Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cole Palmer bukan lagi pemain simpanan

Kini dipilih Pemain Terbaik Lelaki England, jaringkan atau ‘assist’ Chelsea raih 44 gol sejak musim lalu, lebih banyak daripada pemain lain dalam EPL
Oct 14, 2024 | 5:30 AM
Cole Palmer, terus menunjukkan kehebatan sejak musim pertamanya di Chelsea selepas berpindah dari Manchester City pada musim lalu.
Cole Palmer, terus menunjukkan kehebatan sejak musim pertamanya di Chelsea selepas berpindah dari Manchester City pada musim lalu. - Foto EPA-EFE

LONDON: Sama ada penganalisis, pengurus atau rakan pemain, semua mengatakan perkara yang sama tentang Cole Palmer – beliau adalah salah seorang bakat paling menarik pada masa ini.

Pengurusnya di Chelsea, Enzo Maresca, menganggap Palmer sebagai “pemain terbaik dalam Liga Perdana England (EPL)”, manakala rakan sepasukannya, Jadon Sancho, berkata “semuanya boleh berlaku” apabila Palmer dalam pasukan mereka.

Palmer telah menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan liga setakat musim kali ini – empat daripadanya dilakukan dalam aksi separuh masa pertama semasa menentang Brighton.

Beliau juga telah diundi sebagai pemain terbaik lelaki England 2023-24 oleh peminat Three Lions (gelaran buat England), walaupun hanya dua daripada sembilan penampilannya sebagai kesebelasan utama.

Prestasinya sudah menjadikannya pemain penting bagi kelabnya dan begitu juga untuk negaranya.

“Setiap kali saya melihatnya, beliau membuat saya rasa lega,” kata bekas penyerang England, Gary Lineker, baru-baru ini.

“Daripada semua pemain berbakat England, beliau mungkin yang terbaik,” tambah Lineker.

Semasa pertandingan Euro 2024, Palmer belum layak di barisan hadapan dalam fikiran pengurus ketika itu, Gareth Southgate, kerana ketika itu beliau baru bermain 144 minit dalam lima perlawanan, semuanya bermula sebagai pemain simpanan.

Palmer tidak beraksi dalam perlawanan Liga Negara-Negara menentang Republik Ireland dan Finland pada September kerana mengalami kecederaan sementara rakan sepasukan antarabangsanya meraih kemenangan semasa ketiadaannya.

Prestasi Palmer baru-baru ini akan menjadikannya pesaing kuat untuk memulakan perlawanan pada pusingan akan datang.

“Anda tidak boleh ketepikan Palmer daripada mana-mana pasukan, dan saya juga bercakap tentang pasukan England,” kata bekas penyerang Arsenal dan England, Theo Walcott.

“Beliau sangat berbakat, beliau mempunyai aura yang boleh membuat pemain di sekelilingnya berasa takut. Jika beliau terus begini, beliau boleh menjadi legenda Liga Perdana,” katanya.

Prestasi Palmer musim ini adalah kesinambungan daripada apa yang beliau hasilkan pada musim sulungnya di Chelsea berikutan pemindahannya dari Manchester City pada musim panas lalu.

Sejak awal 2023-24, Palmer sama ada menjaringkan atau membantu pasukannya meraih 44 gol, lebih banyak daripada pemain lain dalam EPL.

Sementara penyerang Manchester City, Erling Haaland, telah menjaringkan lebih banyak gol dengan 37 berbanding 28 oleh Palmer, penyerang Chelsea itu telah menyumbang lebih tiga kali ganda jumlah ‘bantuan’ atau assist – 16 berbanding lima oleh Haaland.

BINA STRATEGI PASUKAN LIBATKAN PALMER

Sumbangan keseluruhan Palmer bermakna sesetengah pemain percaya strategi pasukan harus melibatkannya.

Bekas pemain tengah Arsenal, Chelsea dan Sepanyol, Cesc Fabregas, berkata:

“Apabila seseorang pemain begitu istimewa, apabila seseorang pemain membuat anda melihat dan berasa bahawa apa sahaja yang berlaku dalam pasukan tersebut adalah kerana corak permainan pemain itu, saya percaya anda boleh membina strategi pasukan melibatkannya.

“Adalah adil untuk mengatakan ia mungkin sesuatu yang tepat untuk dilakukan, walaupun sebagai jurulatih, kami tidak suka mengatakan perkara seperti ini kerana kami mahu melindungi seluruh pasukan.

“Tetapi apabila anda mempunyai seseorang yang begitu baik dan mempunyai kesan seperti itu, maka saya rasa seluruh pasukan ingin pemain seperti Palmer mendapatkan bola sebanyak mungkin.

“Apabila beliau menguasai bola, rasanya rentak permainan jadi tenang dan segalanya menjadi sangat jelas di matanya. Beliau mampu melakukan sebarang hantaran ke mana-mana sudut di padang.

“Saya fikir menghasilkan strategi melibatkan pemain sedemikian boleh dilakukan.”

Enzo Maresca hanya menjadi pengurus Chelsea pada musim ini, tetapi beliau pernah bersama Palmer ketika menjadi jurulatih di City sebelum ini.

Nampaknya warga Italy itu tahu bagaimana untuk mendapatkan prestasi terbaik daripada Palmer, setelah memulakannya sebagai penyerang dalam enam daripada tujuh perlawanan EPL bagi Chelsea setakat ini.

“Saya sebenarnya ingin melihat Palmer bermula sebagai pemain nombor 10 (penyerang) ketika Euro 2024 bermula, dengan Bellingham bermain lebih tengah dan Foden di sebelah kiri, sebagai cara untuk mendapatkan ketiga-tiga mereka bergabung dalam satu pasukan,” tambah bekas penyerang dalam EPL, Chris Sutton.

“Jelas sekali itu tidak berlaku – Palmer hanya di bangku simpanan.

“Namun anda tidak boleh melupakan beliau sekarang. Beliau mesti bermula dalam kesebelasan utama, kerana permainannya hebat pada masa ini.

“Beliau bermain seolah-olah dirinya mempunyai mata di belakang kepalanya dan saya benar-benar suka melihatkan corak permainannya.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg