Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sifat ‘pejuang’ pemain Ukraine, Yastremska, rahsia kejayaan

Jan 23, 2024 | 6:06 PM
PRESTASI MEMBANGGAKAN: Pemain kelayakan dari Ukraine, Dayana Yastremska, membuat kejutan dengan mara ke suku akhir kejohanan tenis Terbuka Australia.
PRESTASI MEMBANGGAKAN: Pemain kelayakan dari Ukraine, Dayana Yastremska, membuat kejutan dengan mara ke suku akhir kejohanan tenis Terbuka Australia. - Foto EPA-EFE

MELBOURNE: Pemain kelayakan dari Ukraine, Dayana Yastremska, membuat kejutan dengan mara ke suku akhir kejohanan tenis Terbuka Australia pada 22 Januari selepas menewaskan juara dua kali Victoria Azarenka.

Yastremska, pemain nombor 93 dunia, menewaskan pemain Belarus itu 7-6 (8-6), 6-4.

Beliau, yang sudah pun mengalahkan juara Wimbledon, Marketa Vondrousova, pada pusingan pertama, terpaksa berhempas pulas tetapi pukulan pantas dan agresifnya akhirnya berbaloi.

Yastremska sebelum ini pernah menewaskan 38 pemain terbaik untuk mara dalam kejohanan itu, lapor The Straits Times (ST).

“Saya rasa seperti jantung saya akan melompat keluar dari badan saya,” kata pemain berusia 23 tahun itu selepas kemenangan terbesar dalam kerjayanya.

“Saya hampir tidak mendapat tiebreak, dan hampir tewas pada set kedua. Saya selalu berasa ketinggalan. Tetapi saya juga seorang pejuang, mungkin itulah sebabnya saya menang perlawanan ini,” tambahnya.

Perlawanan sengit antara kededua pemain itu akhirnya memaksa tiebreak yang menyaksikan permainan mendebarkan.

Namun, pemain Ukraine itu akhirnya menang dengan pukulan yang terlalu pantas untuk Azarenka, 34 tahun, yang merupakan juara berturut-turut pada 2012 dan 2013.

Bagaimanapun, pada suku akhir, beliau tidak akan bertembung dengan pemain dari Ukraine, Elina Svitolina, selepas pemain itu menarik diri daripada kejohanan itu akibat kecederaan belakang, menurut BBC Sport.

Svitolina terpaksa menarik diri selepas ketinggalan 3-0 pada set pertama kepada remaja Czech, yang turut mara ke suku akhir Grand Slam pertamanya.

Svitolina, pemain pilihan ke-19, berasa kecederaannya itu mungkin disebabkan kekejangan otot pada tubuhnya.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Belakang badan saya terasa kejang. Sudah tentu saya berasa sangat sedih,” kata Svitolina, bekas pemain nombor tiga dunia berusia 29 tahun.

Yastremska akan bertembung dengan pemain nombor 50 dunia dari Czech, Linda Noskova, pada suku akhir Grand Slam pertamanya. – Reuters.

“Saya selalu berasa ketinggalan. Tetapi saya juga seorang pejuang, mungkin itulah sebabnya saya menang perlawanan ini.”
- Pemain kelayakan dari Ukraine, Dayana Yastremska selepas membuat kejutan dengan mara ke suku akhir kejohanan tenis Terbuka Australia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg