Topik diikuti
Pergi ke BHkuDemi pertingkat diri, Siti Nurhaliza lepaskan jawatan jurulatih bola lantai
Peluang kembali jadi pemain dan jalani latihan di Sweden terlalu berharga untuk dilepaskan
Buat julung-julung kalinya, Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA) menganjurkan Program Latihan Luar Negara Bola Lantai Singapura (SFOTP), dan menghantar tujuh atlet bola lantai kebangsaan ke Sweden selama tujuh bulan untuk menjalani latihan intensif dan menyertai pertandingan.
Berita Harian (BH) menemu bual dua daripada tujuh atlet itu, Siti Nurhaliza Khairul Anuar, dan Nur Yuanna Insyirah S Ralli, untuk memahami matlamat yang ingin mereka capai serta pengorbanan yang perlu dilakukan demi merebut peluang berharga tersebut.
Bagi Siti Nurhaliza Khairul Anuar, keputusan untuk meninggalkan pekerjaan tetapnya sebagai jurulatih bola lantai selama tujuh bulan bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, peluang untuk kembali menjadi pemain sepenuh masa dalam salah satu persekitaran berdaya saing terbaik di dunia terlalu berharga untuk dilepaskan.
Pemain berusia 28 tahun itu merupakan antara tujuh pemain kebangsaan yang akan menyertai Program Latihan Luar Negara Bola Lantai Singapura (SFOTP), satu daya usaha baharu oleh Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA) yang akan membawa mereka ke Sweden dari September 2026 hingga Mac 2027.
Tujuh pemain tersebut akan menyertai kelab Sweden, Pixbo IBK, di mana mereka akan menjalani latihan setiap hari serta beraksi secara kompetitif dalam sistem liga negara tersebut.
Bagi Siti, keputusan itu agak sukar.
“Sudah tentu keputusan ini tidak mudah kerana saya mengorbankan pekerjaan sepenuh masa, mempunyai pendapatan yang stabil dan sebagainya.
“Untuk berhenti selama tujuh bulan bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Beliau menjadi jurulatih di beberapa sekolah pada 2026 iaitu Sekolah Rendah Canberra, Sekolah Rendah Casuarina, Sekolah Rendah Changkat, Sekolah Menengah Bedok South, Pasukan Belia Wanita Bawah Umur 19 Tahun dan Pasukan Belia Wanita Bawah Umur 18 Tahun.
Namun, pengalaman serta kematangannya pada usia 28 tahun membuatkan Siti berasa inilah masa yang sesuai untuk mencabar dirinya sekali lagi.
“Saya rasa saya tidak boleh lepaskan peluang ini kerana bagi saya, peluang seperti ini jarang datang.
“Pada usia ini juga, saya rasa saya lebih matang untuk melalui tujuh bulan latihan intensif di Sweden,” tambahnya.
Pengalaman bermain di Eropah bukanlah sesuatu yang asing buat Siti.
Pada 2019, beliau pernah menjalani tempoh program latihan enam bulan di Republik Czech.
Namun, pengalaman itu meninggalkan rasa tidak puas hati kerana prestasinya tidak mencapai tahap yang diharapkan.
Justeru, apabila peluang kedua hadir tujuh tahun kemudian, Siti enggan melepaskannya.
“Pada 2019, saya rasa saya tidak bermain sebaik yang saya harapkan. Jadi, saya pernah berkata kepada diri sendiri, jika saya mendapat peluang untuk pergi lagi, saya patut pergi,” katanya.
Kali ini, cabarannya lebih besar.
Sweden merupakan antara kuasa besar dunia dalam bola lantai dan Siti sedar tahap intensiti serta tuntutan fizikal di sana jauh lebih tinggi.
Malah, antara kebimbangannya adalah sama ada beliau masih mampu mengikut rentak selepas sekian lama bermain dalam persekitaran yang berbeza.
“Saya lebih risau kerana usia saya. Saya tertanya-tanya sama ada saya mampu mengikut rentak atau tidak. Saya tahu di Sweden, intensitinya sangat tinggi dan tuntutannya juga tinggi,” ujar beliau.
Namun, itulah yang mahu dicari pemain yang sudah mewakili Singapura selama lapan tahun.
“Bagi saya, saya mahu melihat sejauh manakah saya masih boleh mendorong diri sendiri pada usia ini.
“Saya juga mahu keluar daripada zon selesa kerana saya rasa saya sudah agak selesa di sini selama beberapa tahun,” kongsinya.
Bagi Siti, pengalaman itu juga akan memberikannya perspektif baharu dalam tugasnya sebagai jurulatih.
Selama ini, beliau biasa memberikan arahan, maklum balas dan membantu pemain lain berkembang.
Di Sweden nanti, beliau pula perlu kembali menjadi seorang pemain.
“Dalam kejurulatihan, kita sudah biasa memberi arahan dan maklum balas untuk membantu pemain berkembang.
“Jadi sekarang saya akan berada dalam persekitaran yang sangat mencabar dan saya perlu mengambil langkah ke belakang untuk belajar, menerima kritikan, arahan dan cara untuk mempertingkatkan diri,” tambah Siti.
Pengalaman itu, katanya, boleh membantu beliau memahami anak didiknya dengan lebih baik apabila kembali ke Singapura.
“Apabila saya kembali, saya akan lebih memahami perasaan pemain apabila saya kembali melatih mereka,” kata Siti.
SFA sendiri berharap pengalaman tujuh pemain itu tidak berakhir sebagai pembangunan individu semata-mata.
Persatuan berkenaan merancang memantau perkembangan mereka menerusi pemeriksaan bulanan, ujian kecergasan dan analisis statistik pertandingan.
Pemain juga akan mengadakan sesi perkongsian taktikal bulanan bersama rakan sepasukan di Singapura.
