MANCHESTER: Manchester United bersetuju untuk membayar klausa pelepasan bernilai £62.5 juta ($108 juta) bagi Matheus Cunha dan telah diberikan kebenaran oleh Wolves untuk berbincang terma peribadi dengan penyerang Brazil itu.
Sebelum ini, Wolves menolak cadangan United untuk membayar jumlah tersebut secara ansuran selama lima tahun.
Sebaliknya, United kini perlu melunaskan keseluruhan bayaran bagi pemain berusia 26 tahun itu dalam tiga ansuran sepanjang tempoh dua tahun pula.
Bayaran pertama sebanyak £20.8 juta akan dibuat sebaik sahaja pembelian dimuktamadkan, diikuti bayaran kedua pada penghujung musim depan, manakala baki akhir akan diselesaikan pada musim panas 2027.
United kini dibenarkan untuk menyelesaikan perjanjian itu bersama Cunha dan menjadualkan beliau menjalani pemeriksaan kesihatan, dengan proses perpindahan dijangka selesai dalam masa terdekat, sebelum tempoh perpindahan dibuka pada 1 Jun.
Cunha dikatakan akan menandatangani kontrak lima tahun bersama United, dengan pilihan untuk lanjutkan setahun lagi selepas itu.
Sejak menyertai Wolves secara pinjaman daripada Atletico Madrid pada Januari 2023, Cunha telah membuat 92 penampilan dan menjaringkan 33 gol untuk kelab itu.
Pembelian Cunha dilihat sebagai permulaan yang positif dalam usaha Amorim membina pasukan baru setelah mereka mengakhiri ‘musim paling teruk’ United.
Sejak menyertai United, Amorim tetap berpegang pada pendekatan taktikalnya walaupun menerima kritikan hebat.
Pertukaran formasi kepada 3-4-2-1 di pertengahan musim bukan mudah, namun prestasi pasukan menunjukkan peningkatan menjelang penghujung musim.
Cunha telah menunjukkan prestasi cemerlang musim ini dalam peranan menyokong penyerang, sistem yang hampir sama digunakan Amorim di United.
Beliau juga pernah menyatakan betapa beliau menikmati bermain di belakang penyerang utama. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg