Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa mengaum dalam kandang harimau hingga capai impian ke separuh akhir Piala AFF

Dec 21, 2024 | 5:19 PM
Pemain Singapura meraikan kelayakan mereka ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric selepas mendapatkan keputusan seri 0-0 semasa menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 20 Disember.
Pemain Singapura meraikan kelayakan mereka ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric selepas mendapatkan keputusan seri 0-0 semasa menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 20 Disember. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sudah lama penyokong menaruh harapan akan wujud detik keemasan pasukan bola sepak Singapura melangkah ke separuh akhir Piala AFF Mitshubishi Electric 2024.

Singa berdepan pelbagai cabaran sejak penampilan terakhir mereka pada separuh akhir edisi 2021 kejohanan serantau itu, apabila mereka disingkirkan oleh Indonesia.

Harapan penyokong Singapura dipenuhi jua apabila dengan ketabahan, azam, dan perancangan taktikal mantap, Singa berjaya memasuki separuh akhir edisi 2024 selepas seri 0-0 dengan pasukan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember.

Perjalanan Singapura ke separuh akhir bukan satu kejayaan dalam aspek kemahiran dan strategi sahaja, malah hasil sokongan tidak berbelah bahagi peminat juga.

Encik Sahril Jailani, misalnya, sanggup memandu ke Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur bersama empat anggota keluarganya.

“Kita bernasib baik dapat mara ke peringkat seterusnya. Walaupun kita tidak jangka ke pusingan separuh akhir, pemain Singa membanggakan,” kata beliau, 50 tahun.

Kebanggaan itu lebih dirasakan oleh Cik Saleha Said, 42 tahun, kakak pemain Singapura, Hami Syahin.

Beliau, bersama 14 anggota keluarganya, turut ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas percuma yang disediakan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk menyokong pasukan Singa, terutama Hami Syahin.

“Kami sentiasa menyokong Singapura sejak kami masih kecil, sejak 1990-an. Kali ini, kami sekeluarga pergi memberi sokongan moral kepada Hami Syahin tercinta,” ujarnya.

Ketua jurulatih Singapura, Tsumo Ogura, berterima kasih tidak terhingga kepada peminat yang sentiasa menyokong pasukannya.

“Ramai penyokong dari Singapura datang untuk menyokong kami. Mereka datang tanpa diberi pampasan, hanya dengan harapan kami akan mara ke pusingan seterusnya.

“Saya amat menghargai pengorbanan peminat Singapura yang sentiasa berada di sisi kami. Harap terus beri sokongan kepada kami pada masa akan datang kerana kehadiran anda semua sangat penting bagi pemain,” kata Ogura.

Bagi penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud, kehadiran peminat yang merentasi perjalanan jauh menyentuh perasaannya.

“Saya perlu mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang datang walaupun perjalanannya jauh. Ia merupakan pengorbanan besar dan benar-benar bermakna bagi kami,” kata Izwan selepas perlawanan.

Bagi pemain dan peminat, kelayakan ke separuh akhir ini lebih daripada sekadar satu pencapaian kerana ia merupakan lambang ketabahan pasukan Singapura di samping sokongan tanpa henti peminat.

Kebanggaan dan kegembiraan rakyat Singapura terus meluap-luap melihat pada ucapan dan catatan tahniah mencurah-curah netizen di laman Facebook Berita Harian (BH).

Para pemain, jurulatih, dan peminat sama-sama berharap Singa bukan berjaya ke perlawanan akhir sahaja, bahkan membawa pulang trofi yang sudah lama dinantikan itu.

Kali terakhir Singapura menjulang Piala AFF ialah pada 2012.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg