Melupakan matlamat beliau untuk memenangi pingat dan berdiri di podium rupa-rupanya membawa ganjaran untuk atlet taekwondo, Nur Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi.
Atlet berusia 26 tahun itu telah mewakili Singapura di lima Sukan SEA sejak 2017, namun sehingga kali ini, gagal meraih pingat emas.
Namun, hampir 10 tahun selepas membuka tirai perjalanannya itu, Diyanah mengukir namanya dalam sejarah sukan negara dengan memenangi pingat emas sulung pada 10 Disember.
Diyanah dan rakan sepasukan, Nicholas Khaw, meraih pingat emas dalam acara regu campuran poomsae (seni), menewaskan regu Vietnam dengan kiraan mata 8.67 - 8.44 di gelanggang Fashion Island Mall di Bangkok.
Secara kebetulan, pingat emas itu juga adalah yang pertama dimenangi pasukan Singapura di Bangkok.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas majlis penyampaian pingat, Diyanah berkata:
“Saya sebenarnya berhasrat menikmati sahaja pengalaman bertanding di Sukan SEA dan tidak berfikir untuk menang sebarang pingat.
“Jika saya fikirkan tentang memenangi pingat, saya mungkin tidak dapat beraksi dengan sebaiknya pada setiap pusingan.”
Sebelum ini, Diyanah pernah memenangi pingat gangsa dalam acara yang sama di Sukan SEA 2023.
Menurut Diyanah, kemenangannya itu menjadi dorongan untuk beliau berlatih lebih gigih dalam persiapan untuk beraksi dalam Sukan Asia dan Kejohanan Dunia pada 2026.
Ia juga lebih manis, kerana beliau dan pasangan regu, Khaw, telah menghadapi persaingan sengit di setiap peringkat pertandingan, kata Diyanah.
Mereka menewaskan pasangan Laos di peringkat suku akhir selepas meraih 8.41 mata berbanding kiraan 8.04 mata untuk lawan.
Menyusuli itu, mereka berjaya mengatasi pasangan dari Filipina di peringkat separuh akhir dengan kiraan mata 8.62 – kelebihan hanya 0.1 mata berbanding lawan yang mengutip 8.52 mata.
Peringkat terakhir menentang Vietnam turut ada halangan, apabila pasukan Vietnam membuat bantahan untuk pasangan poomsae Singapura ditolak markah atas dua kesalahan.
Namun, bantahan tersebut tidak disahkan.
Kededua Diyanah dan Khaw akur berpuas hati dengan persembahan mereka, hasil daripada kerja keras setelah melalui pelbagai kem latihan dan pengorbanan peribadi.
Ini adalah kali kedua Diyanah dan Khaw bergabung dalam acara regu poomsae di kejohanan utama sejak mereka digandingkankan sekitar Oktober 2024.
Mereka telah mengatasi pelbagai rintangan untuk gabungkan kekuatan masing-masing demi mencipta rutin dan persembahan yang menyerlahkan kehandalan mereka bersama, kata Diyanah.
“Saya lebih fleksibel dan Nicholas lebih kuat, tetapi akhirnya semuanya lancar selepas kami bekerjasama dengan jurulatih dan melalui pelbagai kem latihan,” ujar beliau.
Ketua jurulatih, Lee Na Lee, menekankan bahawa banyak fokus diberikan kepada memperhalusi tempo dan rentak supaya juara poomsae itu dapat bergerak dengan momentum yang bersatu.
Nicholas, yang perlu mengambil cuti daripada Perkhidmatan Negara (NS) untuk bertanding di Sukan SEA 2025, menambah: “Kami sangat bangga, kerana kami telah bersungguh-sungguh berusaha untuk sampai ke tahap ini.
“Kami memang benar-benar mahu memenangi pingat emas dari dulu lagi.”
Dalam pada itu, Khaw berkata beliau berasa sangat teruja kerana dapat memenangi pingat pada hari yang sama kakaknya, Nicole Khaw turut meraih pingat.
Nicole memenangi pingat perak dalam acara poomsae individu bebas wanita, dengan kutipan 7.18 mata.
Pencapaian adik-beradik Khaw dan Nur Diyanah ini mendahului kutipan pingat hebat oleh pasukan taekwondo negara.
Daren Yap turut merangkul pingat gangsa dalam acara poomsae individu lelaki dengan kutipan 7.66 mata.
Ketua jurulatih Taekwondo, Lee Na Lee, berkata beliau bangga dengan pencapaian anak-didiknya.
“Saya tidak terkejut oleh kemenangan ini, kerana kami selalu menyasarkan prestasi yang lebih baik,” katanya.
Beliau akur yang tuan rumah dikenali sebagai jaguh taekwondo di rantau ini, tetapi menekankan anak didiknya sedia berdepan lawan lain yang bukan sekadar calang-calang.
Lee Na Lee berkata: “Dalam pertandingan seperti ini, kami boleh menentang sesiapa sahaja. Jadi, kami perlu cekap mengenal pasti kemahiran setiap lawan dan memilih strategi yang terbaik.
Sebelum acara renang pada 10 Disember, Singapura telah memenangi lapan pingat – tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg