Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertemuan penentuan dua gergasi juarai EPL
Pertemuan penentuan dua gergasi juarai EPL
Arsenal perlu bermati-matian mahu kekal di depan, City pula mahu rebut peluang rapat jurang
Pertemuan penentuan dua gergasi juarai EPL
Tekanan semakin memuncak ke atas Arsenal apabila Manchester City sekali lagi berpeluang merapatkan jurang mata menjelang pertembungan dua pasukan teratas liga pada 19 April.
Selepas kekalahan mengecewakan kepada Bournemouth, anak didik Mikel Arteta kini hanya mendahului enam mata, dengan City masih ada satu perlawanan dalam tangan.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mengurangkan jurang kepada hanya tiga mata, sambil masih mempunyai kelebihan satu perlawanan, sekiranya mereka berjaya mencatat kemenangan di Etihad.
Jika perebutan ini berlarutan hingga ke penghujung musim, perbezaan jaringan mungkin menjadi penentu, dengan Arsenal ketika ini hanya memiliki kelebihan tipis (+38) berbanding City (+35).
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menggesa pasukannya bangkit segera selepas kekalahan 1-2 kepada Bournemouth pada 11 April, sambil menegaskan bahawa reaksi mereka kini menjadi penentu.
“Ia amat mengecewakan, satu tamparan hebat, tetapi yang penting sekarang bagaimana kami bangkit. Ia memerlukan semangat besar dan daya juang tinggi,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa momentum kini memihak kepada lawan.
“Kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai perkara itu. Apa yang boleh kami lakukan ialah pertingkat prestasi kami, seperti yang kami lakukan sepanjang sembilan bulan lalu. Tiada alasan, kami perlu bangkit, secara individu dan sebagai satu pasukan, bermula serta-merta,” tegasnya.
Arteta juga mengakui cabaran besar yang menanti dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan.
“Kami tahu apa yang dipertaruhkan. Hakikat bahawa kelab ini sudah lama tidak melakukannya menunjukkan betapa sukarnya cabaran itu.”
Bagi City pula, pengurusnya, Pep Guardiola, memberi penghormatan tinggi kepada Arsenal, malah menyifatkan mereka sebagai pasukan terbaik di England ketika ini.
“Kami telah melalui tiga perlawanan yang baik, tetapi pasukan terbaik di England adalah Arsenal, jumlah mata membuktikannya,” kata Guardiola.
Beliau turut mengakui kepentingan perlawanan tersebut dalam konteks perebutan kejuaraan.
“Jika kami tewas, persaingan hampir berakhir. Jika seri juga sukar. Jadi kami perlu kekal tenang dan buat persiapan rapi.”
Dari segi mengancam pihak lawan, Arsenal terus bergantung kepada kehadiran Declan Rice yang menguasai bahagian tengah serta menjadi senjata utama dalam situasi sepakan percuma dan tendangan sudut.
Keupayaan mereka menjaringkan gol daripada sepakan percuma dan tendangan sudut terbukti apabila mencatat jumlah jaringan tertinggi liga dengan 19 jaringan daripadanya – sekitar 30 peratus daripada jumlah jaringan keseluruhan EPL mereka setakat ini.
City pula menyandarkan harapan kepada bintang muda Nico O’Reilly yang semakin menyerlah.
Pemain berusia 21 tahun itu menjadi tumpuan selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 dalam final Piala Carabao ke atas Arsenal, selain konsisten menyumbang jaringan penting termasuk ketika menentang Chelsea.
Namun, Guardiola berdepan kebimbangan selepas O’Reilly mengalami kecederaan semasa menentang Chelsea.
Dengan Ruben Dias, John Stones dan Josko Gvardiol turut tidak dapat beraksi akibat kecederaan, pilihan di benteng pertahanan semakin terhad.
Arsenal juga tidak terlepas daripada masalah sama, dengan beberapa pemain utama seperti kapten pasukan, Martin Odegaard, Bukayo Saka dan Jurrien Timber diragui mereka dapat beraksi untuk perlawanan menentang City.
Sementara itu, skuad Arteta perlu mengimbangi saingan liga dengan aksi Liga Juara-Juara setelah mereka berjaya menundukkan Sporting Lisbon dengan agregat 1-0 pada 16 April untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Pasukan bimbingan Guardiola pula akan menghadapi perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Southampton pada 26 April untuk dipertimbangkan.
Sejak mengambil alih Arsenal pada 2019, Arteta hanya berjaya menjulang satu trofi, iaitu Piala FA pada 2020.
Buat tiga musim berturut-turut (2022/23, 2023/24, 2024/25) kejuaraan EPL dalam jangkauan Arsenal, tetapi pasukan beliau hanya mampu mengakhiri persaingan di tempat kedua.
Musim ini bukan kali pertama Arsenal di dalam situasi di mana mereka kelihatan rapuh dan dijangka mensia-siakan kelebihan mereka dan membenarkan pasukan lain mengejar dan melepasi mereka untuk merampas kejuaraan EPL.
Kini, segala-galanya bakal ditentukan dalam beberapa minggu terakhir musim ini.
Dengan kededua pasukan berdepan jadual padat dan tekanan yang semakin memuncak, pertembungan di Etihad bukan sekadar perebutan tiga mata. Malah, ia berpotensi menjadi titik perubahan dalam perebutan kejuaraan.
Ramalan wartawan: Manchester City 2 : 1 Arsenal
