Bagi ramai anak muda di Singapura, cinta terhadap Piala Dunia lazimnya bermula di ruang tamu, sambil menyaksikan aksi idola bola sepak masing-masing di kaca televisyen.

Bagi Haziq Azman, 25 tahun, ‘demam’ Piala Dunia mula menjangkiti dirinya menerusi gema bunyi hon vuvuzela pada edisi Afrika Selatan 2010, selain detik bersejarah jaringan Andres Iniesta yang memastikan Sepanyol muncul juara buat julung-julung kalinya.

‘Demam’ itu bertambah hangat apabila beliau melangkah ke sekolah menengah, dan bertemu dengan sekumpulan rakan akrab yang berkongsi minat mendalam itu.

Mereka mengekalkan tradisi menonton edisi Piala Dunia seterusnya bersama-sama, dari rumah masing-masing, kelab masyarakat sehingga ke kedai makan malam.

Ketika membesar, mereka tidak pernah menyangka satu hari nanti, mereka bakal menikmati pengalaman berada di pentas bola sepak terbesar dunia itu secara langsung.

Selepas lebih sedekad berlalu, Haziq dan dua rakan karibnya kini merealisasi impian zaman kanak-kanak itu di Canada, salah satu negara penganjur bersama.

Haziq, Ryu Kairin Anaqi Suzuki dan Munif Zain merupakan antara jutaan peminat bola sepak dari pelbagai pelosok dunia yang sanggup meredah perjalanan beribu-ribu batu demi merasai kehangatan Piala Dunia.

Mereka berada di situ dari 13 hingga 27 Jun untuk menonton dua perlawanan.

Menerusi panggilan telefon pada 17 Jun (waktu Singapura), Haziq meluahkan kegembiraannya kepada Berita Harian (BH):

“Kami benar-benar ingin merealisasikan impian ini, sebelum masing-masing mula sibuk dengan kerjaya atau berkahwin.”

Setiap orang berbelanja sekitar $5,000 secara keseluruhannya, dengan tiket bagi setiap perlawanan berharga sekitar $350.

Mereka mula berjimat seawal Disember 2025, termasuk mengetepikan beberapa perancangan untuk melancong demi menampung kos untuk menikmati Piala Dunia, kongsi Haziq.

Sekitar Mei lalu, mereka menempah tiket bagi perlawanan antara Belgium dengan New Zealand pada 26 Jun (27 Jun waktu Singapura) di Stadium BC Place di Canada.

Selepas tiba di Vancouver, mereka juga berjaya menempah tiket untuk menyaksikan perlawanan antara Bosnia Herzegovina dengan Qatar pada 24 Jun (25 Jun waktu Singapura) di Stadium Seattle, terletak di Washington, Amerika Syarikat.

Walaupun belum masuk ke stadium, tiga sahabat itu sudah pun merasai suasana hangat dan meriah di pesta penyokong.

Tiga sahabat itu mengunjungi pesta penyokong di Vancouver, Canada, untuk menonton perlawanan antara Jepun dengan Belanda pada 14 Jun, bersama ramai penyokong lain.
Tiga sahabat itu mengunjungi pesta penyokong di Vancouver, Canada, untuk menonton perlawanan antara Jepun dengan Belanda pada 14 Jun, bersama ramai penyokong lain. - Foto HAZIQ AZMAN

Haziq menyifatkan pengalaman menonton aksi mendebarkan antara Jepun dengan Belanda yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di pesta itu sebagai ‘luar biasa’.

“Kami sangat teruja melihat semua peminat bersungguh-sungguh menyokong negara masing-masing.

“Kami lebih kagum dapat menikmati suasana mesra antara peminat berbilang bangsa.

“Walaupun perlawanan cukup sengit, peminat Jepun dan Belanda tetap gembira menonton bahu ke bahu dan sama-sama bersorak sejurus selepas perlawanan tamat,” kata Haziq, yang bertugas dalam industri operasi lapangan terbang.

Di pesta penyokong, Haziq memerhatikan ramai penyokong berbilang bangsa gembira menonton perlawanan bahu ke bahu, walaupun bersungguh-sungguh menyokong negara masing-masing.
Di pesta penyokong, Haziq memerhatikan ramai penyokong berbilang bangsa gembira menonton perlawanan bahu ke bahu, walaupun bersungguh-sungguh menyokong negara masing-masing. - Foto HAZIQ AZMAN

Bagi Ryu, yang mula terpikat dengan kejohanan berprestij itu selepas menyaksikan aksi ikon Jepun, Keisuke Honda, dalam edisi 2010, pengalaman menonton perlawanan di samping peminat negara berasa lebih istimewa.

“Biasanya, kami menonton di rumah pada waktu tidak menentu.

“Jadi apabila dapat menikmati suasana riuh-rendah secara langsung di samping lebih ramai penyokong lain, ia memang pengalaman luar biasa,” katanya, yang bertugas dalam pengurusan projek di syarikat Uber.

Sambil berseloroh, Ryu mengakui pengalaman itu lebih bermakna kerana beliau mempunyai darah kacukan Melayu-Jepun.

Peristiwa tersebut berjaya membuat Haziq dan Ryu semakin teruja menyaksikan beberapa bintang kegeraman mereka beraksi, termasuk Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Edin Dzeko.

Selaku penyokong tegar Manchester United, Haziq juga berharap dapat melihat penjaga gawang, Senne Lammens.

Meskipun beberapa rakan karib mereka tidak berpeluang untuk turut serta, mereka tetap bersyukur kerana diberi rezeki dan peluang untuk merealisasikan impian besar ini.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah menyangka hari ini akan tiba.

“Kami sekadar mengimpikannya sahaja ketika di bangku sekolah menengah, dan tidak pernah terbayang dapat menyaksikannya secara berdepan.

“Saya lebih bersyukur dapat berkongsi detik yang amat istimewa ini bersama rakan baik saya,” kata Ryu.