Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

City mahu dapatkan Gundogan kembali bagi atasi krisis

Hadapi cabaran dek ketiadaan penyerang, Julian Alvarez; kecederaan pemain sayap, Oscar Bobb
Aug 22, 2024 | 2:08 PM
Kehadiran Ilkay Gundogan dapat menjadi huraian jangka pendek Manchester City memandangkan beliau tidak memerlukan masa menyesuaikan diri di kelab itu, yang ditinggalkannya pada 2023 untuk menyertai Barcelona.
Kehadiran Ilkay Gundogan dapat menjadi huraian jangka pendek Manchester City memandangkan beliau tidak memerlukan masa menyesuaikan diri di kelab itu, yang ditinggalkannya pada 2023 untuk menyertai Barcelona. - Foto AFP

MANCHESTER: Manchester City sedang berusaha membawa kembali pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan.

Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan City untuk ke Barcelona pada 2023 secara percuma, apabila kontraknya tamat selepas mengetuai pasukan Pep Guardiola itu memenangi ‘Treble’ bersejarah mereka.

City kini berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk pemergian penyerang Argentina, Julian Alvarez, yang dijual kepada Atletico Madrid pada bayaran £81 juta ($138.5 juta), serta kecederaan yang dialami pemain sayap Norway, Oscar Bobb, yang terpaksa berehat empat bulan.

Kehadiran Gundogan dapat menjadi penyelesaian jangka pendek memandangkan beliau tidak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di City.

Guardiola sebenarnya tidak ingin Gundogan meninggalkan City pada 2023, tetapi kelab tersebut enggan menawarkan tempoh kontrak yang diinginkan pemain Jerman itu.

Sejak menyertai City daripada Borussia Dortmund pada bayaran perpindahan yang dilaporkan sekitar £20 juta pada 2016, Gundogan telah membuat 304 penampilan untuk kelab itu dan menjaringkan 60 gol.

Dalam tujuh tahun berkhidmat di Stadium Etihad, beliau memenangi 14 trofi – lima gelaran Liga Perdana, satu gelaran Liga Juara-Juara, dua Piala FA, empat Piala Carabao, dan dua gelaran Community Shield.

Pada 2013, kelab La Liga menyetujui peraturan ekonomi khusus yang dicadangkan untuk menjamin kelestarian pertandingan itu.

Peraturan tersebut menetapkan batasan perbelanjaan bagi pemain baru, dengan kelab tidak boleh membelanjakan lebih banyak wang pada skuadnya daripada pendapatan yang dihasilkan dalam satu musim.

Ini dinamakan sebagai ‘batas harga skuad’ dan dikira dengan menolak unjuran perbelanjaan bukan sukan, seperti gaji dan yuran ejen, serta bayaran tertunggak yang harus dibayar kepada kelab lain, daripada pendapatan jangkaan mereka bagi musim itu.

Kelab menghantar maklumat kewangan mereka kepada La Liga, yang menyemak laporan tersebut bagi memastikan keuntungan dikira berdasarkan nilai pasaran sebenar – bermakna ia tidak termasuk tawaran penajaan berlebihan, misalnya.

Bagaimanapun, jika had kos skuad kelab ditetapkan lebih rendah daripada jumlah bil gaji mereka, tidak semua pemain dalam skuad itu boleh didaftarkan untuk bermain di La Liga.

Barcelona dilaporkan buat masa ini tidak dapat mendaftarkan pemain baru, Dani Olmo, kerana mereka tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi dalam had perbelanjaan mereka, justeru ia perlu menjual pemain. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg