MANCHESTER: Manchester City menikmati kelebihan tiga mata dalam saingan Liga Perdana England (EPL) bagi tempoh tiga minggu mendatang selepas rekod bersih atau gawang tidak dibolosi Arsenal tercemar menyusuli kekalahan 0-3 di tangan Brighton & Hove Albion.

City turut dibolosi tiga kali menerusi jaringan hatrik penyerang Sunderland, Brian Brobbey, namun semangat tidak mudah luntur dan keupayaan kukuh barisan penyerang mereka cukup untuk menewaskan pasukan lawan bergelar The Black Cats itu 5-3.

Chelsea juga tewas 0-3 kepada Brentford dan merosakkan permulaan cemerlang pengurus Xabi Alonso di Stamford Bridge, manakala Manchester United terikat seri 1-1 ketika bertandang ke padang Fulham yang masih dahagakan kemenangan.

Berikut adalah tiga perkara tumpuan utama daripada saingan EPL sepanjang hujung minggu lalu.

IMEJ ARSENAL TERCALAR 

Juara bertahan EPL itu sebelum ini diramal mampu merangkul kejuaraan dengan mudah susulan pembelian baik pada tempoh pemindahan musim panas serta permulaan cemerlang musim ini.

Namun, Brighton membuktikan kepada pencabar EPL bahawa The Gunners masih mempunyai kelemahan selepas menyebabkan kekalahan terbesar buat kelab itu dalam tempoh lebih tiga tahun.

Skuad kendalian pengurus Mikel Arteta bertandang ke pantai selatan dengan kedudukan hebat selepas mencatatkan kemenangan dalam semua tujuh perlawanan merentasi pelbagai pertandingan musim ini.

Namun, Arsenal bergelut untuk menangani tekanan tinggi skuad The Seagulls.

Kerapuhan benteng pertahanan yang jarang berlaku turut terserlah apabila pemain tengah pasukan lawan, Chema Andres, dengan mudah menanduk masuk gol ketiga menerusi sepakan sudut.

“Cara kami bersaing, cara kami bermain, serta cara kami menguasai perlawanan sebelum ini amat membanggakan,” kata Arteta mengenai permulaan musim pasukannya.

“Tetapi hari ini, kami perlu mengambil pengajaran (daripada perlawanan) ini secara serius kerana perkara sebegini boleh berlaku (lagi).”

SEMANGAT CARRICK TERUS UTUH MESKI MAN U KECEWA

Diasak kritikan tajam susulan persembahan hambar United ketika terikat seri 1-1 menentang pasukan bukan pilihan, Fulham, pada 20 September, pengurus United, Michael Carrick, cuba mempertahankan pasukannya yang kian bergelut di tengah-tengah tekanan yang semakin memuncak.

United baru mencatatkan satu kemenangan daripada lima perlawanan liga, sekali gus menyamai rekod permulaan terburuk mereka dalam era moden EPL.

Nasib Carrick mungkin lebih teruk jika tidak gol penyamaan minit akhir daripada penyerang, Matheus Cunha, di Craven Cottage.

United terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol sendiri pada separuh masa kedua yang tidak masuk akal.

Insiden itu berlaku apabila pemain pertahanan tengah, Lisandro Martinez, tertendang bola ke gawang sendiri selepas bola muntah daripada kawalan penjaga gawang United, Senne Lammens.

Kerap kehilangan penguasaan bola secara cuai serta kerapuhan benteng pertahanan untuk mengekang serangan Fulham yang sebelum ini hambar, United kelihatan tidak ubah seperti skuad lesu yang sebelum ini bergelut di bawah kendalian pengurus lama, Ruben Amorim.

Carrick pada awalnya membuktikan beliau mampu menyelamatkan pasukan selepas menggantikan Amorim yang dipecat musim lalu, namun aura positif daripada kejayaan menduduki tempat ketiga musim lalu itu kini kian pudar.

CHELSEA ‘DIBULI’ BRENTFORD

Permulaan cemerlang yang dipamerkan oleh barisan pemain serangan Chelsea menerusi gandingan Joao Pedro, Cole Palmer dan Morgan Rogers sebelum ini sekadar menutup kekurangan benteng pertahanan The Blues.

Chelsea kini mencatat tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila kemelut kegagalan mencatatkan rekod bersih terus berlarutan.

Siri perlawanan tanpa rekod bersih itu kini mencecah 21 aksi liga – rekod terpanjang kelab itu sejak 1965.

Catatan buruk itu sememangnya telah bermula sebelum Alonso mengambil alih jawatan pengurus, namun beliau sedar rombakan drastik perlu dilakukan selepas menjadi pengurus keenam dalam sejarah yang kalah sekurang-kurangnya dua kali dalam lima perlawanan awal EPL.

“Sangat tidak memuaskan,” kata pemain pertahanan Chelsea, Levi Colwill. 

“Ada kalanya kami dibuli di dalam kawasan penalti dan kami sememangnya perlu memperbaiki prestasi kami.” – AFP