MANCHESTER: Gambaran Ruben Amorim yang tidak boleh dilupakan sepanjang 14 bulan beliau membimbing Manchester United mungkin ialah detik apabila beliau kelihatan muram di bangku simpanan di stadium Grimsby.
Insiden itu berlaku pada Ogos 2025, ketika United ke Grimsby untuk perlawanan Piala Carabao yang menjadi mimpi ngeri apabila United mengalami kekalahan memalukan 12-11 menerusi sepakan penalti.
Buat kali pertama dalam sejarah kelab, United tersingkir di tangan pasukan daripada divisyen keempat England.
Kenyataan Amorim selepas perlawanan seolah-olah menggambarkan seorang jurulatih yang hampir mengaku tugas itu terlalu berat buatnya.
Namun, beberapa hari kemudian beliau menarik semula nada tersebut, dengan mengatakan emosinya sering menguasai diri dan menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang “kurang bijak”.
Namun hakikatnya, Amorim bukan jenis yang mudah undur diri.
Seperti banyak aspek dalam perwatakannya, apabila beliau sudah memilih satu haluan, sukar untuknya berubah.
Sikap inilah yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhannya.
Terdapat pihak yang rapat dengan kakitangan dan pemain pernah berkata bahawa Amorim memang hebat ketika berhadapan dengan media, tetapi itulah satu-satunya perkara yang beliau benar-benar hebat.
Penilaian tersebut mungkin kasar, tetapi membuka mata.
Perlawanan terakhir Amorim ialah keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada 4 Januari.
Keputusan itu meletakkan United di tangga keenam Liga Perdana England (EPL), satu kedudukan yang boleh dibanggakan.
Namun perkara tersebut dibayangi kenyataan yang dilontarkan Amorim kepada wartawan.
Dalam interaksi awalnya dengan media pada 3 Januari, Amorim secara tersirat mengakui wujudnya percanggahan di sebalik tabir.
Selepas perlawanan, beliau mengeluarkan kenyataan terakhir yang tegas, termasuk penegasan bahawa beliau “tidak akan meletak jawatan”.
Kenyataan itu meninggalkan lembaga United dengan hanya dua pilihan: menyokong Amorim sepenuhnya, atau memecatnya.
Dengan isu taktikal yang berlarutan, serta pihak pengurusan yang sudah tidak senang dengan cara beliau menyingkirkan pemain akademi dan mengkritik pemain senior secara terbuka, pilihan kedua hampir pasti dipilih.
Pelantikan Amorim pada awalnya dilihat sebagai langkah progresif: membawa masuk jurulatih yang sesuai dengan struktur moden dan dijangka berkembang bersama kelab.
Namun jurulatih berusia 40 tahun itu datang dengan falsafah yang jelas, termasuk sistem 3-4-3 yang digunakannya di Sporting.
Semakin kerap beliau ditanya tentang sistem itu, semakin kuat Amorim mempertahankannya.
Baginya, mengubah sistem bermakna merosakkan penguasaannya di mata pemain dan menjejas mesej yang dibawanya.
Namun pada Oktober, Amorim mengakui beliau terpaksa berkali-kali menasihati pemain supaya mengabaikan suara luar yang menuntut sistem itu digugurkan.
“Pemain saya mendengar anda semua, dan mereka menerimanya kerana kami tidak menang,” katanya.
Empat hari selepas buat kali pertama kembali menggunakan empat pemain pertahanan dalam kemenangan 1-0 ke atas Newcastle, Amorim kembali kepada memainkan tiga pemain pertahanan ketika menentang Wolves.
Tidak menghairankan, keputusan seri 1-1 pada 31 Disember menentang Wolves, pasukan yang hanya mengumpul dua mata sepanjang musim, dianggap sangat negatif oleh pihak dalaman kelab.
Pengarah teknikal Jason Wilcox kemudian bertemu Amorim, menggesa beliau agar lebih fleksibel dari segi taktikal.
Amorim mahu menjalankan tugas tanpa gangguan, manakala kelab menganggap maklum balas itu perkara biasa.
Situasi akhirnya tidak dapat diselamatkan dan beliau akhirnya dipecat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg