DORTMUND: Jaringan hatrik Karim Adeyemi, pemain sayap Borussia Dortmund, pada separuh masa pertama perlawanan membantu pasukan Jerman itu menewaskan Celtic 7-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah pada 1 Oktober, dengan lima gol berjaya dijaringkan dalam masa 42 minit pertama.
Pengurus Celtic, Brendan Rodgers, mengibaratkan perlawanan itu sebagai “ujian besar” untuk pasukannya, yang telah menangi kesemua sembilan perlawanannya musim ini , termasuk menewaskan Slovan Bratislava 5-1 dalam perlawanan pembukaan kejuaraan elit Eropah tersebut.
Sejurus selepas peminat kedua-dua pasukan menyanyikan lagu pujaan bersama mereka, You’ll Never Walk Alone, Celtic kelihatan terpinga-pinga di padang Westfalenstadion, apabila Dortmund, finalis musim lalu, meruntuhkan benteng mereka.
Adeyemi, 22 tahun, menjadi pemain Dortmund pertama menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama di Eropah sejak 2002, manakala Emre Can dan Serhou Guirassy sempurnakan dua sepakan penalti untuk membolehkan mereka mendahului 5-1 pada separuh masa pertama, dengan Daizen Maeda menjaringkan satu-satunya gol bagi Celtic.
Guirassy menjaringkan gol keduanya pada separuh masa kedua, sebelum pemain gantian, Felix Nmecha, lengkapkan jaringan bagi Dortmund.
Kemenangan besar itu meletakkan Dortmund di kedudukan tertinggi dalam kalangan 36 pasukan yang bertanding, manakala Celtic menjunam dari tempat ketiga ke tangga ke-19.
“Kami jaringkan tujuh gol, jadi ia adalah malam yang sangat baik. Kami boleh ke final sekali lagi jika kami terus bermain seperti ini,” kata pemain antarabangsa Jerman, Adeyemi.
Jurulatih Dortmund, Nuri Sahin, berkata pasukannya telah menetapkan kayu ukur yang tinggi untuk pasukan lain.
“Kami sentiasa mencari peluang untuk menyerang, dan kami sukar ditewaskan apabila kami bermain seperti itu,” tambahnya.
Rodgers pula berkata, pemainnya mungkin “terkejut” terlalu awal.
“Kami rasakan kami berada di kedudukan yang sangat baik. Kami perlu berusaha dengan lebih baik, kerana kami telah melepaskan gol-gol yang sangat mudah. Dan kami terima padah akibat permainan yang kurang mantap dan hantaran yang tersasar,” kata Rodgers.
Satu lagi kemenangan besar dicatatkan dalam Liga Juara-Juara, apabila Robert Lewandowski menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah, Barcelona, bagi membolehkannya menumpaskan pasukan Switzerland, Young Boys, 5-0.
Kelab gergasi Sepanyol itu, yang tewas di tangan Monaco dalam perlawanan pembukaan, juga memperoleh gol menerusi Raphinha, Inigo Martinez dan jaringan sendiri oleh pemain Young Boys, Mohamad Camara.
Dalam perlawanan lain, Inter Milan, yang seri 0-0 dengan Manchester City dalam perlawanan pembukaan mereka, menewaskan Red Star Belgrade 4-0 di San Siro.
Sementara itu, AC Milan tewas 1-0 di BayArena, di mana Victor Boniface, menjaringkan gol untuk memberikan pasukan tuan rumah, Bayer Leverkusen, kemenangan kedua mereka dalam Liga Juara-Juara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg