PARIS: Novak Djokovic memberitahu saingan lamanya, Rafael Nadal, legasinya akan kekal selamanya, selepas pemain hebat Sepanyol itu mengumumkan persaraannya daripada tenis pada 10 Oktober.
“Kecekalan, dedikasi, semangat juang anda akan diajar selama beberapa dekad. Legasi anda akan kekal selama-lamanya,” tulis Djokovic, pemenang Grand Slam sebanyak 24 kali yang juga bekas pemain nombor satu dunia, di Instagram.
Djokovic dan Nadal bertembung sebanyak 60 kali dalam kerjaya mereka, dengan pemain Serbia itu mendahului 31-29 dalam pertempuran sengit mereka di gelanggang.
Mereka bertemu buat kali pertama di pertandingan Terbuka Perancis pada 2006 apabila Nadal memenangi perlawanan itu. Djokovic pula memenangi pertembungan terakhir mereka, juga di gelanggang Roland Garros, di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Rafa (Nadal), satu catatan tidak cukup untuk meluahkan rasa hormat saya kepada anda dan apa yang anda telah lakukan untuk sukan ini.
“Anda telah memberi inspirasi kepada berjuta kanak-kanak untuk mula bermain tenis dan saya fikir itu mungkin pencapaian terhebat yang didambakan sesiapa sahaja,” kata Djokovic mengenai Nadal, pemenang Grand Slam 22 kali.
Menurut AFP, Nadal akan beraksi pada kejohanan terakhirnya di perlawanan akhir Piala Davis di Malaga, Sepanyol, pada November.
“Hanya diri anda yang tahu apa yang anda terpaksa hadapi untuk menjadi ikon tenis dan sukan secara umum. Terima kasih kerana mendorong saya melangkaui batasan kemampuan saya, terlalu banyak kali dalam saingan kita berdua, hingga memberi kesan terbesar kepada saya sebagai seorang pemain.
“Semangat anda untuk mewakili Sepanyol sentiasa luar biasa. Saya ucapkan selamat tinggal dan doakan yang terbaik (untuk perlawanan akhir anda) di Malaga bersama pasukan Sepanyol di Piala Davis.
“Saya akan turun padang sebagai tanda hormat saya kepada kerjaya cemerlang anda,” tambah Djokovic. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg