MIAMI: Hasrat penyerang Inter Miami CF, Lionel Messi, untuk menjuarai Piala Liga Bola Sepak Utama (MLS) buat kali kedua berturut-turut terjejas pada 21 November.

Inter Miami, yang beraksi dengan 10 pemain, dibelasah 3-0 oleh Columbus Crew di laman sendiri dalam aksi pembukaan siri perlawanan penentuan (play-off) pusingan pertama.

Penyerang Columbus Crew dari skuad Chile, Gonzalo Tapia, menjaringkan dua gol, masing-masing sebelum dan selepas jaringan pemain tengahnya, Taha Habroune, pada separuh masa kedua.

Tiga gol itu memberi Columbus kemenangan di hadapan penyokong yang terpinga-pinga di Stadium Nu, Miami.

Columbus, pilihan ketujuh dan juara 2023, boleh menyingkirkan Messi dan Miami jika menang dalam aksi kedua siri terbaik daripada tiga perlawanan di Ohio pada 27 November.

Selepas merobek pertahanan Miami pada 21 November, Columbus tentu yakin mampu menamatkan siri itu dalam perlawanan kedua.

Tapia, 24 tahun, mengancam sepanjang perlawanan. Beliau menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehnya pada awal permainan selepas dijatuhkan penjaga gol Miami, Dayne St Clair.

Tugas Miami bertambah sukar pada minit ke-36 apabila pemain pertahanannya, Gonzalo Luján, dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana menerjah pemain pertahanan Columbus Crew, Steven Moreira, secara lewat dan melulu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Penjaga gol Columbus dan skuad Amerika Syarikat, Patrick Schulte, menyekat kebangkitan Miami, termasuk merebahkan badan untuk menepis sepakan percuma Messi.

Messi terselamat daripada dibuang padang menjelang rehat selepas kelihatan menghalakan lontaran ke dalam ke muka Tapia dari jarak dekat.

Columbus mengesahkan kemenangan dengan dua gol dalam enam minit pada awal separuh masa kedua.

Habroune tenang menyudahkan serangan balas pada minit ke-52 sebelum Tapia memanfaatkan kawalan longgar pemain tengah Inter Miami, Yannick Bright, untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-58.

“Segala-galanya serba tak kena. Kami yang membuka peluang kepada mereka,” kata jurulatih Miami, Kily Gonzalez.

“Kami gagal beraksi seperti diharapkan. Kami perlu belajar kerana jika gagal menang selepas ini, kami tersingkir. Inilah cabaran terbaik, satu ujian ketabahan. Saya tahu pasukan saya tabah.”

Dalam aksi lain pada 21 November, pemain tengah serangan FC Dallas, Joaquín Valiente, menjaringkan dua gol ketika pasukannya menewaskan Portland 3-0 di laman sendiri dalam aksi pembukaan siri Persidangan Barat.

Pemain tengah dari Uruguay itu menjaringkan gol pada minit ke-53 dan ke-55. Penyerang FC Dallas, Samuel Sarver, menambah gol ketiga pada minit keempat masa kecederaan.

Dallas boleh mara jika menang di laman Portland pada 28 November.

Pemain sayap New England Revolution, Peyton Miller, terlibat dalam kedua-dua gol ketika pasukannya menewaskan Philadelphia Union 2-0 di laman sendiri.

Rembatan Miller terkena pemain pertahanan Philadelphia, Nathan Harriel, lalu menerjah gawang pada minit ke-10. Miller kemudian menyudahkan hantaran silang rakan sepasukannya, pemain sayap Jack Harrison, pada minit ke-73.

New England boleh mara ke separuh akhir Persidangan Timur MLS jika menang di laman Philadelphia pada 28 November.– Agensi berita.