‘Mamat’ azam bangkit, sarung lagi jersi Singa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Mamat’ azam bangkit, sarung lagi jersi Singa

Hambatan demi hambatan namun cekalkan hati dan terus bersemangat buru impian di padang bola sepak
Mar 21, 2026 | 5:30 AM

‘Mamat’ azam bangkit, sarung lagi jersi Singa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bola sepak, Albirex Niigata, skuad Singa,  Zulqarnaen Suzliman
Bek kanan Albirex Niigata, Zulqarnaen Suzliman, yang mesra dengan panggilan ‘Mamat’ dalam kalangan teman dan rakan sepasukannya, kini kembali bermain secara tekal, dan berasa beliau semakin bersedia untuk kembali menyertai semula skuad nasional. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM

Pada usia 17 tahun, ketika kerjayanya bersama Young Lions berada di landasan yang baik, beliau hampir-hampir terpaksa melepaskan impian yang dikejarnya sejak mula bermain bola sepak pada usia lima tahun.

Ketika itu, doktor menemui ketumbuhan pada bahagian paha kiri belakangnya, sebesar sebiji telur, satu penemuan yang hampir memusnahkan perjalanan bola sepaknya sebelum benar-benar bermula.

Walaupun ketumbuhan itu bukan barah, ia tetap menyebabkan kesakitan yang amat sekali.

Bagi Zulqarnaen Suzliman, berita tersebut sangat menghancurkan dan membuatkan beliau tertanya-tanya sama ada beliau masih berpeluang untuk kembali beraksi.

Namun, untuk berputus asa bukanlah satu pilihan.

Beliau tetap memilih untuk menjalani pembedahan walaupun masa depannya tidak menentu, dan perlu berdepan dengan tempoh pemulihan yang panjang dan mencabar.

Pada peringkat awal selepas pembedahan, beliau menghadapi kesukaran berjalan seperti biasa.

“Saya tidak boleh berjalan hampir tiga bulan.

“Pada masa itu saya fikir, mungkin sudah tiba masanya saya menguburkan sahaja impian untuk menjadi pemain bola sepak profesional,” katanya.

Walaupun begitu, semangatnya tidak pernah luntur.

Hari demi hari, beliau berusaha keras menjalani proses pemulihan dan perlahan-lahan mengembalikan kekuatan pada kakinya.

“Proses pemulihan agak mencabar... kadang-kadang kita perlu ulangi latihan yang sama setiap hari.

“Ada hari kita rasa bersemangat, ada hari saya bertanya kepada diri sendiri, kenapa aku buat semua ini,” katanya.

Akhirnya, beliau kembali ke padang dan dikenali sebagai bek kanan yang lincah, penuh semangat juang serta memiliki kepantasan yang memukau peminat.

Namun, ujian sekali lagi datang pada 2024 apabila beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika menentang China dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Sepanjang tempoh pemulihan tersebut, sokongan keluarga dan isterinya, Nurulhuda Sanusi, menjadi sumber kekuatan utama.

“Beliau selalu ingatkan saya, kenapa nak berhenti sekarang sedangkan saya sudah melalui banyak cabaran sebelum ini,” katanya.

Selepas pulih, Zulqarnaen berdepan cabaran untuk mendapatkan minit permainan bersama kelabnya ketika itu, Lion City Sailors.

“Sebagai pemain, kalau tak main, memang susah. Kita perlukan perlawanan untuk bina semula keyakinan,” katanya.

Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk berpindah ke Albirex Niigata untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan.

Kini berusia 27 tahun, usia yang dianggap sebagai kemuncak bagi seorang pemain bola sepak, Zulqarnaen kembali mendapat peluang beraksi di padang secara tetap bersama Albirex.

Dengan keadaan fizikal dan keyakinan yang semakin pulih, beliau percaya dirinya sudah bersedia untuk kembali menyarung jersi pasukan nasional.

Minat terhadap bola sepak sebenarnya sudah tertanam sejak kecil.

Anak bongsu tujuh beradik itu dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam dunia sukan.

Dua kakaknya pernah mewakili pasukan hoki kebangsaan, manakala beberapa abangnya bermain bola sepak hingga ke peringkat belia kebangsaan.

Malah, beliau juga pernah beraksi bersama abangnya, Zulfadhmi Suzliman, dalam skuad nasional.

Bek kanan Albirex Niigata, Zulqarnaen Suzliman (barisan depan, paling kiri), pernah beraksi bersama abangnya, Zulfadmi Suzliman (barisan depan, dua dari kiri), untuk pasukan nasional Singa.
Bek kanan Albirex Niigata, Zulqarnaen Suzliman (barisan depan, paling kiri), pernah beraksi bersama abangnya, Zulfadmi Suzliman (barisan depan, dua dari kiri), untuk pasukan nasional Singa. - Foto ihsan ZULQARNAEN SUZLIMAN 

“Dari kecil, memang semua anggota keluarga saya gemar bersukan.

“Kami selalu bermain bola sepak bersama-sama, walaupun kadang-kadang sekadar menggunakan apa sahaja yang ada,” katanya.

Sejak kecil, suasana kompetitif dalam keluarga menjadi pemangkin kepada semangatnya.

“Kami selalu mencabar satu sama lain.

“Kadang-kadang kami saling berkata, ‘aku lagi bagus daripada kau’, tetapi semua itu sebenarnya menjadikan kami lebih bersemangat,” katanya sambil ketawa.

Zulqarnaen mula bermain secara serius ketika di Sekolah Rendah Kranji.

Ketika itu, beliau beraksi sebagai penyerang dan memanfaatkan kepantasannya untuk menjaringkan gol.

“Dulu saya main sebagai striker sebab saya laju. Setiap kali masuk padang, memang fikir nak jaring gol saja,” katanya.

Usahanya membuahkan hasil apabila beliau muncul sebagai penjaring terbanyak dalam pertandingan sekolah yang disertainya, dengan lebih 30 gol dalam satu musim.

Prestasi cemerlang itu membuka peluang untuk beliau menyertai Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA) apabila beliau berusia 14 tahun.

Beliau kemudian menyertai Young Lions dan mula menimba pengalaman berharga dalam liga profesional.

Selepas sekitar empat tahun bersama pasukan itu, beliau menyertai Lion City Sailors, salah satu kelab utama dalam Liga Perdana Singapura (SPL).

Tidak lama kemudian, beliau menerima panggilan untuk menyertai skuad nasional pada usia 19 tahun – satu pencapaian besar dalam kerjayanya.

Antara detik manis semasa menyarungi jersi Singa adalah semasa beliau mencatatkan assist (hantaran bola) yang menghasilkan gol jaringan Faris Ramli dalam kejohanan Piala Suzuki AFF ketika menentang Filipina.

“Itu adalah antara perlawanan terbaik saya. Dapat bantu pasukan dan main dengan baik, memang puas hati,” katanya.

Beliau juga berpeluang beraksi menentang bintang antarabangsa seperti Son Heung-min dalam perlawanan persahabatan menentang Tottenham Hotspur.

“Bukan selalu dapat peluang lawan pemain macam itu. Saya siap simpan jersi dan gambar sebagai kenangan,” katanya.

Walaupun telah melalui banyak cabaran, beliau berkata beliau tidak rasa kesal tentang perjalanan dan pengalaman yang telah beliau lalui.

“Saya rasa sekarang ini saya lebih matang, bukan sahaja dari segi permainan, bahkan juga dari segi mental,” katanya.

“Jika saya dipilih untuk kembali bersama skuad nasional, sudah tentu saya akan berjuang bermati-matian dan berikan segala yang saya ada.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg