Nur Yuanna Insyirah S Ralli hanya mempunyai latihan amali dan beberapa bulan lagi sebelum menamatkan pengajiannya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Namun, satu peluang yang tidak disangka mendorong Yuanna menangguhkan pengajiannya – di peringkat Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan – selama satu semester.

Beliau memilih untuk mengambil cuti selama tempoh itu untuk menyertai program latihan di Sweden – satu keputusan yang disifatkannya sebagai agak mudah untuk dibuat.

Keputusan itu mendapat sokongan gurunya yang sebelum ini memahami komitmennya terhadap bola lantai.

“Saya hanya tinggal beberapa bulan untuk tamat pengajian. Saya perlu lengkapkan latihan industri dan selepas itu boleh tamat pengajian saya,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

“Tetapi bagi saya, saya boleh sentiasa sambung pengajian.

“Latihan di Sweden pula peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan utama. Sudah tentu saya mahu menjadi sebahagian daripadanya.”

Namun, rakan sekolahnya sedikit kecewa kerana mereka berharap dapat menamatkan pengajian bersamanya.

Mereka sudah merancang untuk melancong dan mengadakan sambutan selepas tamat pengajian.

“Rakan sekolah saya sedih kerana mereka mahu lalui majlis penyampaian sijil bersama saya.

“Kami sudah merancang untuk melancong bersama dan mengadakan sambutan tamat sekolah,” katanya sambil ketawa.

Pemain lantai bola, Nur Yuanna Insyirah S Ralli, menyifatkan program latihan luar negara ke Sweden itu merupakan peluang terbaik untuk menguji kemampuannya dan mengasah bakat dalam perjalanan beliau memburu pingat emas Sukan SEA 2027 bersama pasukan.
Pemain lantai bola, Nur Yuanna Insyirah S Ralli, menyifatkan program latihan luar negara ke Sweden itu merupakan peluang terbaik untuk menguji kemampuannya dan mengasah bakat dalam perjalanan beliau memburu pingat emas Sukan SEA 2027 bersama pasukan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Lebih daripada mengejar pengalaman di luar negara, Yuanna mahu menggunakan tempoh tersebut untuk mencari jawapan kepada satu persoalan mengenai dirinya sendiri – sejauh manakah beliau sebenarnya boleh capai sebagai pemain.

Pemain termuda antara tujuh atlet yang dipilih itu mengakui beliau masih belum dapat menyifatkan dirinya telah mencapai tahap terbaik.

“Sekarang ini, saya rasa saya belum mencapai potensi penuh saya,” katanya.

Itulah yang membuatkan cabaran di Sweden begitu menarik buatnya.

Yuanna mahu meningkatkan aspek teknikal dan taktikal permainannya, termasuk dari segi pemahaman permainan dan membuat keputusan.

“Apabila saya bermain dengan pemain yang lebih baik, saya akan belajar lebih banyak dan berkembang.

“Saya rasa apabila keadaan lebih sukar, saya akan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Jika cabaran di gelanggang menjadi salah satu perkara yang membuatkan Yuanna gementar, cabaran di luar gelanggang mungkin lebih dekat di hatinya.

Beliau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ibunya – individu pertama yang dihubunginya selepas mendapat berita mengenai pemilihan tersebut.

“Saya beritahu ibu saya dahulu. Saya beritahu beliau hampir semua perkara. Apabila mendapat berita ini, perkara pertama yang saya buat ialah menelefonnya,” kongsi beliau.

Walaupun ibunya mahu Yuanna menamatkan pengajian secepat mungkin sebelum menyambung ke politeknik, ibunya memahami betapa pentingnya peluang itu kepada Yuanna.

“Beliau tahu betapa pentingnya perkara ini kepada saya. Beliau tidak menghalang saya. Beliau cuma kata, ‘Ini yang Yuanna mahu, jadi pergilah’,” tambah Yuanna.

Namun, Yuanna tidak menafikan tempoh tujuh bulan berjauhan daripada individu yang selama ini menjadi tempatnya bergantung akan menguji dirinya.

Walaupun perjalanan ke Sweden lebih tertumpu kepada pembangunan dirinya, Yuanna sudah mempunyai sasaran yang lebih besar apabila kembali ke Singapura.

Beliau mahu menggunakan apa yang dipelajari untuk membantu rakan sepasukannya, dan akhirnya membantu Singapura memburu emas Sukan SEA 2027.