Masuk kandang singa, mengaum; masuk kandang kambing, mengembek.
Ke mana seseorang itu pergi, beliau harus tahu bawa diri, mengikut keperluan yang ada di sekelilingnya.
Bertenang dan mengatur langkah sewajarnya walau mungkin tidak dapat menjaringkan sebarang gol.
Begitulah ungkapan yang saya kira sesuai bagi pasukan Singapura ketika seri 0-0 dengan Malaysia dalam saringan kumpulan A, Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.
Walaupun beraksi di kandang Harimau, iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, berjaya mengatur strategi dengan bijak dalam memastikan pemainnya kekal fokus untuk mencapai matlamat melangkah ke separuh akhir.
Di hadapan sekitar 31,127 penonton, Singapura hanya memerlukan seri untuk melangkah ke saingan separuh akhir, sesuatu yang dikecapi buat kali pertama sejak Piala AFF 2020 yang diadakan pada 2021.
Walau demikian, ia bukanlah permainan yang terbaik yang pernah dipamerkan Singa.
Harimau Malaya menguasai permainan dari awal dengan melakukan asakan terus ke pintu gawang Singa, namun gagal menemui sasaran.
Dengan ketiadaan Shawal Anuar dan Kyoga Nakamura di kesebelasan utama, Singa kekurangan kreativiti untuk mengawal bahagian tengah padang pada separuh masa pertama.
Namun, Singa memperbaiki persembahan mereka di separuh masa kedua dengan bertahan sebagai sebuah unit, ditambah bantuan tiang gol yang ‘menyelamatkan’ Singa tiga kali.
Ogura berbangga dengan pemainnya dan berkata setiap pemain mempamerkan semangat juang tinggi.
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih berusia 58 tahun itu, berkata:
“Mereka tidak gentar. Saya sangat bangga dengan pemain yang memberi segalanya, baik di bahagian pertahanan atau penyerang...semuanya adalah satu pasukan.
“Mereka mahu menang dan tidak mahu hanya bertahan atau melakukan kesilapan.”
Dengan kumpulan A menutup tirainya, Singa tidak mampu berpuas hati dengan keputusan yang diraih selama ini.
Kemenangan menentang Kemboja dan Timor-Leste dilihat kurang memberangsangkan, manakala Gajah Putih ‘menundukkan’ Singa pada separuh masa kedua di Stadium Negara.
Jika Singa ingin terus ‘mengaum’ di rimba Asean, mereka harus merenung kembali perlawanan menentang Malaysia.
Di Bukit Jalil, Ogura bijak memilih pemainnya agar dapat mengekalkan prestasi konsisten sepanjang perlawanan.
Pada tiga perlawanan pertama, Singa mempamerkan mutu persembahan yang berlainan di dua babak permainan.
Mereka sering dibolosi selepas memulakan dengan cemerlang pada separuh masa pertama.
Namun, ketika menentang Malaysia, Ogura bijak memilih pemainnya agar mereka kekal cergas dan dapat beraksi dengan lebih konsisten.
Tonggak utama Singa seperti Shawal Anuar, Kyoga Nakamura, Glenn Kweh, diturunkan pada separuh masa kedua untuk menguatkan lagi enjin midfield Singapura.
Ogura harus teruskan dengan pemilihan seperti ini pada saingan separuh akhir agar pemain dapat kekal cergas dan bertahan untuk tempoh yang lebih lama.
Jika terdapat pemain yang memberikan kesemuanya di padang, beliau adalah Irfan Najeeb.
Bek kanan berusia 25 tahun itu cemerlang di bahagian tersebut dengan sering mematahkan serangan Malaysia.
Beliau begitu tenang dan kelihatan tidak gentar dengan sorakan penyokong dan asakan pemain Malaysia.
Irfan melompat tinggi, berani untuk berebut menanduk bola dan bijak membuat ‘tackle’.
Bercakap dengan Berita Harian (BH) selepas perlawanan, Irfan menjelaskan beliau tidak mampu mempamerkan persembahan yang baik tanpa pemain lain.
“Saya gembira dengan persembahan saya, namun saya harus memberi penghargaan kepada seluruh pemain.
“Saya sudah mempersiapkan diri untuk perlawanan ini dan ini bukan kali pertama saya bermain di hadapan penyokong yang ramai, sebelum ini di Sukan SEA,” katanya.
Kewujudan pemain veteran mampu mengurangkan rasa gementar pemain muda.
Dengan pasukan Singa memiliki usia purata 28.2 tahun, tidak dinafikan bahawa mereka antara skuad tertua dalam saringan ini.
Namun, ia memberi kelebihan kepada pasukan Singa terutama sekali dalam perlawanan intensiti tinggi seperti menentang Malaysia.
Mengulas mengenai permainan di hadapan penyokong Malaysia, tonggak pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, 33 tahun, berkata:
“Ia tidak mudah untuk datang ke sini (Bukit Jalil) dan kita perlu nikmati peluang ini.
“Ia bukanlah satu perlawanan yang biasa kita main setiap minggu. Tapi kita kekal tenang dan tidak terlalu mudah terkesan. Saya bangga pemain dapat merasainya.”
Penjaga gawang veteran, Izwan Mahbud, turut memuji pemain muda yang tampil beraksi cemerlang dan percaya bahawa perlawanan seperti itu mampu memberi mereka pengalaman yang sukar didapatkan, terutamanya di Liga Perdana Singapura (SPL).
“Pemain muda Singa mempunyai masa depan dan mereka sedang mempelajari selok beloknya.
“Sekarang mereka memahami bagaimana perasaan bermain menentang pasukan yang kuat di stadium yang besar dengan penyokong yang ramai,” ujar penjaga gawang 34 tahun itu.
Jika terdapat sesuatu yang mampu memacu persembahan pemain, ia adalah kehadiran penyokong.
Sekitar 600 penyokong Singapura sanggup merentas jalan sesak ke Kuala Lumpur.
Semangat 300 penyokong yang terkandas dalam kesesakan trafik di Kuala Lumpur, dari Stadium Jalan Besar juga seolah-olah tidak pernah luntur.
Separuh masa kedua melihat penyokong Singa terus ‘mengaum’ dengan sorakan yang lebih kuat untuk tandingi puluhan ribu penyokong tuan rumah.
Ogura turut menjadikan penyokong di stadium sebagi pemangkin semangat untuk pemain.
Beliau menghargai kedatangan mereka sambil berkata:
“Saya beritahu pemain, hari ini penyokong akan pulang ke (Singapura) pada tengah malam.
“(Mereka melakukan perjalanan ini) tanpa bonus dan gaji, tiada apa-apa. Mereka mengharapkan satu perkara sahaja iaitu kita melangkah ke pusingan seterusnya.”
Dengan pasukan Singa menghadapi saingan separuh akhir, mereka memerlukan penyokong untuk kekal berada di belakang mereka terutama sekali di perlawanan kedua separuh akhir di padang lawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg