NEW YORK: Perlawanan tengah malam mungkin popular dalam kalangan peminat tetapi tidak bagi pemain tenis veteran, Novak Djokovic, yang tidak begitu selesa dengan persaingan pada lewat malam semasa beliau mula mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat pada 26 Ogos.
Djokovic agak terkial-kial menewaskan pesaing dari Moldova, Radu Albot, 6-2 6-2 6-4 untuk mara ke pusingan kedua.
Namun, perlawanan selama dua jam tujuh minit itu berlarutan sehingga tengah malam di Stadium Arthur Ashe, di New York.
Kededua pemain itu tidak dapat turun ke gelanggang sehingga lewat kerana kemenangan lewat seorang lagi peserta, Clara Burel, ke atas pesaingnya, Sloane Stephens, yang tumbang dalam tiga set selepas mendahului 6-0 3-0.
“Saya tidak fikir usia lanjut benar-benar membantu bermain sehingga lewat malam,” kata Djokovic, 37 tahun, kepada wartawan.
“Saya dapat rasakan, anda tahu, tenaga saya kini berkurangan. Saya mula menua.
“Lama benar kami menunggu.
“Saya fikir saya akan keluar ke gelanggang, sekitar 8.15 malam kerana Stephens mendahului 6-0 3-0 dan membuat servis.
“Tetapi kemudian tiba-tiba ia menjadi perlawanan yang berlarutan sehingga dua setengah jam begitu.
“Anda hanya perlu menerimanya, saya rasa... saya suka bermain perlawanan malam, tetapi saya suka bermain dahulu.
“Jadi mudah-mudahan saya mendapat lebih banyak peluang bermain pada waktu malam dan dijadualkan menentang lawan saya terlebih dahulu supaya kami boleh bermula pada masa yang lebih baik dan menamatkan pada masa yang lebih sesuai.
“Saya rasa untuk peminat, ada sesuatu yang istimewa mengenai perlawanan yang berakhir lewat malam, terutama selepas tengah malam.
“Bagi kami, saya tidak tahu. Ia bukan apa yang anda mahukan tetapi jika anda meraih kemenangan, maka semuanya memang baik.”
Djokovic kembali ke gelanggang buat kali pertama sejak memenangi pingat emas Olimpik dalam perseorangan di Paris baru-baru ini.
Walaupun berjaya menundukkan lawan, kurangnya perlawanan pemanas badan Djokovic jelas kelihatan apabila beliau melakukan 10 kesalahan berganda dan melakukan hampir dua kali lebih banyak kesilapan dalam perlawanan tersebut.
“Ia sentiasa mencabar untuk bermula dalam pusingan pembukaan, terutama apabila anda tidak bermain di permukaan ini selama lima, enam bulan dan meraih emas Olimpik, dan selepas itu bermain di atas tanah,” katanya.
“Saya menjangka saya mungkin akan dicabar lebih sedikit dalam pusingan pembukaan ini.
“Perkara yang baik tentang pertandingan Grand Slam ialah anda mempunyai hari di antara perlawanan dengan anda boleh berlatih, anda benar-benar boleh beri tumpuan pada sesuatu perkara dan menyempurnakan permainan anda. Itulah yang saya perlukan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg