Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua jurulatih baru Chelsea bakal diumum

Jan 5, 2026 | 1:47 PM
bola sepak, EPL, pengurus Strasbourg, Liam Rosenior, pelantikan, ketua jurulatih Chelsea
Pengurus Strasbourg, Liam Rosenior, dilaporkan telah tiba di London untuk merasmikan pelantikannya sebagai pengganti, Enzo Maresca, sebagai ketua jurulatih di Chelsea. - Foto AFP

LONDON: Liam Rosenior telah ke London untuk memuktamadkan pelantikannya yang dijangka sebagai ketua jurulatih baru Chelsea.

Menurut laporan media BBC Sports, pengendali pasukan Strasbourg itu merupakan calon utama untuk menggantikan Enzo Maresca, yang telah meninggalkan Stamford Bridge.

Rundingan bagi melantik Rosenior kini berada di peringkat akhir, dengan jurulatih berusia 41 tahun itu berada di ibu kota England itu bagi menyelesaikan urusan rasmi sebelum diumumkan sebagai pengganti Maresca.

BlueCo, entiti pelaburan yang ditubuhkan untuk mengambil alih Chelsea pada 2022, juga telah mula mengenal pasti calon-calon bagi menggantikan Rosenior di kelab Strasbourg.

Pengurus sementara Chelsea, Calum McFarlane, berkata “ada kemungkinan” ketua jurulatih baru akan mula bertugas pada 5 Januari.

McFarlane, juga jurulatih skuad Bawah 21 Tahun, mengambil alih selepas Maresca berpisah dengan Chelsea menyusuli perbezaan pendapat dengan kepimpinan kelab itu.

Chelsea kendalian McFarlane mencatat keputusan seri 1-1 di tempat lawan menentang pencabar kejuaraan, Manchester City, pada 4 Januari, hasil gol penyamaan lewat permainan oleh pemain tengah, Enzo Fernandez.

“Apabila saya mula mengambil tugas ini, saya dimaklumkan saya akan mengendalikan perlawanan menentang Manchester City. Jadi saya hanya ada tiga hari bersama pasukan,” kata McFarlane selepas perlawanan tersebut.

“Ada kemungkinan pengurus baru akan melapor diri pada Isnin (5 Januari), itu yang saya dimaklumkan pada awalnya.

“Saya pasti akan mendapat maklumat lanjut selepas sidang media ini. Setakat yang saya tahu, pengurus baru akan tiba tidak lama lagi dan saya akan terus memimpin pasukan sehingga beliau mengambil alih.”

Rosenior mengendalikan Strasbourg dalam keputusan seri 1-1 menentang Nice pada 3 Januari, dan telah dirakam berada di lapangan terbang Strasbourg pada 4 Januari oleh penerbitan bola sepak Perancis, L’Equipe.

Beliau dilihat duduk bersama pengarah sukan kelab Strasbourg, David Weir.

Pelantikan tersebut menjadi rumit terutamanya kerana Strasbourg, yang berkongsi pemilikan yang sama dengan Chelsea, perlu mencari pengganti Rosenior dengan rundingan masih berlangsung bersama beberapa calon.

Bekas Pengurus Wolves, Gary O’Neil, difahamkan telah mengadakan perbincangan dengan Strasbourg mengenai jawatan tersebut.

Weir, bersama Presiden Strasbourg, Marc Keller, mengetuai proses melantik pengganti Rosenior di tengah-tengah kebimbangan sebahagian penyokong kelab Perancis itu mengenai perubahan jurulatih.

Namun dari sudut Chelsea, tidak dijangka akan timbul sebarang isu.

Ketua jurulatih baru Chelsea bakal mewarisi skuad yang memenangi gelaran Piala Dunia Kelab kedua bagi Chelsea hanya enam bulan lalu.

Namun begitu, mereka kini berada di kedudukan kelima Liga Perdana England (EPL) dan sudah tercicir daripada perebutan kejuaraan selepas prestasi merosot ketara pada Disember di bawah Maresca.

Walaupun begitu, masih banyak yang boleh diperjuangkan.

Gol penyamaan Fernandez pada masa kecederaan di Stadium Etihad merupakan ganjaran setimpal atas persembahan penuh semangat Chelsea berdepan lawan yang hebat.

Sebelum perlawanan bermula, penjaga gol utama Chelsea, Robert Sanchez, menarik diri selepas gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot yang dialaminya.

Pemain pertahanan, Wesley Fofana, pula tidak diturunkan kerana sakit.

Chelsea beraksi dengan baik sehingga ke penghujung babak pertama, sebelum City mendahului menerusi Tijjani Reijnders.

Beberapa pertukaran yang dilakukan McFarlane selepas tempoh rehat mendatangkan kesan besar.

Andrey Santos dimasukkan ke bahagian tengah menggantikan penyerang, Estevao Willian, dengan perubahan taktikal itu menolak Fernandez ke posisi yang lebih menyerang.

Perubahan itu akhirnya membolehkan Fernandez menjaringkan gol penyamaan lewat yang berharga itu.

Selepas perlawanan, keseluruhan skuad Chelsea meraikan satu mata berharga itu bersama-sama, termasuk pemain yang cedera atau digantung perlawanan seperti Sanchez, Levi Colwill, Marc Cucurella dan Moises Caicedo, yang semuanya turut mengikut pasukan ke Manchester. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg