Coventry terbukti lawan yang mencabar buat United

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Coventry terbukti lawan yang mencabar buat United

Apr 22, 2024 | 2:34 PM

Coventry terbukti lawan yang mencabar buat United

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemain Coventry City kelihatan hampa dengan kekalahan mereka menentang Manchester United di peringkat separuh akhir Piala FA. Mereka telah bermain dengan baik untuk bangkit semula daripada ketinggalan 0-3 untuk menyamakan kedudukan 3-3 dan membawa perlawanan itu ke sepakan penalti.
Pemain Coventry City kelihatan hampa dengan kekalahan mereka menentang Manchester United di peringkat separuh akhir Piala FA. Mereka telah bermain dengan baik untuk bangkit semula daripada ketinggalan 0-3 untuk menyamakan kedudukan 3-3 dan membawa perlawanan itu ke sepakan penalti. - Foto REUTERS

LONDON: Untuk beberapa saat, ia kelihatan seperti Coventry City akan mencatat salah satu kisah menarik Piala FA yang terhebat dalam sejarah.

Keghairahan pemain dan penyokong Coventry dapat dirasakan di Wembley selepas Victor Torp menjaringkan gol pada detik akhir perlawanan untuk mendapatkan kemenangan 4-3 ke atas Manchester United, untuk melengkapkan kebangkitan semula mereka daripada ketinggalan 0-3.

Namun, kegembiraan mereka hanya seketika kerana jaringan tersebut dibatalkan akibat ofsaid dan kemudian United berjaya mengatasi Coventry melalui sepakan penalti 4-2.

“Saya baru beritahu mereka (pemain) bahawa mereka telah meletakkan diri mereka di dalam sejarah pasukan bola sepak ini,” kata pengurus Coventry, Mark Robins.

Coventry mungkin telah disingkirkan daripada Piala FA tetapi mereka telah memainkan peranan mereka dengan menghasilkan perlawanan peringkat separuh akhir yang akan diingati ramai.

Pasukan itu kelihatan akan kecundang apabila Bruno Fernandes meletakkan United 3-0 di hadapan pada minit ke-59.

Namun, Coventry tetap berjaya untuk menghasilkan perlawanan yang menghiburkan.

Ellis Simms menjaringkan gol keenam beliau di Piala FA pada minit ke-71 dan Callum O’Hare berjaya menjaringkan gol kedua Coventry apabila percubaan beliau terkena Aaron Wan Bissaka dan termasuk gawang United hanya lapan minit kemudian.

Pada minit ke-95, Haji Wright memberikan harapan kepada 36,000 penyokong Coventry apabila beliau dapat kekal tenang dan menjaringkan penalti yang diberikan akibat bola terkena tangan Wan Bissaka.

“Kami akan rasa kekecewaan kekalahan hari ini kerana kami hampir-hampir menang,” kata Robins.

“Percubaan kami terkena palang dan terdapat gol yang dibatalkan. Saya benar-benar bangga dengan pemain saya,”

“Prestasi kami di Piala FA ini akan dibincangkan di sekeliling kelab kami untuk masa yang lama. Kami tidak boleh terlalu kecewa dengan keputusan ini,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg