Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

City hadapi tugas sukar, Leeds bakal uji kekuatan United

Aug 14, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Tiga pasukan yang dianggap pesaing utama bagi kejuaraan Liga Perdana England (EPL) memulakan musim baru hujung minggu ini dengan tekad mengumpulkan tiga mata penuh dan membuka tirai kempen ketiga di tengah-tengah pandemik dengan positif.



Dalam kalangan tiga kelab teratas musim lalu, juara bertahan Manchester City mungkin mempunyai tugas paling sukar untuk berbuat demikian, sementara Manchester United dan Liverpool juga berdepan dengan seteru yang sukar diramalkan ketangkasannya.



Namun, sekumpulan pemerhati bola sepak yang berkongsi ramalan bagi juara musim 2021/22 dengan BBC baru-baru ini, kebanyakannya, masih memilih City sebagai pasukan yang akan menjulang trofi pada Mei tahun depan.



Adangan pertama bagi City ialah Tottenham Hotspur, dengan masa depan Harry Kane - yang masih dikaitkan dengan pindahan ke City - masih menjadi tanda-tanya.



Jika Kane diturunkan, Spurs mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi perlawanan ini, terutama kerana perlawanan ini akan dimainkan di Stadium London dan di hadapan penyokong Spurs, dengan penyokong dibenarkan menyaksikan aksi EPL tanpa jarak selamat buat julung-julung kali sejak pandemik bermula.



Namun Pep Guardiola juga mempunyai ayam tambatan dalam bentuk Jack Grealish, yang dibeli dengan harga £100 juta ($187 juta) daripada Aston Villa pada bulan lalu.



Jika bermain mencapai potensi, Grealish, yang dianggap antara pemain paling kreatif dalam EPL dan pasukan nasional England, boleh menjalin gandingan berbahaya dengan Kevin de Bruyne di tengah padang bagi City.



Pada masa yang sama pula, Spurs - yang tidak membeli sebarang pemain bertaraf bintang dalam tempoh pindahan ini - boleh bergantung pada skuad yang tidak diubah, dengan penyerang azimat dari Korea Selatan, Son Min-Heung tampak berada dalam 'form' hangat.



Rakan sekota City, United pula bertemu musuh ketat Leeds United yang baru-baru ini mendapat 'hadiah' awal apabila pengurus berkarisma Marcelo Bielsa melanjutkan kontrak dengan kelab itu selama setahun.



Bielsa, yang menyertai kelab itu pada 2018, dianggap sebagai faktor penting dalam membantu kelab itu kembali ke EPL selepas menghilang 16 tahun dan cukup berupaya untuk mengatur strategi bagi memporak-perandakan lawan terhandal.



Malah, pemain-pemain Leeds beraksi tanpa gerun dan berani musim lalu, terutama semasa menentang pasukan yang dianggap 'gergasi' dalam liga.



Bagi United pula, yang telah melaburkan paling banyak wang untuk membeli pemain setakat ini, perlawanan ini juga adalah peluang baginya membuktikan wang yang dikeluarkan itu tidak sesia.



Jadon Sancho, yang dibeli dengan harga £73 juta daripada Borussia Dortmund dijangka dikerah terus ke barisan depan, sementara pemain pertahanan Perancis Raphael Varane, dijangka menandatangani kontra tidak lama lagi dengan kededua United dan Real Madrid bersetuju dengan bayaran £41 juta baginya.



Namun, jika tidak berhati-hati menyusun strategi, Ole Gunnar Solksjaer boleh diperdaya oleh Bielsa yang lebih berpengalaman dan mengalami kekalahan tidak diingini dalam perlawanan di Old Trafford ini.



Liverpool pula bertandang ke Norwich City dengan pasukan yang bukan sahaja telah pulih dari kecederaan tempoh panjang yang membelenggu bahagian pertahanan sepanjang musim lalu.



Virgil van Dijk, Joe Gomez, Trent Aleksander-Arnold telah pulih dan dijangka beraksi.



Meskipun kapten Scotland Andy Robertson mengalami kecederaan semasa perlawanan persahabatan dengan Osasuna minggu lalu, Juergen Klopp boleh berpaling kepada pemain baru Ibrahim Konate - yang dibeli dari RB Leipzie - untuk memperkukuh benteng pertahanan.



Sebaliknya, Norwich yang kehilangan tunggak kreatif Emiliano Buendia yang telah berpindah ke Aston Villa, mungkin menanti kehadiran Liverpool dengan bimbang.



Trio barisan depan Liverpool Mohamed Salah, Roberto Firminio dan Sadio Mane kelihatan begitu tajam di depan gol, sementara pemain skuad seperti Takumi Minamino dan Alex Oxlade-Chamberlain telah menunjukkan mereka bersedia pada bila-bila untuk disertakan dalam kesebelasan utama.



Selain aksi di padang, tumpuan bagi minggu pembukaan ini juga beralih ke arah penyokong di stadium dan protokol Covid-19 yang masih belum ditentukan keseluruhannya.



Meskipun penyokong dibenarkan masuk ke stadium dan dibenarkan duduk tanpa jarak selamat, ada ketidaktentuan berhubung penggunaan 'pasport vaksin' sebagai syarat masuk baru.



Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan bulan lalu rancangan untuk melaksanakan pemeriksaan bagi vaksin pasport dari Oktober bagi tempat sukan yang boleh menampung sekurang-kurangnya 20,000 orang.



Namun, penganjur EPL berkata penyokong yang memasuki stadium boleh dikenakan pemeriksaan sambang bermula hujung minggu ini, termasuk menunjukkan bukti telah divaksin atau hasil ujian Covid-19 yang negatif.



Penyokong juga perlu mematuhi tatalaku penyokong baru, termasuk memakai pelitup dan mengelak sentuhan di stadium. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >