lima kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua kejohanan serta enam perlawanan tanpa bolos berturut-turut di padang lawan.
Palace, yang tidak pernah memenangi Piala FA, mungkin menyambut kepulangan Jean-Philippe Mateta selepas penyerang itu kembali menjalani latihan minggu ini menyusuli kekasaran oleh penjaga gol Millwall, Liam Roberts, yang menyebabkan beliau menerima 25 jahitan di telinganya.
Adakah Forest akan tumbang
kerana ketiadaan Wood?
Forest akan tanpa penyerang bintang Chris Wood sedang mereka menyasarkan satu lagi detik penting dalam musim cemerlang mereka ini
Pasukan Nuno Espirito Santo telah naik ke tangga ketiga dalam Liga Perdana, memberi mereka peluang baik untuk muncul dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1980-81.
Memimpin Forest ke separuh akhir Piala FA pertama mereka sejak 1991 akan mengukuhkan lagi kelayakan Nuno dinamakan pengurus terbaik tahun ini.
Tetapi Forest akan menghadapi kesukaran apabila menentang Brighton pada 29 Mac kerana penjaring terbanyak mereka, Wood, tidak dapat bermain dek kecederaan pinggul yang dialami semasa tugasan antarabangsa bersama New Zealand.
Preston mahu mengejutkan Aston Villa
Menduduki tangga ke-14 dalam liga Kejuaraan, Preston menerima kunjungan Villa sebagai satu-satunya pasukan dari luar Liga Perdana yang masih bertahan dalam Piala FA musim ini, pada 30 Mac.
Mereka tidak pernah mara ke separuh akhir sejak 1964 sementara Villa pula mahu mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam 10 tahun.
Jadi kedua-duanya jelas bertekad menang. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg