Man City hadapi cabaran hebat di stadium Tottenham Hotspur
Man City hadapi cabaran hebat di stadium Tottenham Hotspur
City perlu tewaskan Spurs untuk beri tekanan kepada pendahulu liga Arsenal
Manchester City sekali lagi berdepan ujian besar dalam usaha mereka untuk memintas Arsenal bagi merebut kejuaraan Liga Perdana England (EPL) apabila bertandang ke stadium Tottenham Hotspur pada 2 Februari.
Walaupun berada di tangga ke-14 liga, Spurs tetap berjaya mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, satu petunjuk jelas bahawa mereka bukan lawan yang City mampu pandang ringan.
Arsenal mungkin tercicir mata, namun situasi itu tidak membawa banyak makna sekiranya City sendiri gagal meraih kemenangan dan merapatkan jurang.
Menjelang perlawanan ini, prestasi City dilihat turun naik.
Kemenangan meyakinkan 2-0 di St James’ Park ke atas Newcastle pada 14 Januari memberi gambaran seolah-olah momentum sedang memihak kepada mereka, namun harapan itu tidak bertahan lama.
City dikejutkan dalam derby Manchester apabila Manchester United tampil penuh bersemangat merampas kemenangan dan tiga mata.
Tumpuan kemudian beralih ke pentas Eropah, tetapi City sekali lagi tersandung.
Kekalahan 1-3 di tempat lawan kepada Bodo/Glimt dalam aksi Liga Juara-Juara mendedahkan ketumpulan jentera serangan yang gagal memberikan ancaman berkesan.
Namun begitu, selepas melalui jadual perlawanan yang mencabar dengan tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan, City kembali ke Etihad dan mempamerkan sekali lagi kekuatan mereka.
Persembahan bertenaga serta penuh penguasaan ketika menewaskan Wolves 2-0 pada 24 Januari di EPL dan Galatasaray di Liga Juara-Juara berjaya mengembalikan keyakinan pasukan serta kawalan permainan tepat pada masanya untuk menentang Spurs.
Namun, prestasi Spurs juga tidak kurang ketidaktentuannya.
Prestasi mereka di EPL sangat mengecewakan, dengan pasukan kendalian Thomas Frank tidak berjaya meraih kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Ini termasuk kekalahan 2-3 kepada Bournemouth, 1-2 kepada West Ham dan tiga keputusan seri bersama Brentford, Sunderland dan Burnley.
Tetapi prestasi mereka di Liga Juara-Juara pula agak meyakinkan.
Mereka menundukkan lapan kali juara Liga Jerman, Dortmund 2-0 pada 21 Januari diikuti dengan kemenangan 2-0 menentang Eintracht Frankfurt pada 29 Januari.
Prestasi EPL mereka bermakna Spurs kini terperosok di tangga ke-14 liga dengan 28 mata, manakala City selesa di kedudukan kedua dengan 46 mata dan masih memburu Arsenal di puncak.
Jurang di carta liga mungkin besar, namun pertemuan antara dua pasukan ini sejak beberapa tahun lalu sering berlangsung sengit dan sukar diramal. Rekod pertemuan terkini membuktikan hakikat tersebut.
Dalam dua pertemuan terakhir mereka, City menang tipis 1-0 pada 26 Februari 2025.
Kemudian pada 23 Ogos 2025, Spurs membalas dan mengejutkan City dengan kemenangan 2-0, hasil jaringan pembukaan Brennan Johnson sebelum João Palhinha menggandakan kelebihan.
Tiga pertemuan terakhir menyaksikan perlawanan yang sengit, memperlihatkan bahawa Spurs sentiasa mampu menyulitkan juara bertahan itu, terutamanya apabila bermain di padang sendiri.
Harapan menewaskan City dipikul oleh pemain pertahanan, Cristian Romero, muncul sebagai tonggak utama, dan terlibat secara langsung dalam sembilan gol sejauh musim ini (enam gol, tiga bantuan gol).
Gaya pertahanannya yang agresif, penuh autoriti serta ancaman melalui situasi bola mati menjadikannya pemain penting, bukan sahaja dari segi mempertahankan gawang Spurs bahkan untuk membolosi gawang City.
Selain itu, penyerang Dominic Solanke juga memikul tanggungjawab menjaringkan gol.
Beliau mula membuktikan ketajamannya di hadapan gawang, dengan menjaringkan gol lagi menentang Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara-Juara, membantu Spurs mara ke pusingan seterusnya.
Bagi City pula, Rayan Cherki dijangka menjadi nadi utama kreativiti pasukannya.
Pemain sayap itu paling bahaya apabila diberi kebebasan bergerak di antara ruang tengah dan serangan, menggunakan keupayaan membawa bola untuk memporak-perandakan barisan pertahanan lawan, menghubungkan permainan, serta mencipta peluang, di samping naluri menjaringkan gol yang tajam.
Beliau dijangka mengekalkan rentak permainannya yang telah membenarkannya untuk menyumbang sebanyak 20 gol dan bantuan gol dalam musim pertamanya di City.
Bukan itu sahaja, penyerang City, Erling Haaland berjaya mengakhiri kemarau golnya apabila menentang Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara.
Jaringan tersebut bakal memberikan beliau keyakinan tambahan untuk mengancam gawang lawan sekali lagi, kali ini menentang Spurs.
Pertembungan ini menjadi pentas terbaik buat Spurs untuk meredakan keraguan dan mengembalikan keyakinan kepada penyokong terutamanya apabila ketidakpuasan penyokong kelihatan semakin memuncak di luar padang.
Perlawanan ini juga tidak kurang penting bagi City yang masih mengejar Arsenal.
Ramalan wartawan: Tottenham Hotspur 1 - 2 Manchester City
Prestasi Spurs di EPL tidak memberi gambaran meyakinkan menjelang perlawanan kededua pasukan ini.
Namun, prestasi City di stadium lawan juga tidak begitu meyakinkan dan Spurs mungkin boleh mengambil kesempatan kelebihan bermain di stadium sendiri.

