Topik diikuti
Pergi ke BHkuSilap lapor bapa Messi meninggal, pengacara TV Argentina letak jawatan
Silap lapor bapa Messi meninggal, pengacara TV Argentina letak jawatan
Silap lapor bapa Messi meninggal, pengacara TV Argentina letak jawatan
BUENOS AIRES: Pengacara televisyen Argentina, Florencia Pena meletakkan jawatan selepas tersilap melaporkan bahawa bapa kepada Lionel Messi, Jorge meninggal dunia.
Florencia, 51 tahun, membuat dakwaan itu ketika mengendalikan program El Show del Verano di saluran Luzu TV di Argentina.
Insiden itu berlaku ketika Messi, 38 tahun, mencuri tumpuan apabila meledak hatrik untuk membantu Argentina memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan 3-0 ke atas Algeria.
Bintang veteran itu dilihat mengalirkan air mata selepas menjaringkan salah satu golnya, situasi yang mencetuskan spekulasi dan membawa kepada laporan tidak tepat oleh Florencia.
Ketika siaran langsung, Florencia berkata: “Saya tidak mahu menyampaikan berita buruk, tetapi bapa Messi baru sahaja meninggal dunia.
“Di tengah-tengah kempen Piala Dunia ini, beliau terpaksa meninggalkan pasukan.”
Bagaimanapun, keluarga Messi kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi yang menafikan dakwaan itu.
Menurut kenyataan itu, Jorge sememangnya sedang berdepan masalah kesihatan dan berada di bawah pemantauan perubatan, namun keadaannya semakin baik.
“Keluarga Messi ingin memaklumkan bahawa Jorge sedang melalui satu situasi kesihatan.
“Ketika ini beliau berada di bawah pemantauan perubatan, sedang menjalani proses pemulihan dan menunjukkan perkembangan positif mengikut keadaannya.
“Susulan laporan, khabar angin dan spekulasi yang tersebar sejak beberapa jam lalu, keluarga ingin meluahkan rasa kecewa terhadap kurangnya rasa sensitiviti, rasa hormat dan adab yang ditunjukkan sesetengah pihak dalam mengendalikan isu yang bersifat peribadi dan berkaitan keluarga.
“Hanya ahli keluarga terdekat mempunyai maklumat yang tepat mengenai keadaan Jorge,” menurut kenyataan itu. – Agensi berita.
