Peminat bola sepak tempatan bakal disambut dengan kehadiran seorang bintang antarabangsa apabila bekas pemain Jepun dan AC Milan, Keisuke Honda, disahkan akan beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim depan.

Albirex Niigata, yang akan bertukar nama kepada FC Jurong bagi musim 2026/2027, mengumumkan di Facebook pada 10 April bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 39 tahun itu.

Beliau dijangka menyertai skuad pada Ogos 2026.

Honda, yang terkenal sebagai pemain tengah kreatif dan berpengalaman luas, memulakan kerjaya profesionalnya bersama pasukan tempatan Jepun, Nagoya Grampus Eight, sebelum mencipta nama di pentas Eropah bersama VVV-Venlo di Belanda dan CSKA Moscow di Russia.

Beliau kemudian mengukir pengalaman berharga bersama AC Milan dalam saingan Serie A selama kira-kira tiga tahun, sebelum beraksi di beberapa negara termasuk Australia, Brazil dan Portugal.

Di pentas antarabangsa, Honda hampir mencecah 100 penampilan dan menjaringkan 37 gol bersama Jepun dan pernah beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia bersama skuad kebangsaannya.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja dari 2018 hingga 2023.

Pada 2025 Honda pernah memuat naik gambar di Instagram beliau yang menunjukkan dirinya menjalani latihan di Our Tampines Hub dan Stadium Jurong East – di mana ia merupakan stadium tuan rumah Albirex – sekali gus memberi bayangan awal mengenai pemindahannya ke SPL.

“Saya gembira berpeluang beraksi bersama FC Jurong. Saya akan mencecah usia 40 tahun tahun ini dan saya sedang mengejar beberapa matlamat peribadi termasuk rekod dunia untuk menjaringkan gol dalam liga utama di jumlah negara yang paling banyak,” kata Honda.

“Namun, matlamat utama saya bersama kelab ini adalah untuk memenangi kejuaraan liga.

“Terdapat beberapa pencabar yang sangat kuat, jadi ia pasti satu cabaran besar, tetapi saya bertekad untuk mencapainya.”

Albirex kini berada di tangga ketiga SPL dengan 29 mata selepas 14 perlawanan, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Lion City Sailors, dengan baki 7 perlawanan.

Kehadiran Honda dilihat sebagai langkah penting untuk merapatkan jurang tersebut dan memperkukuh cabaran kejuaraan musim akan datang.

Pengerusi kelab, Daisuke Korenaga, menyifatkan kehadiran Honda sebagai asas penting dalam pembangunan jangka panjang pasukan.

“Untuk membina sebuah ‘istana’ yang hebat, anda memerlukan asas yang kukuh. Dalam asas itu, kami menyuntik pengalaman, visi dan semangat bertaraf dunia,” katanya.

“Dengan Keisuke Honda, kami bertekad untuk membina legasi yang akan membawa kelab ini ke hadapan untuk 100 tahun akan datang.”