Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain Chelsea, Madueke mohon maaf hantaran hina Wolves di media sosial

Aug 26, 2024 | 12:32 PM
Penyerang Chelsea, Noni Madueke (kanan, berjersi biru), ketika menjaringkan gol ketiganya dalam kemenangan pasukan 6-2 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam Liga Perdana England pada 25 Ogos.
Penyerang Chelsea, Noni Madueke (kanan, berjersi biru), ketika menjaringkan gol ketiganya dalam kemenangan pasukan 6-2 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam Liga Perdana England pada 25 Ogos. - Foto REUTERS

WOLVERHAMPTON (England): Penyerang Chelsea, Noni Madueke, telah memohon maaf kepada Wolverhampton Wanderers selepas satu hantaran di media sosialnya pada 25 Ogos dianggap menyinggung perasaan, tidak lama selepas beliau mencipta jaringan hatrik dalam tempoh 15 minit ketika Chelsea menang besar 6-2 ke atas Wolves.

Madueke memuat naik komen yang kurang menyenangkan mengenai bandar Midlands sebelum perlawanan Liga Perdana England (EPL).

Walaupun beliau telah memadamkan hantaran tersebut, kesan negatifnya sudah dirasai.

Pemain London berusia 22 tahun itu diejek oleh penyokong Wolves setiap kali beliau menyentuh bola.

Namun, ia tidak menghalangnya daripada menjaringkan tiga gol pada awal separuh kedua, sekali gus membantu Chelsea meluaskan jurang gol selepas separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Dalam satu wawancara selepas perlawanan, Madueke berkata:

“Saya ingin memohon maaf kepada semua yang mungkin telah saya sakiti. Ia adalah kesilapan manusia dan tidak disengajakan.

“Saya tidak berniat memuat naik perkara tersebut di media sosial. Saya yakin Wolverhampton adalah sebuah bandar yang baik, dan saya mohon maaf.

“Ia adalah satu kesilapan, dan saya akan belajar daripadanya. Saya berharap, kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.

“Mengenai ejekan yang saya terima, saya sudah jangkakannya. Ia adalah sebahagian daripada permainan, dan anda perlu mampu bermain di bawah tekanan sebegitu.”

Permainan separuh masa pertama yang sengit menyaksikan keputusan seri 2-2, dengan Chelsea mendahului dua kali sebelum Matheus Cunha dan Jorgen Strand Larsen menyamakan kedudukan.

Nicholas Jackson meletakkan Chelsea di hadapan pada minit kedua, manakala Cole Palmer menambah gol kedua Chelsea pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Larsen menyamakan kedudukan untuk Wolves.

Selepas waktu rehat, Chelsea dan Madueke, yang kini telah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan musim ini, terus menggempur Wolves, dengan Joao Felix, yang baru saja menyertai Chelsea dari Atletico Madrid dengan nilai 45 juta paun ($77 juta), menambah gol keenam.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, enggan menyalahkan Madueke mengenai hantarannya di media sosial dan percaya pemain itu cukup bijak untuk menyedari kesilapannya.

Beliau berkata: “Saya percaya kepada pemain saya. Mereka cukup matang untuk tahu apa yang betul dan apa yang salah. Noni cukup matang memahami kesilapannya.

“Saya tidak tahu mengenai hantaran Noni sebelum perlawanan. Saya hanya boleh menilai persembahannya, dan ia sangat mantap. Sejak hari pertama, saya katakan beliau adalah jenis pemain sayap yang saya suka.

“Perkara terbaik bukanlah hatrik, tetapi cara beliau bertahan daripada serangan balas lawan, dan ini menunjukkan mentaliti yang betul yang saya mahukan daripada pemain.”

Dalam aksi EPL yang lain, permulaan cemerlang Arne Slot sebagai pengurus Liverpool diteruskan apabila pasukan barunya meraih kemenangan 2-0 ke atas Brentford pada 25 Ogos.

Liverpool mendominasi awal perlawanan, menjaringkan gol pembukaan menerusi serangan balas yang pantas apabila Luis Diaz menjaringkan gol pertamanya musim ini pada minit ke-13.

Brentford memberi tentangan dengan baik dan hampir menyamakan kedudukan melalui dua tandukan dekat.

Namun, Mohamed Salah menamatkan harapan pelawat untuk meraih sebarang mata di Anfield dengan gol kedua Liverpool 20 minit sebelum tamat perlawanan.

Arne Slot, warga Belanda, kini mempunyai dua kemenangan 2-0 daripada dua perlawanan ketika beliau mengambil alih tugas sukar menggantikan Juergen Klopp sebagai pengurus Liverpool, dengan lawatan mencabar ke Manchester United seterusnya.

Sebelum 25 Ogos, tiada pengurus Liverpool sejak Graeme Souness pada 1991 yang berjaya meraih kemenangan dalam dua perlawanan liga pembukaan mereka.

Namun, pengganti Klopp kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai kejayaan di Anfield. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg