FRANKFURT (Jerman): Penjaga gawang Portugal, Diogo Costa, terharu selepas berjaya menyelamatkan tiga tendangan penalti dalam kemenangan 3-0 mengatasi Slovenia.
Kemenangan ini bermakna Portugal mara ke peringkat suku akhir Euro 2024.
Perlawanan itu berakhir 0-0 selepas masa tambahan, dan Costa menjadi wira perlawanan selepas beliau menjadi penjaga gawang pertama menyelamatkan tiga tendangan penalti dan memastikan gawangnya tidak dibolosi sewaktu sepakan penalti Euro.
“Saya rasakan ini perlawanan terbaik dalam hidup saya,” kata Costa kepada pihak media.
“Mungkin inilah perlawanan yang saya rasa saya paling berguna. Saya sangat gembira dan sungguh ghairah dapat membantu pasukan saya,” tambah beliau.
Beliau juga dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan.
Beliau cuba membaca gerak badan penendang penalti Slovenia tetapi akhirnya beliau hanya mengikut nalurinya.
“Apa yang saya fikirkan adalah saya perlu hentikan mereka (daripada menjaringkan gol) dan saya mengikut naluri saya,” jelas beliau.
Walaupun perlawanan itu berakhir tanpa jaringan selepas 90 minit, Cristiano Ronaldo mempunyai peluang menjaringkan gol untuk Portugal melalui percubaan penaltinya pada separuh masa tambahan pertama.
Namun, penjaga gawang Slovenia, Jan Oblak, berjaya menghalang percubaan Ronaldo.
Peluang yang terlepas ini membuat kapten Portugal kelihatan dirundung emosi dan berlinangan air mata.
“Cristiano merupakan pemain paling rajin. Saya faham betapa geram beliau rasa, beliau menghabiskan kesemua masanya untuk saat ini,” kata Costa.
“Kami rasakan bahawa kami perlu terus percaya (akan mara ke peringkat seterusnya). Setiap orang melakukan kesilapan. Namun apa yang penting adalah apa yang kita lakukan selepas melakukan kesilapan ini,” tambah beliau.
Bernardo Silva menjaringkan penalti kemenangan Portugal dalam sepakan penalti tersebut.
Ini bermakna Portugal akan menentang pasukan Perancis – yang mengalahkan Belgium 1-0 pada 2 Julai – pada peringkat suku akhir di Hamburg pada 6 Julai. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg