Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gol sendiri bantu Les Bleus ke suku akhir

Jul 2, 2024 | 2:41 PM
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dilihat sering betulkan topeng pelindung muka dalam perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir Euro 2024 menentang Belgium di Arena Duesseldorf pada 1 Julai.
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dilihat sering betulkan topeng pelindung muka dalam perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir Euro 2024 menentang Belgium di Arena Duesseldorf pada 1 Julai. - Foto AFP

DÜSSELDORF: Semasa perlawanan pusingan kalah mati menentang Belgium, pemain Perancis, Kylian Mbappe, kelihatan sering menyesuaikan topengnya beberapa kali.

Jelas sekali beliau masih belum selesa memakainya.

Tetapi beliau bukan satu-satunya pemain penyerang Perancis yang kelihatan tidak selesa kerana pasukan itu sekali lagi gagal menunjukkan ketajaman mereka di depan gawang.

Sebaliknya, ia adalah gol sendiri Jan Vertonghen pada minit ke-85 ketika menepis rembatan Randal Kolo Muani, dan itu sudah cukup menempatkan Les Bleus ke suku akhir Euro 2024.

Itu menjadikan jumlah gol Perancis di Jerman kepada tiga gol.

Perancis melakukan 19 tendangan ke arah gawang Belgium tetapi hanya dua menepati sasaran.

Kekurangan jaringan gol menjadi isu yang sering dibangkitkan dalam sidang media Perancis selepas perlawanan di Jerman, tetapi sekali lagi pengurus Didier Deschamps menjawab kritikan terhadap kecekapan pasukannya dalam menyerang.

“Jika ia adalah gol yang terkena pemain lawan atau gol sendiri, seseorang harus lakukan rembatan,” kata Deschamps. “Ia berakhir di belakang jaringan.”

Berbanding dengan pasukan yang masih berada dalam kejohanan itu, jumlah jaringan gol mereka adalah paling sedikit dengan hanya tiga gol. Ia adalah tujuh gol lebih sedikit daripada tuan rumah Jerman.

Tiada satu pun gol dijaringkan daripada permainan terbuka.

Gol sendiri Austria memberikan mereka kemenangan dalam perlawanan pertama kejohanan, penalti Mbappe menentang Poland adalah gol kedua mereka sebelum gol sendiri Vertonghen menjadi gol ketiga mereka.

Walaupun Deschamps tidak mengakui ia sebagai satu masalah, beliau setuju ia adalah sesuatu yang perlu diperbaiki.

“Kami punyai kapasiti dan keupayaan untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.

“Saya tahu ia agak sukar untuk kami sejak awal Euro, tetapi kami mempunyai peluang.

Perancis bernasib baik ketika berdepan dengan pasukan Belgium yang kelihatan terlalu menghormati mereka dan agak lama bermain dengan terlalu berhati-hati.

Mereka akan memasuki peringkat lebih sukar dan berpotensi berhadapan pasukan yang lebih yakin, lantas memerlukan penyerang mereka untuk mula menjaringkan gol.

Deschamps telah mencuba beberapa pendekatan untuk menajamkan jentera serangan, daripada merehatkan Antoine Griezmann dan juga mengubah formasi.

Tetapi pengurus berusia 55 tahun itu sedar bahawa membuat Mbappe selesa dengan memakai topeng pelindung untuk hidungnya yang patah boleh memberikan perbezaan yang ketara.

Bakal penyerang Real Madrid itu telah menjaringkan 48 gol dalam 82 penampilan untuk Perancis dan 256 gol dalam 308 penampilan di kelab terakhirnya, Paris Saint-Germain.

Ketika menentang Belgium, Mbappe menunjukkan pergerakan yang baik dengan mampu mengalihkan badannya dengan cepat untuk membuka ruang, namun penyudahnya agak lemah dengan tendangannya sering melencong beberapa meter di atas gol.

Ini berbeza daripada keadaan biasanya yang mudah meletakkan bola di belakang jaringan.

“Beliau sedang membiasakan diri,” tegas Deschamps.

“Peluh masih boleh mengganggunya. Ia boleh masuk ke dalam mata. Ia merumitkan penglihatannya; ia mengambil 10 saat, tetapi ia penting.

“Beliau perlu biasakannya kerana mungkin perlu memakainya selama beberapa minggu bahkan sehingga beberapa bulan.”

Perancis berharap Mbappe dapat berasa selesa dengan topengnya secepat mungkin supaya dapat membantu menajamkan jentera serangan apabila suku akhir bermula. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg