DR AMEEN TALIB
Penulis tamu
Musim bola sepak di Eropah berakhir dengan final Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul, Turkey, dan Manchester City diisytiharkan sebagai juara pertandingan elit Eropah itu. Hujung minggu sebelumnya, musim bola sepak di England berakhir dengan perlawanan akhir Piala FA di Wembley. City juga memenangi perlawanan itu, trofi domestik kedua yang dimenanginya musim ini menyusuli kemenangan Liga Perdana England (EPL).
Ini kali pertama City memenangi liga juara-juara. Kelab itu milik Abu Dhabi dan menjadi simbol kelab bola sepak Eropah milik Arab, bersama juara Perancis Paris Saint-Germain. ‘Treble’ Man City telah meningkatkan imej dan profil pelaburan Arab dalam bola sepak Eropah.
Musim bola sepak 2022/2023 lebih istimewa bagi orang Arab. Seminggu sebelum Man City dinobatkan johan liga juara-juara, Sevilla memenangi liga Eropah peringkat kedua menerusi penentuan sepakan penalti. Penjaga gol Maghribi, Bono, menyelamatkan dua penalti.
Seorang lagi orang Arab, Karim Benzema, memenangi Ballon d’Or pada awal musim. Pemain Arab warga Perancis daripada Real Madrid itu sedang dalam perjalanan menyertai Cristiano Ronaldo di Arab Saudi. Benzema menyertai Al-Itihad dari Arab Saudi. Ngolo Kante juga menyertai Al-Ittihad.
Piala Dunia Qatar 2022 ialah piala dunia pertama yang dianjurkan negara Arab. Ia satu kejayaan yang akan dikenang dan dirujuk selama bertahun-tahun. Ia kali pertama Piala Dunia Fifa diadili oleh tiga pengadil wanita. Ia Piala Dunia pertama dimenangi Lionel Messi dari Argentina. Aksi Messi mengambil trofi dengan memakai bisht (kain diperbuat daripada bulu unta dan bulu kambing) tradisional ditonton di kaca television di seluruh dunia berulang kali.
Maghribi mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022. Ini kali pertama negara Arab mara ke separuh akhir Piala Dunia. Kejayaan Qatar 2022 menaikkan semangat peminat bola sepak di seluruh Timur Tengah dan meningkatkan lagi minat mendalam kalangan orang Arab terhadap bola sepak.
Qatar 2022 menyaksikan Arab Saudi bangkit semula dengan mengalahkan Argentina 2-1. Kita melihat Maghribi menyingkirkan Sepanyol dan Portugal di peringkat kalah mati, dan Belgium di peringkat kumpulan. Ia membuatkan peminat mengimpikan sebuah negara Arab mara ke separuh akhir sekali lagi dalam Piala Dunia akan datang dan mungkin perlawanan akhir.
Mereka mengimpikan satu lagi pasukan kebangsaan seperti Maghribi. Ia mampu menjadi kenyataan apabila kita menimbang bahawa Zidane, Mbappe (ibunya orang Algeria) dan Benzema layak bermain untuk Algeria. Stephan El Shaarawy mempunyai bapa orang Mesir dan layak bermain untuk Mesir.
Negara Arab Afrika Utara seperti Mesir, Tunis, Algeria dan Maghribi boleh meninjau dunia bola sepak untuk mencari pemain bola sepak yang layak di Eropah yang belum lagi mewakili rumah/pasukan angkat mereka dalam pertandingan antarabangsa di peringkat senior. Hakim Ziyech, misalnya, bermain untuk pasukan kebangsaan bawah 21 tahun Belanda sebelum mengalih kesetiaan kepada pasukan kebangsaan Maghribi dan merupakan pemain bintang Piala Dunia.
Pasukan terbaru yang diperoleh melalui dana Arab ialah Newcastle United. Dana Pelaburan Awam (PIF) milik negara Arab Saudi memperoleh 80 peratus daripada Newcastle pada Oktober 2021. Newcastle layak ke Liga Juara-Juara UEFA selepas ‘berehat’ selama 20 tahun.
Saya tidak sabar untuk peminat Newcastle memakai penutup kepala ghutrah dan agal dalam warna Newcastle apabila menyokong pasukan mereka di Eropah. Perbelanjaan Newcastle yang berjumlah lebih kurang 250 juta pound sterling, sejak pengambilalihan – remeh jika dibandingkan dengan 600 juta perbelanjaan Chelsea.
Sheffield United FC memenangi promosi ke EPL. Kelab ini dimiliki oleh Putera Abdullah bin Musaid Al Saud dari Arab Saudi. Nassef Sawiris ialah ahli perniagaan hartawan Mesir yang memiliki bersama Aston Villa FC, dan mereka telah layak ke Liga Persidangan Eropah UEFA. PSG memenangi Liga 1 Perancis. Pasukan bola sepak Eropah milik Arab telah menunjukkan prestasi yang baik bagi musim 2022/2023.
Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dari Qatar telah mengemukakan bidaan untuk mengambil alih Manchester United. Jika berjaya, tiga daripada kelab yang menduduki empat tangga teratas EPL akan menjadi milik Arab. Musim 2022/2023 dan musim panas 2023 akan dikenang sebagai musim yang mengubah hubungan Timur Tengah dengan bola sepak.
Bagaimanapun, mereka juga harus berhati-hati dan belajar daripada pengalaman NASL (Liga Bola Sepak Amerika Utara). Pada 10 Jun 1975, New York Cosmos menandatangani Pelé. Ini menyebabkan peningkatan berganda dalam kehadiran stadium. Ia disusuli dengan menarik nama-nama besar lain menjelang penghujung kerjaya mereka: Franz Beckenbauer, Carlos Alberto, George Best, Johan Cyruff, dan Geoff Hurst. NASL membelanjakan secara purata 70 peratus belanjawan pasukan untuk gaji pemain. Perlumbaan menarik bintang dan gaji lumayan menyebabkan banyak kelab NASL muflis.
Arab Saudi baru-baru ini telah menswastakan kelab bola sepak milik negara itu. Ia membolehkan syarikat dan agensi pembangunan melabur dan mengambil alih kelab. Dana kekayaan berdaulat negara Arab Saudi, Dana Pelaburan Awam (PIF) akan memiliki 75 peratus daripada Al Ittihad, Al Ahli, Al Nassr dan Al Hilal. Kelab bola sepak Bahagian Kedua Al-Suqoor akan dijadikan sebuah syarikat dan dimiliki NEOM, yang mengendalikan projek kerajaan untuk membina sebuah bandar futuristik di padang pasir. Syarikat minyak gergasi Saudi, Aramco akan memiliki kelab Divisyen Pertama Saudi, Al-Qadsiah.
Pelaburan dalam bola sepak Saudi sebahagian daripada Wawasan 2030. Sasaran pendapatan Liga Profesional Saudi meningkat kepada 1.8 bilion riyal setiap tahun menjelang 2030 daripada 450 juta riyal semasa. Arab Saudi perlu menjaga kelestarian liga profesional dan memastikan kegagalan NASL tidak berulang di Arab Saudi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg