NORTH CAROLINA: Juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat, Wyndham Clark, berasa kecewa beliau tidak bermain secara konsisten dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan hairan mengapa kejayaan yang diraih semasa latihan tidak dapat diulangi dalam pertandingan.
Warga Amerika berusia 30 tahun itu, yang menduduki ranking keempat dalam senarai pemain golf terbaik dunia akan mempertahankan kejuaraannya pada acara utama pertamanya bermula 13 Jun di Terbuka Amerika ke-124, di Pinehurst, North Carolina.
“Tahap kekecewaan saya pastinya lebih tinggi daripada biasanya, jadi ya, agak memalukan,” kata Clark.
“Tapi itulah yang hebat tentang golf – selalu ada minggu berikutnya.”
Clark memenangi kejuaraan utama pertamanya dalam Terbuka Amerika pada 2023 di Los Angeles Country Club, mengalahkan Rory McIlroy dengan satu pukulan, dan meraih gelaran Jelajah PGA Amerika ketiganya di Pebble Beach Pro-Am yang disingkatkan akibat cuaca, pada Februari.
Tetapi Clark melalui musim yang tidak konsisten, bersaing dalam beberapa minggu dan tidak dapat menduduki kedudukan yang baik pada minggu-minggu yang lain.
“Saya melakukan banyak pukulan baik semasa latihan. Saya harus dapat mengalihkannya ke padang pula.
“Saya berharap ia dapat dimulakan minggu ini dan bermulanya perjalanan yang baik bagi baki tahun ini (2024),” ujarnya.
Clark menjadi naib juara di belakang Scottie Scheffler, pemain di kedudukan pertama dalam dua minggu berturut-turut di Bay Hill dan Kejuaraan Pemain pada Mac.
Namun, beliau gagal menduduki tempat yang baik dalam tiga daripada lima penampilannya lalu, termasuk pada minggu lalu di Kejuaraan Memorial, Masters dan Kejuaraan PGA.
“Saya tidak bermain golf pada tahap terbaik saya. Ia merupakan jangka masa yang sukar buat saya dalam beberapa minggu lalu.”
“Saya benar-benar cuba mendapatkan momentum untuk baki musim kali ini,” tambah Clark.
Menurut Clark, beliau masih mencari jawapan kepada masalahnya, namun masih belum berhasil.
“Secara jujur saya tidak tahu.
“Anda melihat statistik dan banyak hal yang kelihatan kurang baik, tetapi dalam latihan, semuanya lancar.
“Ia benar-benar membingungkan saya kerana saya dapat lakukan pukulan-pukulan hebat tetapi saya tidak mendapat banyak hasil daripadanya,” akui Clark. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg