Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Federer kawan dengan pesaing di luar gelanggang

Juara Grand Slam 20 kali ingin luang lebih banyak masa bersama keluarga selepas bersara
Jun 24, 2024 | 5:30 AM
Semasa pelancaran dokumentarinya di London pada 13 Jun, bekas jaguh tenis dunia, Roger Federer, berkata beliau kini menumpukan perhatian untuk menjadi suami dan bapa terbaik selepas bersara hampir dua tahun lalu. 
Semasa pelancaran dokumentarinya di London pada 13 Jun, bekas jaguh tenis dunia, Roger Federer, berkata beliau kini menumpukan perhatian untuk menjadi suami dan bapa terbaik selepas bersara hampir dua tahun lalu.  - Foto FACEBOOK ROGER FEDERER

LONDON: Imej yang memaparkan wajah sedih pemain tenis Roger Federer, duduk bersebelahan pesaingnya, Rafael Nadal, sedang beliau menghampiri detik-detik akhir kerjaya profesionalnya, menjadi tular pada 2022.

Ia menandakan berakhirnya kerjaya Federer selama 24 tahun.

Pemain asal Switzerland itu meraih 20 kejuaraan perseorangan Grand Slam, termasuk rekod lapan piala Wimbledon lelaki.

Selain Federer, tiga lain pemain yang dianggap antara yang paling hebat dalam era ini termasuk Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray.

Federer, 42 tahun, merupakan yang pertama dalam kalangan empat pemain handal itu yang bersara.

Dalam satu temu ramah sebelum dokumentari, Federer: Twelve Final Days, ditayangkan di Prime Video, yang menceritakan tentang persaraannya, Federer turut menyentuh tentang persaingannya.

Tayangan filem dokumentari barunya di beberapa pawagam di London pada 13 Jun lalu menjejak hari-hari terakhir kerjaya sukannya.

Perlawanan profesional terakhir Federer adalah perlawanan beregu dengan Nadal untuk Pasukan Eropah di Piala Laver.

Gaya Federer sering digambarkan sebagai mudah, tetapi baru-baru ini beliau menyatakan ia sesuatu yang tidak benar.

“Saya fikir ia adalah satu pujian yang baik untuk didengar. Tapi ia mitos.

“Semua orang berbeza.

“Bagi sesetengah orang, itu satu-satunya cara mereka bermain dengan menunjukkan ketabahan mereka.

“Saya pula memerlukan keseimbangan. Saya tidak dapat mengharungi kerjaya dengan intensiti seperti Rafa (Nadal). Beliau berlari mengelilingi bilik persalinan dengan bersungguh-sungguh.

“Saya memandangnya sambil berfikir: ‘Rasanya, saya akan penat sebelum masuk ke gelanggang.’

“Kami berdua tidak boleh melakukan cara berlainan dan itulah sebabnya terdapat begitu banyak rasa hormat antara atlet dengan pemain.

“Saya, Rafa, Novak atau Andy, kami melakukannya dengan cara kami sendiri dan semua jalan menuju kejayaan.

“Kadangkala ia sukar dan pasti ada saat apabila anda tidak menyukai pesaing tertentu, tetapi kemudian anda sangat menyukai pesaing itu.

“Adalah penting untuk diingati bahawa kami hanya pemain tenis dan akhirnya, kami kembali normal.

“Anda melihat kami sangat mesra antara satu sama lain selepas saingan dan kami bergaul dengan sangat baik. Seronok untuk berbaik antara satu sama lain.”

Federer baru-baru ini berkata, beliau dan peminatnya pernah tidak memberikan Djokovic “penghormatan yang sepatutnya”, apabila pemain itu muncul selaku pesaing kepada Federer dan Nadal.

“Anggap itu sebagai motivasi apabila orang ramai menentang anda.

“Saya tidak begitu kerap melakukannya tetapi ketika saya masih muda, mereka akan bersorak untuk (Andre) Agassi – mereka tidak mahu pemain baru menang.

“Itu boleh memberi dorongan kepada anda. Antaranya Novak (Djokovic) yang memang pakar dalam hal ini.”

Menyentuh tentang Murray yang berasal dari Britain, yang merupakan juara Grand Slam tiga kali serta bekas pemain nombor satu dunia, Federer berkata kededua mereka bertemu sebanyak 25 kali dalam litar profesional, dengan Federer memegang rekod 14 kemenangan berbanding Murray dengan 11 kemenangan.

“Saya benar-benar tidak fikir ada sebarang kata-kata nasihat yang boleh saya berikan kepada Murray.

“Persaraan dianggap sesuatu yang amat peribadi. Apabila anda mengambil keputusan itu, semua orang berada dalam keadaan yang berbeza.

“Saya hanya harap Andy, Rafa dan Novak boleh bermain tenis untuk selamanya.”

Mengenai isterinya, Mirka, yang merupakan bekas pemain tenis, Federer berkata, isterinya itu serta empat anak – dua pasangan kembar – sering kali hadir di acara pertandingan melibatkannya.

“Biasanya saya akan pulang daripada latihan atau perlawanan dan pergi bermain Lego bersama anak-anak, membaca buku kepada mereka atau bermain sembunyi-sembunyi.”

Yang pasti Federer menganggap peralihan ke alam persaraan berjalan lancar buatnya.

“Saya fikir selepas mengalami kecederaan dan kemudian dengan pandemik Covid-19, ia membolehkan saya berada di rumah selama lebih dari tiga minggu pada satu masa.

“Saya gembira kerana saya dapat kekalkan bentuk badan, kerana saya pergi ke gimnasium, saya meneruskan pemulihan kerana saya mahu lutut saya sembuh.

“Anak-anak lelaki kini berusia lebih 10 tahun, perempuan 14 tahun, ia adalah tempoh yang sibuk buat mereka.

“Keadaan berubah dengan cepat sekarang dan mereka membesar dengan pantas,” kongsinya. – Agensi berita.

Kadangkala ia sukar dan pasti ada saat apabila anda tidak menyukai pesaing tertentu, tetapi kemudian anda sangat menyukai pesaing itu. Adalah penting untuk diingati bahawa kami hanya pemain tenis dan akhirnya, kami kembali normal. Anda melihat kami sangat mesra antara satu sama lain selepas saingan dan kami bergaul dengan sangat baik. Seronok untuk berbaik antara satu sama lain.
Roger Federer, juara Grand Slam 20 kali dan bekas pemain tenis profesional.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg