City makin ketinggalan; Man U teruskan kebangkitan
Pasukan kendalian Guardiola gagal pamer aksi konsisten, buka ruang untuk Spurs kongsi mata
LONDON: Jaringan sensasi ‘scorpion kick’ Dominic Solanke menjadi detik penentu yang menghambat cabaran Manchester City memburu gelaran Liga Perdana England (EPL) apabila Tottenham Hotspur bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 pada 1 Februari.
Pasukan kendalian Pep Guardiola kelihatan selesa mencatat kemenangan melalui dua gol Rayan Cherki dan Antoine Semenyo pada separuh masa pertama.
Namun, Solanke merapatkan jurang sebaik permainan babak kedua bermula sebelum menjaringkan gol luar biasa yang layak dicalonkan sebagai gol terbaik musim ini untuk menyamakan kedudukan.
Jaringan hebat penyerang England itu mengingatkan kepada jaringan akrobatik ikonik Olivier Giroud ketika bersama Arsenal apabila mereka menentang Crystal Palace pada 2017.
Ironinya, jaringan mengagumkan Solanke itu lebih menguntungkan pesaing Spurs di utara London, Arsenal.
Sebahagian penyokong Spurs mungkin tidak terlalu kecewa andainya pasukan mereka tewas, memandangkan City dilihat satu-satunya pencabar realistik yang mampu menghalang Arsenal daripada menjulang kejuaraan buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
Namun kemenangan besar Arsenal 4-0 ke atas Leeds pada 31 Januari bermakna City tidak lagi mempunyai ruang untuk tersilap langkah.
Kini, skuad Guardiola yang menduduki tangga kedua ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga itu.
Kekalahan Aston Villa, yang menduduki tangga ketiga, kepada Brentford pada 1 Februari pula menjadikan hujung minggu itu ‘sempurna’ buat Arsenal.
Kemenangan Spurs ke atas Eintracht Frankfurt pada 28 Januari untuk mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah turut menyuntik keyakinan kepada anak didik Thomas Frank dalam usaha menyelamatkan kedudukannya, dan kebangkitan penuh semangat ini menjadi suntikan moral tambahan buat pengurus asal Denmark itu.
Namun bagi City, mereka sekali lagi mempamerkan aksi tidak konsisten yang menyerlahkan tahap kemerosotan pasukan yang pernah menjuarai enam gelaran dalam tujuh musim sebelum musim lalu.
City hanya menang sekali dalam enam perlawanan liga terakhir, membuka laluan kepada Arsenal untuk kembali menguasai perlumbaan menjuarai liga walaupun selepas melalui kemerosotan singkat sebelum ini.
City perlu segera bangkit pada 4 Februari dengan mempertahankan kelebihan 2-0 pada perlawanan separuh akhir Piala Liga menentang Newcastle, sebelum bertemu Liverpool pada 9 Februari.
Cherki memberikan permulaan hebat buat City pada minit ke-11.
Bernardo Silva mencetuskan serangan dengan merampas bola daripada Yves Bissouma sebelum Erling Haaland menemui Cherki, yang membuka tirai perlawanan awal.
Semenyo kemudian menggandakan kelebihan City pada minit ke-44.
Hantaran cuai Radu Dragusin jatuh kepada Rodri yang segera menemui Silva, sebelum pemain itu menghantarkan bola kepada Semenyo yang memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya, diiringi sorakan kecewa penyokong tuan rumah.
Ia merupakan gol keempat penyerang Ghana itu dalam lima perlawanan terakhir dalam semua kejohanan sejak berpindah dari Bournemouth.
Tumpul pada separuh masa pertama, Spurs diberi sinar harapan lapan minit selepas tempoh rehat.
City gagal mendapatkan keputusan ofsaid ketika Solanke mengawal hantaran Xavi Simons dalam kotak penalti.
Marc Guehi cuba melakukan terjahan saat akhir, namun Solanke sempat menolak bola melepasi penjaga gawang City, Gianluigi Donnarumma, dari jarak dekat.
Selepas begitu lama menguasai permainan, gawang City tetap dibolosi pada minit ke-70.
Tekanan tinggi Conor Gallagher memenangi semula bola sebelum beliau melambungkan hantaran ke arah Solanke yang menyempurkannya dengan sepakan ala ‘scorpion kick’ yang cemerlang.
City kucar-kacir selepas itu, dan hanya aksi cemerlang Donnarumma dapat menafikan Spurs daripada meraih kemenangan apabila beliau menghalang percubaan Simons di penghujung perlawanan.
Di Old Trafford, pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick berjaya mengekalkan rekod kemenangan melalui jaringan masa tambahan Benjamin Sesko.
Jaringan tersebut memastikan United mendapatkan kemenangan 3-2 ke atas Fulham pada 1 Februari. – Agensi berita.

