LONDON: Pemain tenis legenda, John McEnroe, memuji Novak Djokovic atas kritikan beliau terhadap penonton Wimbledon.
Beliau berpendapat bahawa pemain Serbia itu sering kali tidak dihormati, namun keupayaan Djokovic menangani ‘situasi panas’ daripada penonton menjadi penyebab beliau mampu menjadi pemain terbaik sepanjang zaman.
Djokovic, yang bersuara menentang peminat selepas kemenangan pusingan keempat Wimbledon, mendakwa mereka menggunakan nama keluarga lawannya, Holger Rune, sebagai “alasan untuk mengejek”.
Juara Grand Slam 24 kali itu berkata laungan daripada peminat memanjangkan vokal pertama nama keluarga Rune adalah untuk mengganggunya.
McEnroe, yang pernah memenangi tujuh kategori singles, bersetuju dengan tindakan pemain Serbia berusia 37 tahun itu serta mengucapkan syabas kepadanya.
Bercakap kepada agensi berita BBC, McEnroe menambah: “Tidakkah anda fikir terdapat sekurang-kurangnya 100 perlawanan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu, Djokovic tidak dihormati atas kehebatannya?
“Apakah perkara yang beliau lakukan yang dikira teruk sangat? Adakah kerana beliau bersaing sama hebat seperti pemain yang pernah bertanding? Adakah rupa atau tempat kelahiran beliau?” tambahnya.
Gangguan terhadap juara Wimbledon tujuh kali itu, seperti yang dilakukan oleh beberapa peminat di arena Centre Court pada 8 Julai, kelihatan menyemarakkan lagi keinginannya untuk memenangi perlawanan.
“Jika ada yang cuba mengganggunya dan inginkan Rune untuk memenangi (perlawanan) – itu perkara paling buruk yang boleh anda lakukan,” kata bekas pemain separuh akhir Wimbledon, Tim Henman, kepada BBC Sport.
“Beliau suka konfrontasi. Beliau bangkit dengan tenaga itu. Dan beliau akan bermain lebih baik.”
“Beliau mengalahkan Rune. Jika anda mahu mengganggu prestasi Djokovic, anda hanya perlu duduk diam,” katanya.
Pada 10 Julai, Djokovic bakal kembali ke Centre Court untuk perlawanan suku akhir menentang pemain Australia, Alex de Minaur.
Henman berpendapat penonton akan memberikan reaksi yang lebih positif terhadap Djokovic dan percaya drama malam 8 Julai tidak akan mempengaruhi suasana.
“Pada usia 37 tahun, dan dengan apa yang telah dicapai oleh Djokovic, saya suka semangat dan keinginan beliau untuk menang. Ia adalah sangat hebat,” kata bekas pemain nombor satu Britain itu.
Selama bertahun-tahun, Djokovic telah menerima tenaga negatif yang membantunya menghasilkan beberapa persembahan tenis terbaiknya.
Walaupun menjadi pemain kedua paling berjaya dalam era Terbuka di Kelab All England, hubungan Djokovic dengan penonton Britain tidak begitu baik.
Sebahagian besar adalah kerana populariti pemain yang cuba ditandinginya, Roger Federer, yang mempunyai lapan gelaran.
Apabila Djokovic menewaskan Federer dalam perlawanan akhir 2019, pemain Serbia itu menghadapi tentangan daripada sebahagian besar penonton.
Bekas jurulatih Djokovic, Boris Becker, kemudian berkata penonton sepatutnya lebih menghormati beliau.
Pada 2022, Djokovic dicemuh di Centre Court selepas beliau membuat hembusan ciuman kepada peminat berikutan kemenangan ke atas pemain Britain, Cameron Norrie, pada saingan separuh akhir Wimbledon. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg