Ketika berusia 20 tahun, Amir Syafiz sudah membuat penampilan pertamanya untuk pasukan utama Singa, pencapaian yang hanya mampu diimpikan ramai rakan sebayanya.
Beliau memulakan perlawanan persahabatan ketika menentang Maldives pada Jun, sebelum disertakan sebagai pemain gantian menentang India di Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober.
Pengalaman itu ‘mengajarnya’ dan rakan sepasukan untuk mencontohi disiplin yang dipamerkan pemain mapan seperti Hariss Harun dan Safuwan Baharudin di dalam dan luar padang.
Kini menggalas tugas sebagai kapten pasukan di Sukan SEA 2025, Amir percaya untuk mengeluarkan yang terbaik daripada rakan sepasukannya, ia harus bermula daripadanya dahulu.
Pasukannya kini di ambang penyingkiran selepas tewas 1-3 di tangan Timor-Leste di perlawanan pertama.
Tiada masa yang lebih baik untuk Amir menzahirkan kepimpinannya melainkan ketika menghadapi tugas mencabar menentang tuan rumah, Thailand, pada 11 Disember.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), penyerang yang kini berusia 21 tahun itu berkata:
“Kami banyak berbincang mengenai keinginan untuk menang dan bagaimana kami gagal mengawal permainan selepas menjaringkan gol pertama menentang Timor-Leste.
“Kami tahu kami perlu beri tumpuan sepenuhnya, dan saya bertekad mengetuai pasukan dengan memberi contoh dari segi menunjukkan keinginan dan kesungguhan yang betul,” katanya.
Akur dengan cabaran menentang Thailand, beliau berhasrat bermati-matian di dalam padang.
“Walaupun tugas di hadapan kami sangat mencabar, selagi peluang untuk layak masih ada, kami akan memberikan segala-galanya dan berjuang sehingga ke wisel penamat,” tambah beliau.
Amir ingin menggunakan pengalaman yang diraih di skuad negara untuk memberi motivasi kepada pemain lain, khususnya yang muda.
“Dengan bantuan para pemain senior yang saya berlatih bersama dalam pasukan negara semasa perlawanan pada Jun, saya belajar banyak perkara yang sebelum ini saya sendiri tidak tahu.
“Antaranya disiplin dan tindakan yang mereka pamerkan di dalam dan luar padang untuk bekerjasama serta bersatu sebagai sebuah pasukan,” tambahnya.
Penampilannya di pasukan negara sudah semestinya memberi keceriaan kepada Amir, yang melalui detik terendah dalam kerjaya bola sepaknya pada 2023.
Amir mengalami kecederaan ligamen krusiat posterior (PCL) seminggu sebelum Sukan SEA 2023 bermula di Kemboja.
Beliau juga harus berhenti bermain bola untuk tiga bulan selepas itu disebabkan Perkhidmatan Negara (NS).
Cekal dengan cabaran yang ditimpa, Amir kini berjuang di Sukan SEA yang pertama dan terakhirnya.
Beliau memulakan perjalanan bola sepaknya seawal usia enam tahun, apabila ibu bapanya melihat potensi yang dimilikinya.
Mereka mendaftarkan Amir ke Akademi Fandi Ahmad sebelum menyertai Sekolah Sukan Singapura di mana beliau dapat mewakili negara di pasukan bawah 16 tahun.
Penyerang itu juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Dollah Kassim pada 2019, yang akhirnya dimenangi seorang lagi pemain muda, Iman Hakim.
Apabila ditanya apakah impiannya, Amir menjawab:
“Impian saya mudah – untuk terus meningkatkan diri, mendapat lebih banyak penampilan bersama pasukan negara, dan mudah-mudahan suatu hari dapat bermain di luar negara.
“Buat masa ini, tumpuan sepenuhnya adalah untuk memberikan segala-galanya demi pasukan dan negara.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg