Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Djokovic mahu terus bertanding, bermain pada musim hadapan

Oct 14, 2024 | 11:59 AM
Novak Djokovic setelah dikalahkan Jannik Sinner pada pusingan akhir Shanghai Masters.
Novak Djokovic setelah dikalahkan Jannik Sinner pada pusingan akhir Shanghai Masters. - Foto REUTERS

SHANGHAI: Novak Djokovic berkeras pada 13 Oktober bahawa beliau merancang “untuk terus bersaing dan bermain pada musim hadapan” walaupun mengalami satu lagi kekalahan di tangan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner.

Pemain tenis 37 tahun asal Serbia itu dikalahkan Sinner, 21 tahun, dari Italy 7-6 (7/4), 6-3 dalam perlawanan akhir Shanghai Masters.

Walaupun memegang rekod sebagai pemain tenis lelaki individu dengan gelaran Grand Slam terbanyak dengan 24 gelaran, ini merupakan kekalahan ketiganya dalam empat pertandingan melawan pemain tenis muda Italy itu.

Sebelum menjadi juara Shanghai Masters, Sinner juga menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka Amerika.

Bagaimanapun, Djokovic berkata beliau tidak berhasrat mengikuti kerjaya panjang pesaingnya yang telah bersara, Rafael Nadal.

Beliau mengakui musim ini sebagai “salah satu musim dengan penampilan paling buruk dari segi keputusan”.

“Saya tidak tahu apa yang akan datang pada masa depan, saya hanya akan cuba mengikut arus untuk melihat bagaimana perasaan saya pada masa tertentu tetapi saya masih merancang untuk bersaing dan bermain musim depan,” katanya kepada pemberita.

Djokovic gagal menambah kejuaraan Grand Slam pada 2024 apabila Sinner dan Carlos Alcaraz, yang merangkul gelaran Terbuka Perancis dan Wimbledon, merampas anugerah utama sukan itu.

Bagaimanapun, Djokovic dinobatkan sebagai juara Olimpik, memenangi perlawanan akhir yang penuh emosi menentang Alcaraz di Paris pada Ogos. Itulah gelaran kerjayanya yang ke-99.

Kekalahan pada 13 Oktober menyekat langkahnya untuk menjadi pemain ketiga selepas Jimmy Connors dan Roger Federer yang memenangi 100 gelaran.

“Ia bukan jenis matlamat hidup atau mati untuk saya. Saya fikir saya telah mencapai semua matlamat terbesar dalam kerjaya saya,” katanya.

“Sekarang ini benar-benar mengenai Grand Slam dan melihat sejauh mana saya boleh mendorong diri saya sendiri,” tambah beliau.

Djokovic memuji Sinner yang pada usia 23 tahun adalah 14 tahun lebih muda daripadanya. Gelarannya di Shanghai adalah yang ketujuh dalam tahun itu.

“Dia sangat padu dari pukulan depan dan pukulan kilas, tidak melakukan terlalu banyak kesilapan, dan hanya cuba mengambil masa daripada lawan,” kata Djokovic.

“Itu sesuatu yang mengingatkan saya tentang diri saya sepanjang kerjaya saya. Itulah yang saya lakukan selama bertahun-tahun secara konsisten – bermain tenis pantas, mengambil masa daripada lawan, agak melemaskan lawan dengan cara tertentu.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg